7/10/2008

REJAB BULAN YANG DIMULIAKAN ISLAM

Allah Taala dengan sifatNya Yang Maha Bijaksana memilih waktu-waktu tertentu dengan kelebihan-kelebihannya. Berkenaan dengan bulan-bulan dalam Islam, Allah Taala memilih bulan Rejab sebagai salah satu dari empat bulan yang diharamkan berperang padanya kerana ia mempunyai kelebihan yang tertentu. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

((Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah, di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa)). Surah At-Taubah : Ayat 36.

Di dalam ayat di atas bulan-bulan haram tersebut tidak dinyatakan secara terperinci. Namun Rasulullah s.a.w telah menjelaskannya di dalam hadis berikut yang bermaksud:

Diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a bahawa Nabi s.a.w telah menyampaikan khutbah pada hari Haji Wida (Haji terakhir baginda) dan baginda bersabda dalam khutbahnya: Sesungguhnya zaman akan kembali berpusing seperti hari diciptakan langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan antaranya ialah empat bulan yang diharamkan berperang. Tiga bulan berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan Rejab pula terletak antara Jamadi dan Syaaban. Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Menurut Ibnu Faris di dalam kitabnya ‘Mu’ jam Maqayis Lughah, sebab dinamakan bulan ini dengan Rejab adalah kerana orang Arab membesarkan dan memuliakan bulan ini. Rejab itu sendiri maksudnya ialah kebesaran dan keagungan. Sebagai meneruskan tradisis ini Islampun memuliakan bulan ini.
Imam al-Baihaqi berkata: Orang Arab Jahiliah asalnya mengagungkan bulan-bulan haram terutamanya bulan Rejab kerana pada bulan itu mereka tidak berperang.
Firman Allah Taala yang bermaksud: (( Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu melanggar syiar-syiar Allah dan kehormatan bulan-bulan haram(berperang) )). Surah al-Maidah : Ayat 2.
Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang kemuliaan bulan-bulan haram dan termasuk di dalamnya bulan Rejab. Justeru peperangan dan pertumpahan darah adalah dilarang pada bulan-bulan tersebut.
Allah Taala berfirman yang bermaksud:
(( Ditanya kepadamu tentang berperang pada bulan-bulan haram, katakanlah berperang pada waktu itu adalah (dosa) besar)). Surah Al-Baqarah: Ayat 217.
Para jumhur ulama telah menyatakan bahawa larangan berperang yang dinyatakan oleh Allah Taala di dalam ayat di atas telah dimansukhkan dengan turunnya firman Allah Taala:
((Maka apabila berlalunya bulan-bulan haram maka perangilah golongan musyrikin di mana sahaja kamu temui mereka)). Surah At-Taubah : Ayat 5.

Ulama juga berpandukan apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di mana baginda telah memerangi penduduk Taif yang kufur pada bulan Zul Kaedah iaitu salah satu daripada bulan-bulan haram. Namun ada pandangan yang menyatakan bahawa tidak boleh memulakan peperangan pada bulan haram tetapi sekiranya ia bermula sebelum bulan-bulan tersebut tetapi berlanjutan hingga ke bulan-bulan haram maka ia diharuskan. Kerana peperangan yang berlaku di Taif adalah dimulai dengan peperangan di Hunain yang berlaku pada bulan Syawal. Manakala sekiranya Negara umat Islam diserang maka peperangan adalah harus demi mempertahakan tanahair meskipun ia berlaku di bulan-bulan haram.

Menurut amalan Arab Jahiliah pada bulan Rejab mereka melakukan sembelihan untuk dihadiahkan kepada berhala-berhala. Apabila Islam datang amalan tersebut dimansuhkan. Ini berdasarkan pendapat ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Namun menurut mazhab Syafie berdasarkan pendapat Ibnu Sirin menyatakan amalan tersebut tidak dimansuhkan dan boleh dilakukan sembelihan pada bulan Rejab tetapi hendaklah kerana Allah Taala. Ibnu Hajar berkata pendapat ini disokong oleh apa yang diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w pernah ditanya oleh seorang lelaki dengan berkata: Dahulu kami melakukan ‘Atirah (sembelihan) pada zaman Jahiliah yakni pada bulan Rejab, apakah arahanmu(pendapatmu)? Jawab baginda s.a.w: Sembelihlah pada mana-mana bulan sahaja! Riwayat Abu Daud, Nasaie dan Ibnu Majah.

Menyentuh pula tentang puasa khusus sempena bulan Rejab jika diteliti tiada satupun hadis sohih yang boleh dijadikan sandaran. Berpuasa pada bulan Rejab adalah disunatkan sepertimana pada bulan-bulan yang lain iaitu seperti berpuasa pada hari Isnin dan hari Khamis. Imam Ibnu Hajar al-Asqallani berpendapat tiada sebarang hadis sohih yang menyatakan sunat berpuasa pada bulan Rejab secara khusus. Tetapi tidak menjadi kesalahan untuk berpuasa sunat seperti bulan-bulan yang lain. Apa yang menjadi kesalahan ialah melakukan amalan-amalan tertentu pada bulan ini seperti Solat Sunat bulan Rejab, menziarahi kubur dan mengadakan perayaan khusus kerana ketibaan bulan Rejab. Mengadakan aktiviti seperti ceramah,forum dan dakwah berkaitan dengan kisah dan persitiwa yang berlaku di bulan ini adalah digalakkan selagimana ia membawa kemaslahatan bagi ummat Islam dan bertujuan mencetuskan kesedaran kepada mereka tentang tanggungjawab terhadap Islam.

No comments: