Saya, apabila mendengar dendangan media memainkan isu fatwa mengumpat tidaklah berminat sangat untuk mengikutinya. Kerana ini semua adalah satu permainan politik. Namun apa yang menjadi kebimbangan saya ialah kecenderungan orang ramai yang menelan bulat-bulat kenyataan bahawa mengumpat secara total tidak dibolehkan dan tiada ruang yang dibernarkan oleh Islam.
Bagi menjelaskan isu fatwa mengumpat ini suka saya menukilkan apa yang diutarakan oleh Al-Syeikh Abdul kadir bin Abdul Mutalib Al-Mandili di dalam bukunya ‘Penawar bagi hati’.
Kata beliau: “…dan ketahui olehmu bahawa mengumpat itu haram dengan ijmak, melainkan pada enam tempat diharuskan padanya mengumpat:
(Pertama) Orang yang mengadu kepada raja. Berkata ia si anu menzalim ia akan daku, dan menyebut ia akan kejahatan itu.
(Yang kedua) Orang yang minta tolong pada menghilangkan maksiat, maka harus baginya bahawa berkata ia: “Si anu mengerjakan maksiat, tolong olehmu akan daku pada menghilangkannya”. Dan menyebut ia akan nama maksiat itu.
(Yangketiga) orang yang minta fatwa. Apabila berhajat kepada menyebut pertanyaan seperti berkata oleh isteri: “Suami aku seorang yang kikir (kedekut) tiada memberi ia bagiku akan yang memadai daripada nafkah, maka adakah harus aku ambil daripada hartanya setengah yang memada bagiku.
(Keempat) Yang menakutkan akan orang Islam daripada kejahatan orang yang lain. Seperti berkata ia: “Perempuan itu jahat kelakuannya maka jangan engkau berkahwin dengan dia”. Dan menyebut ia kan nama kejahatan itu.
(Yang Kelima) Bahawa ada seorang yang masyhur ia dengan nama yang ada padanya kecelaan seperti Al-‘Araj ertinya capik (tempang).
(Yang Keenam) Bahawa ada ia menzahirkan akan kejahatan maka harus disebutkan kejahatan yang dizahirkannya itu. Sila rujuk kitab ‘Penawar Bagi hati mukasurat 30-31 edisi jawi.
Demikianlah apa yang dinyatakan dalam buku tersebut. Sengaja saya tidak membawa pandangan dari ulama lain atau kitab lain kerana cukup dengan membawakan nukilan dalam kitab ini yang menjadi bahan bacaan para ustaz di masjid-masjid dan surau-surau.
Dengan itu jelaslah bahawa kenyataan mengumpat dibolehkan bukanlah satu fatwa baru tetapi ia selari dengan ajaran Islam yang membenarkan kita menghebahkan kejahatan seseorang yang berpengaruh dalam masyarakat agar kita menolaknya dan memilih pemimpin yang benar-benar bertaqwa kepada Allah Taala.
No comments:
Post a Comment