12/10/2008

TRANSFORMASI JIWA


Mendidik jiwa meskipun senang diungkapkan tetapi secara realitinya bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Ini terbukti apabila soal mendidik jiwa ada kalanya gagal ditangani oleh mereka yang petah membicarakan atau tahu mengenai selok beloknya. Malah kajian-kajian yang dibuat berkaitan soal kejiwaan masih belum mampu menjadikan pengkajinya memiliki ketenangan jiwa atau kerehatan rohaniah. Bahkan seringkali kecenderungan mengkaji soal kejiwaan secara mendalam menjadikan seseorang itu sakit jiwa, sering mengalami tekanan perasaan dan ada juga yang tersesat jalan.

Kepentingan jiwa bagi manusia adalah seiring dengan kepentingan fizikal. Kerana tanpa jiwa atau roh, manusia hanyalah bangkai yang tiada erti dan nilai. Jiwa bagi manusia adalah umpama melodi bagi muzik atau peluru bagi selaras senapang. Biarpun betapa penting soal jiwa namun apa yang sering terjadi ialah pengabaian kepada aspek kejiwaan dalam kehidupan manusia. Dalam kehidupan serba moden hari ini secara realitinya penumpuan seringkali diberikan kepada aspek lahiriah dan fizikal yang dianggap begitu penting. Makanan, kosmetik, pakaian dan sukan menjadi tajuk utama berkaitan dengan soal insan. Di mana-mana sahaja akan kita dapati kecenderungan manusia mengutamakan soal fizikal. Di sekolah, di Universiti dan di pejabat-pejabat kerajaan selalunya aspek fizikal diberikan pembiayaan yang begitu tinggi jika dibandingkan dengan aspek pembangunan jiwa. Sebagai contoh ialah pembinaan masjid sendiri, meskipun masjid adalah lambang pembangunan jiwa manusia tetapi manusia lebih cenderung menfokuskan soal keindahan, keselesaan, keluasan, keseniaan, dan sebagainya. Tetapi soal hadir solat berjamaah, aktiviti majlis ilmu dan program zikrullah tidak diberikan perhatian. Natijahnya masjid yang fizikalnya indah dan luasa, lengang dari jamaahnya.

Dalam pada itu secara jujurnya kita mesti mengakui bahawa negara kita, malah dunia hari ini sedang berhadapan dengan isu yang lebih besar dari isu kemelesetan ekonomi dan lebih besar dari isu pergolakan politik, iaitu isu kegawatan tingkah laku manusia. Semakin hari tindak tanduk manusia semakin susah difahami dan semakin sukar diramal. Stail keruntuhan nilai dan jenayah sudah di luar batasan aqal manusiawi memikirkannya. Jika dibuat perbandingan, di zaman jahiliah dahulu jenayah yang melibatkan pembunuhan anak-anak perempuan dengan cara menanamnya hidup-hidup berlaku adalah kerana dipengaruhi kepercayaan khurafat bahawa mereka membawa sial kepada keluarga. Tetapi hari ini anak-anak dibunuh samada lelaki mahupun perempuan dengan dilempar ke dalam sungai, disumbat di lubang tandas atau dibiar dikerumuni semut di dalam bakul sampah akibat dari perbuatan seks bebas. Di zaman jahiliah anak-anak derhaka kepada ibubapa dengan tutur kata kasar atau pukul memukul sahaja tetapi hari ini ada anak-anak yang derhaka sanggup membunuh ibubapa mereka sendiri dengan tindakan yang kejam!

Jika di zaman jahiliah dan zaman sebelumya, Allah Taala mengutuskan para rasul bagi memandu manusia membetulkan kembali keadaan supaya manusia menjadi manusia dan bukannya binatang. Tetapi hari ini utusan Allah sudah tiada, yang tinggal hanyalah panduan mereka iaitu Wahyu dan As-Sunnah. Oleh itu sudah sampai masanya kita memikirkan kaedah terbaik merawat manusia berpandukan dua sumber utama ini.

Dalam menangani kemelut keruntuhan nilai yang semakin serius berlaku di kalangan umat manusia hari ini sepatutnya kita kembali mengambil pendekatan yang diajar oleh Allah Taala, kerana Dia lebih tahu tentang hakikat kejadian manusia yang diciptaNya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: (( Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah )). Surah Al-‘Alaq : 1-2.

