9/21/2010

Zakat & Ramadhan

Biasanya bila tiba bulan Ramadhan maka bermulalah kempen zakat oleh banyak institusi zakat di negara kita kerana mengambil peluang keterbukaan hati umat Islam untuk bersedekah di bulan Ramadhan .
Meskipun pada bulan Ramadhan hanya zakat fitrah sahaja yang menjadi keutamaan syarak yang menjadi kewajipan kepada semua umat Islam, hingga yang lahir sebelum maghrib hari terakhir Ramadhanpun dimestikan zakat fitrah, namun semacam sudah menjadi kelaziman, apabila tibanya bulan Ramadhan berlumba-lumbalah orang-orang kaya mahupun syarikat-syarikat korporat mengeluarkan zakat harta mereka dan mengagihkannya kepada golongan yang memerlukan. Perkara ini tidaklah menjadi kesalahan tetapi ia wajar diperjelaskan agar mereka yang terlibat dengan perniagaan dan mereka yang memiliki harta yang mesti dizakatkan tidak tersalah anggap bahawa bulan Ramadhan adalah waktu yang ditetapkan oleh syarak untuk mengeluarkan zakat harta. Sedangkan zakat harta mahupun pertanian wajib dikeluarkan apabila cukup nisab dan haulnya atau cukup nisabnya sahaja tidak kira dalam bulan apa sekalipun kerana bantuan kepada golongan memerlukan adalah tidak terhad pada bulan Ramadhan sahaja. Zakat fitrah disyariatkan sempena Ramadhan adalah secara khusus bertujuan membantu dan menggembirakan mereka yang memerlukan bagi menyambut hariraya Aidilfitri.
Di samping itu berdasarkan pemerhatian saya, kini sudah menjadi satu trend zakat harta diagihkan sendiri atau diwakilkan terus kepada pihak-pihak berkepentingan dan bukannya institusi yang diamanahkan. Akibatnya banyak majlis-majlis agihan zakat yang diadakan khusus pada bulan Ramadhan tidak menepati sasaran asnaf yang telah ditetapkan oleh syarak. Sebagai contoh mereka yang mengagihkan bantuan Ramadhan yang diterima dari pihak yang mengeluarkan zakat, menetapkan hanya dua kumpulan sahaja yang akan diberikan bantuan kepada mereka iaitu ibu tunggal dan warga emas. Sedangkan mereka ini ada yang tidak termasuk di dalam asnaf fakir dan miskin. Ada juga yang mengagihkan zakat mereka terus kepada anak-anak yatim atau institusi yang menguruskan anak-anak yatim hinggakan melebihi dari keperluan anak-anak yatim tersebut. Hinggakan ada yang tersalah anggap bahawa anak yatim juga termasuk di dalam asnaf zakat.
Dari segi syaraknya agihan zakat tidak boleh dilakukan dengan sewenangnya atau berdasarkan andaian sahaja. Kesemua lapan asnaf zakat ditetapkan oleh nas Al-Quran (Surah Al-Taubah ayat 60) yang menunjukkan bahawa Allah Taala tidak membenarkan agihan zakat dibuat berdasarkan hawa nafsu dan andaian manusia. Harta zakat adalah amanah dari pemilik harta dan mesti disampaikan kepada mereka yang telah dinyatakan oleh Allah Taala sahaja kerana Ia lebih Mengetahui siapakah di kalangan hambaNya yang sangat memerlukan pertolongan. Jika berlaku salah agihan akibat dari kecuaian atau sengaja melakukannya, maka pihak yang mengagihkan zakat tersebut adalah berdosa di hadapan Allah Taala kerana mengubah ketetapanNya.
Melihat kepada fenomena inilah barulah sahaja teringat akan pendapat Imam Al-Syafie bahawa zakat mesti diserahkan kepada pemerintah atau institusi yang dilantik bagi menguruskannya selagimana tiada sebarang bukti berlaku penyelewengan harta zakat. Malah jika sekiranya seorang pemerintah itu fasiq dan zalim tetapi ia tetap adil dalam agihan zakat maka wajib diserahkan zakat kepada pemerintah. Ini bagi memastikan harta zakat tidak diagihkan kepada bukan asnaf atau diagihkan secara tidak adil kepada asnaf kerana dalam mazhab Al-Syafie harta zakat hendaklah diagihkan kepada semua asnaf yang lapan jika kesemuanya wujud. Pendapat beliau ini adalah bersandarkan amalan Rasulullah SAW dan Khulafa Al-Rasyidin. Ia dikuatkan lagi dengan firman Allah Taala di dalam Surah Al-Taubah ayat 103 yang bermaksud: “Ambillah dari harta mereka sedekah (zakat) yang membersihkan dan menyucikan mereka…”.
Dalam pada itu pihak institusi zakat pula terutamanya yang terlibat secara lanusng dengan agihan, wajar menangani segera persepsi bahawa pemerintah tidak mengagihkan zakat secara adil atau harta zakat digunakan untuk kepentingan lain. Ia walaupun satu persepsi tetapi kesannya sangat kuat di dalam mempengaruhi pembayar-pembayar zakat sehingga mereka merasakan lebih yakin mengagihkan zakat sendiri atau disalurkan kepada pihak-pihak lain untuk mengagihkannya. Institusi yang mengagihkan zakat wajar meningkatkan kecekapan dalam agihan dan mempromosikan pelbagai bentuk agihan yang dilakukan serta mewar-warkannya agar segala persepsi yang salah ini dapat ditangani dengan baik. Kewibawaan institusi zakat bukan sahaja dilihat kepada kemampuannya mengumpulkan zakat berjuta ringgit tetapi turut dilihat dari sudut kemampuannya menyalurkan harta zakat kepada asnafnya dengan tepat dan efisien.

No comments: