11/13/2008

Undang-Undang Sivil + Undang-Undang Syariah = ?

Sambil isi minyak kereta pagi ni terpandang muka depan akhbar Utusan Malaysia yang menyentuh tentang cadangan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang membuat saranan seperti berikut: "Undang-undang lazim dan undang-undang syariah di negara-negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam boleh diharmonikan melalui penggabungan kedua-dua mahkamah sivil dan syariah". (UM 13 Nov 08).

Apa yang diutarakan ini selari dengan cadangan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang pernah mencadangkan supaya undang-undang syariah menggantikan common law Inggeris.Bekas Ketua hakim negara ini juga percaya bahawa seksyen 3 dan 5 Akta Undang-undang Sivil 1956 perlu dipinda kerana ia memberi laluan kepada undang-undang Inggeris, kesaksamaan dan statut ke dalam undang-undang Malaysia.

Menarik juga perkara ini dibincangkan secara dan kita sepatutnya memberikan tumpuan kepada perkara-perkara seumpama ini dan bukannya terbelenggu dengan isu-isu yang tidak membawa impak besar kepada kebaikan rakyat seperti isu pencalonan UMNO, isu guru mainkan video "Sajak Kematian" dan sebagainya.

Bagi saya sudah sampai masanya kita memiliki sistem perundangan yang selaras dan selari dengan perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan bukannya terjajah berterusan dengan sistem perundangan peninggalan penjajah.

Pengasingan Undang-Undang dan Mahkamah kepada Sivil dan Syariah pada hakikatnya adalah manifestasi daripada saki baki pemikiran sekular yang masih menebal di kalangan pengamal undang-undang dan juga pemerintah. Jika diteliti, pemikiran sekular ini juga boleh dilihat dalam pelbagai institusi di negara kita yang mengasingkan institusi Islam dengan yang lainnya. Sebagai contoh dalam sistem pendidikan. Ada pendidikan Islam dan ada pendidikan aliran biasa. Ada sekolah Islam dan ada sekolah kebangsaan. Ada kolej Islam dan ada kolej 'bukan Islam' malah ada Universiti Islam dan ada Universiti yang 'bukan Islam! Malah kemelut ini ada kalanya membingungkan orang ramai yang bertanya "Jika ada Universiti Sains Islam apa akan jadi dengan Universiti Sains Malaysia? Apakah ia sebuah Universiti bukan Islam?
Begitulah juga dalam soal ekonomi. Ada bank Islam ada juga bank riba! Ada Masjid, ada juga pusat judi berlesen! Ada pusat Islam, ada juga pusat-pusat maksiat, persundalan dan arak! Inilah yang menjadikan sebahagian umat Islam terus confuse dan majoriti bukan Islam tidak dapat memahami Islam!

Di dalam sebuah negara yang merdeka dan Islam menjadi agama resmi seperti Malaysia adalah tidak perlu dibimbangi untuk melaksanakan sistem Islam dalam setiap institusi kerana ia adalah merupakan suatu dasar yang dijamin oleh perlembagaan. Golongan bukan Islam pula tidak berhak mempertikaikannya sehinggalah mereka boleh membuktikan bahawa agama Islam adalah salah dan menyekat kemajuan.

Oleh itu sudah sampai masanya Islam menjadi teras kepada semua institusi dalam negara kita samada dalam politik, ekonomi, perundangan, pendidikan, keluarga, kebudayaan, seni, sukan, hiburan dan lain-lain. Malah nama-nama seperti Bank Islam, universiti Islam, sekolah Islam dan sebagainya sudah tidak perlu kerana kita berada dalam negara Islam yang menjadikan Islam teras kepada semua sistem kehidupan dan merentasi semua bentuk institusi dalam masyarakat.

Saya berpendapat cadangan bekas ketua hakim negara agar digabungkan sistem perundangan sivil dan syariah adalah satu cetusan kesedaran bahawa sewajarnya Islam kembali dijadikan teras kepada seluruh sistem pemerintahan negara jika kita ingin kembali memartabatkan ketuanan Melayu di negara Malaysia yang tercinta ini. Kerana sejarah telah membuktikan Melayu pernah kuat dan terkenal dengan Islam sepertimana Arab pernah kuat dan terbilang dengan Islam. Tetapi sebaliknya pula Melayu akan terhina apabila Islam dikesampingkan!

Alllah Taala berfirman:

{ يا أيها الذين آمنوا ادخلوا في السلم كافة } (البقرة:208)

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu kedalam kesejahteraan (Islam) keseluruhannya".

1 comment:

comel said...

setuju...
sudah masa untuk dedahkan hukum allah kepada semua rakyat malaysia x kira islam atau bukan...
insyaallah datangnya kesedaran pelaksanaan hukum hudut dapat mengembalikan semula keamanan dan saya yakin hukum pencipya adalah yang terbaik untuk ciptaannya
teruskan menulis ustaz...
salam