Bagi memandu manusia ke arah mengecapi kehidupan yang aman dan harmoni Allah S.W.T telah mengutuskan para Rasul dengan membawa mesej yang sama melalui satu pendekatan yang sama. Meskipun dalam masa dan tempat yang berbeza namun mesej dan pendekatan adalah sama. Kerana manusia mempunyai sikap dan tingkah laku yang serupa dan Allah Taala lebih mengetahuinya. Maka tidaklah susah untuk kita menjadikannya sebagai panduan. Para utusan Allah telah diberikan tugas berat di dalam memandu manusia dengan dibekalkan dengan tiga strategi utama iaitu: Pembacaan ayat-ayat Allah, pembersihan jiwa dan pengajaran Al-Kitab dan hikmah. Perkara ini dinyatakan di dalam Al-Quran surah Al-Jumu ‘ah ayat 1-2 yang bermaksud: ((Sentiasa bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, ialah Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (As Sunnah). dan Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata )). Al-Jumu ‘ah : 1-2.


Ayat di atas secara jelas menyatakan bahawa tugas utusan-utusan Allah di samping mengajar manusia tentang hakikat pengabdian, juga diamanahkan untuk memimpin manusia ke arah pembersihan jiwa. Kerana dengan jiwa yang bersih barulah manusia dapat mengenali siapakah Tuhannya yang sebenar. Al-Quran sendiri telah menegaskankan bahawa hakikat kejayaan dalam hidup ialah sejauhmana manusia mampu membersihkan jiwanya samada dari kesyirikan mahupun dari cengkaman ideologi-ideologi ciptaan manusia yang menyesatkan. Firman Allah Taala:
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
Maksudnya : ((Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya). Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya berjayalah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya)). As-Syams : 7-10

Berilmu tanpa jiwa yang bersih bakal melahirkan golongan intelektual yang hanya memikirkan populariti dan keuntungan yang boleh diperolehi hasil ketinggian ilmunya. Malah pengagungan kepada ilmu semata-mata boleh menjadikan seseorang itu sebagai manusia sekular. Berharta pula tanpa jiwa yang bersih boleh melahirkan hartawan yang kedekut dan tidak pernah cukup dengan apa yang ada serta sanggup mengejar harta dan pangkat meskipun dengan cara yang salah.

Justeru tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan jiwa dan kebersihan hati adalah suatu yang sangat penting dan perlu diberikan penekanan. Soalnya bagaimanakah jiwa boleh dididik? Dan bagaimanakah jiwa yang kotor boleh dibersihkan?
Meskipun soalan yang dikemukakan nampak sukar untuk menjawabnya namun dari segi teorinya pendidikan jiwa adalah suatu yang telah jelas kaedah dan panduannya. Cuma akibat dari kebimbangan kita kepada aspek-aspek yang didakwa kononnya tidak penting seperti ini menyebabkan kita terlalu kabur mengenai aspek-aspek kejiwaan.

Nabi S.A.W bersabda:


روي عن أبي هريرة أن رسول الله(ص) قال:"إن الله لا ينظر إلى صوركم وألوانكم، ولكن ينظرإلى قلوبكم وأعمالكم"

Maksudnya: Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Nabi S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Allah Taala tidak melihat kepada rupa paras dan warna kulitmu, tetapi Dia melihat kepada hatimu dan amalanmu”. Riwayat Muslim.

Pendidikan jiwa sebenarnya telah diatur begitu teliti oleh Allah Taala Yang Maha Pencipta dan Maha Bijaksana melalui kefardhuan ibadah-ibadah utama dalam Islam seperti solat, puasa, zakat dan haji. Melalui solat jiwa akan terdidik dengan sifat tenang dan fokus. Solat berjamaah pula mendidik jiwa supaya merendah diri, sabar, patuh dan menghormati orang lain. Oleh itu tidak hairanlah solat dikagumi fungsinya oleh sesetengah pemikir bukan Islam. Sebagai contoh apa yang diungkapkan oleh Sarojini Naidu seorang penyajak terkenal India mengenai fungsi solat dengan katanya:

"It was the first religion that preached and practiced democracy; for, in the mosque, when the call for prayer is sounded and worshippers are gathered together, the democracy of Islam is embodied five times a day when the peasant and king kneel side by side and proclaim: 'God Alone is Great'... I have been struck over and over again by this indivisible unity of Islam that makes man instinctively a brother." (S. Naidu, IDEALS OF ISLAM, vide Speeches & Writings, Madras, 1918, p. 169).

Pendidikan jiwa juga boleh dibangunkan melalui zikrullah, membaca al-Quran, aktiviti dakwah, duduk dengan orang-orang soleh, ziarah kubur, ziarah orang sakit, bersedekah, berkawan dengan golongan fakir atau susah dan menghadiri majlis-majlis ilmu. Kesemua aktiviti ini boleh meruntun jiwa memiliki sifat sabar, rendah diri, takut mati, syukur dan sebagainya. Jika sifat-sifat ini dimiliki oleh seorang yang berilmu maka ia akan menjadi ilmuan yang tawadhuk serta menggunakan ilmunya untuk kemaslahatan umum dan bukannya untuk kepentingan peribadi. Dan jika sifat-sifat ini dimiliki oleh seorang yang berharta maka ia akan menjadi hartawan yang pemurah, bersyukur dan merendah diri. Malah jika sifat-sifat ini dimiliki oleh seorang pemimpin, ia akan menjadi pemimpin yang sentiasa takut melakukan kezaliman kepada rakyatnya dan sebagai balasannya pemimpin tersebut disayangi rakyat secara ikhlas.

Persoalannya, apakah kita sudah bersedia menerima aktiviti-aktiviti pendidikan jiwa dalam institusi dan organisasi yang kita anggotai hari ini? Apakah pejabat-pejabat kerajaan yang dilanda krisis kegawatan tingkah laku manusia hari ini bersedia melakukan transformasi ke arah menjalankan secara lebih serius program-program pembangunan jiwa? Apakah sekolah-sekolah dan institusi pendidikan tinggi yang dilanda krisis keruntuhan nilai yang dahsyat hari ini bersedia menjadikan program pembangunan jiwa sebagai satu kurikulum utama dalam pengajaran dan pembelajaran? Apakah kita bersedia menjadikan pembangunan jiwa sebagai asas utama menangani kemelut ahli-ahli politik dan pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan pecah amanah dan rasuah? Atau kita sememangnya terus menganggap aspek kerohanian adalah suatu yang bersifat individu dan tidak perlu diberikan keutamaan. Atau kita terus beranggapan bahawa agama tidak wajar disentuh secara terangan di dalam situasi kehidupan masyarakat majmuk dan ia hanya layak menjadi topik di dalam masjid sahaja?

Lihatlah betapa Allah Taala sendiri telah memberikan satu panduan bahawa pendidikan jiwa dan pembersihan hati merupakan satu strategi penting di dalam membetulkan tingkah laku manusia. Sebagai contoh Nabi Musa a.s di dalam berhadapan dengan situasi yang paling gawat ketika berhadapan dengan pemimpin paling zalim dalam sejarah Tamadun Manusia iaitu Fir ‘aun, Allah Taala telah mengajarnya supaya mendatangi Fir ‘aun dan mengajaknya membersihkan jiwa. Kerana segala keangkuhan, kekejaman dan kezaliman Firaun adalah berpunca dari jiwa yang celaru. Firman Allah Taala kepada Nabi Musa a.s yang bermaksud: (Allah Taala berbicara kepada Nabi Musa) "Pergilah kamu kepada Fir'aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Dan katakanlah (kepada Fir'aun): "Adakah kamu ingin untuk membersihkan diri (dari kesesatan)?”. Surah Al-Nazi ‘at : 17-18.

Khulasahnya, pendidikan jiwa dan kerohanian hendaklah menjadi agenda utama setiap institusi pada hari ini. Kerana kita mengakui bahawa kita sudah berjaya membangunkan aspek fizikal dalam pelbagai bidang seperti bangunan pencakar langit, taman-taman indah, kemudahan infrastruktur, kecanggihan pusat sukan dan kemajuan pengangkutan. Oleh itu kita perlu memberikan penumpuan pula kepada pembangunan aspek-aspek kejiwaan. Kerana apalah gunanya kita berhabis duit menyediakan pengawal keselematan untuk menjaga bank sebagai contoh, tetapi jiwanya kosong dari rasa takut kepada dosa. Natijahnya pengawal bank sendiri bersubahat melakukan rompakan bank. Apalah guna kita menyediakan polis yang berfizikal kuat dan berpengalaman tetapi jiwanya kosong dari takutkan azab Allah. Natijahnya, pegawai polis sendiri yang terlibat dengan rasuah. Apalah guna kita mendidik dan menyediakan prasarana pendidikan bertaraf dunia kepada para pelajar tetapi jiwa mereka kosong. Natijahnya, begitu ramai pelajar-pelajar hari ini terlibat dengan seks bebas, minum arak, ketagihan dadah dan sebagainya. Semoga kita sama-sama menginsafi bahawa tiada cara lain untuk mengembalikan keharmonian hidup manusia melainkan kembali kepada cara dan kaedah yang disediakan oleh Yang Maha Pencipta!

2 comments:

Anonymous said...

hi sir..saya pernah diajar oleh sir 2 sem yang lepas atas subjek titas..baru mendapati sir ada blog...sir ada pandangan sendiri yang specific dan special tentang perkara...sangat menyukai blog sir..harap sir dapat teruskan..sekian

Zuridan Mohd Daud said...

Hi, mungkin anda boleh perkenalkan diri? Terima kasih kerana lawat blog saya...masih belajar di UMP ke? Melalui blog ini bolehlah anda turut sama memberikan idea dan pandangan...saya terbuka menerimanya. Tq