8/16/2009

Moga tempatmu di Syurga..

Pagi Khamis 13 Ogos yang lalu ketika dalam perjalanan ke UKM saya mendapat mesej memberitahu bahawa Ustaz Asri Rabbani telah kembali ke rahmatullah. Entah mengapa hati ini bagai ditusuk-tusuk dengan rasa sedih dan hiba meskipun saya bukanlah kenalannya dan bukan saudara maranya. Tetapi seingat saya semenjak di bangku sekolah menengah lagi saya menjadi peminat setia kepada kelunakan suara Ustaz Asri. Malah saya pernah ke Sg Penchala semata-mata untuk mendengar suara beliau mengalunkan lagu-lagu nasyid yang sangat menyentuh jiwa. Memang terasa seolah-olah dunia menjadi sunyi seketika kerana hilangnya suara emas seorang pejuang yang terus istiqomah dengan alunan nasyid dakwahnya. Asri saya doakan agar saudara di tempatkan di dalam Syurga Allah. Engkau begitu berbeza dengan arwah artis-artis yang lain kerana mereka meninggalkan dunia dengan hasil seni yang tidak mendidik jiwa...namun Ustaz Asri pastinya terus bersinar pahalanya kerana setiap bibir yang menuturkan bait-bait nasyid yang diciptanya pasti akan sampai pahalanya kepada beliau. Kehilangan Ustaz Asri diratapi oleh pejuang-pejuang Islam tetapi mungkin bagi beliau itulah idamannya selama ini...merenungi senikata-senikata nasyid beliau bersama Rabbani pastinya kita akan tahu apakah yang dirindui oleh beliau...tidak lain tidak bukan beliau merindui syurga Allah...InsyaAllah kita akan bertemu di akhirat kelak wahai saudaraku Asri.

8/05/2009

Isu Arak; Syabas Dr Hasan Ali.

Sepatutnya beberapa isu yang berlaku dalam negara sehari dua ini tidak perlu terlalu dipolitikkan, kerana ia mengundang kekecohan yang berpanjangan sedangkan isu-isu tersebut memberi kesan negatif kepada persepsi orang ramai terhadap Islam. Apa yang saya maksudkan ialah sebagai contoh isu arak di Selangor. Saya secara tulus sangat berbangga dengan kesungguhan Datuk Dr Hassan Ali Exco Agama Islam Selangor yang berkeras mempertahankan tindakan membenteras penjualan arak di Selangor. Meskipun tindakan beliau dan juga wakil-wakil rakyat PAS yang lain ini memberikan kesan negatif kepada hubungan dengan wakil-wakil rakyat bukan Islam di selangor namun mereka tetap menunjukkan kesungguhan melaksanakan tuntutan Allah meskipun boleh menggugat survival politik mereka pada masa akan datang.

Saya juga tertarik dengan isu rumah penyembelihan babi di Alor Setar Kedah yang di roboh oleh kerajaan negeri meskipun mendapat reaksi negatif dari DAP. Namun Ustaz Azizan MB Kedah tetap bertegas dalam menegakkan keadilan dan undang-undang meskipun boleh menjejaskan sokongan bukan Islam kepada kerajaan pimpinan PAS di Kedah. Dua peristiwa yang berlaku ini bagi saya memberikan satu isyarat bahawa dua perkara paling sensitif yang wajar diberikan perhatian oleh setiap pemerintah Muslim iaitu arak dan babi yang menjadi keutamaan bagi bukan Islam khususnya orang-orang China bukan Islam. Justeru isu-isu seumpama ini wajar ditangani segera sebelum ianya sampai ke satu peringkat tidak dapat dikawal lansung. Kerana kita amat bimbang dengan kecenderungan bukan Islam menjual dan mengaut keuntungan melalui arak menyebabkan Malaysia satu hari kelak dikenali pula dengan syurga Arak! (selepas dikenali sebagai syurga judi).
Isu arak sebenarnya bukan sahaja berleluasa di Selangor malah di Pahang satu ketika dahulu penduduk di kawasan perumahan Taman Guru dan Tanjung Lumpur pernah memprotes penjualan arak di kedai 7-Eleven yang terletak dalam kawasan 99%melayu Islam. Sedangkan hasil pemerhatian didapati yang membelinya arak-arak tersebut ialah remaja melayu muslim. Namun desakan penduduk tidak dilayan kerana ada wakil rakyat bukan Islam yang berkeras tidak setuju dengan sekatan menjual arak di kedai berkenaan. Akhirnya hingga sekarang arak-arak tersebut terus dijual secara terbuka. Begitulah juga dengan penjualan arak di Pulau Tioman yang kononnya untuk pelancong asing. Namun kedudukan pusat jualan arak di tengah-tengah kampung Melayu tradisional telah mengundang budaya minum arak di kalangan penduduk setempat kerana ianya boleh didapati dengan mudah dan murah.
Apa yang lebih menyedihkan ialah banyak Chalet, Hotel dan pasaraya yang memberikan tugas menjual dan menghidang arak kepada anak-anak Melayu Islam. Lihatlah di Hotel The Legend Cherating, Hotel Swiss Garden di Beserah kesemua pelayan di Bar ialah gadis-gadis Melayu. Malah di Hotel Mutiara Taman Negara Jerantut pun pelayan-pelayan yang menghidangkan arak kepada pelancong ialah di kalangan anak-anak muda Melayu Islam. Sungguh menyedihkan melihat situasi ini. Jika sesiapa berpeluang ke sana boleh lihat fenomena tersebut.
Saya amat berharap semua pemimpin samada di bawah UMNO-BN atau PR yang beragama Islam agar dapat bertindak segera membendung arak dari berleluasa kerana arak adalah punca kepada segala kejahatan. Para Mufti pula seharusnya lebih sensitif dengan isu-isu seperti ini dan berani bersuara mempertahankan kesucian Islam. Bukannya terbelenggu dengan isu-isu remeh-temeh mainan ahli politik murahan yang sering dimainkan oleh media tidak bertanggungjawab.
Dalam menangani isu-isu seumpama ini saya amat menyokong jika semua kerajaan negeri yang dipimpin oleh MB Melayu Islam agar menurut jejak langkah Negeri Kelantan yang sudah lama mempunyai dasar jelas terhadap kawalan penjualan arak dan segala aktiviti berunsur yang maksiat. Janganlah disebabkan perbezaan politik menjadikan kita menolak kebaikan yang telah lama dilaksanakan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nikmat di Kelantan.

8/03/2009

Persediaan Menghadapi Ramadhan Al-Mubarak


Sabda Rasulullah s.a.w:

((كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ))

(( Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan dahaga dan berapa ramai orang yang qiam (solat malam) tetapi ia tidak mempperolehi apa-apa melainkan berjaga sahaja)). Riwayat Imam Ahmad

Hadis di atas membayangkan bahawa pada bulan Ramadan terdapat juga golongan yang berpuasa namun mereka tidak mendapat ganjaran pahala dari Allah Taala kerana mereka berpuasa dalam keadaan jahil atau ketika berpuasa mereka turut melanggar syariat Allah Taala. Justeru bagi memastikan ibadah puasa Ramadan tidak dilalui dengan sia-sia sewajarnyalah kita berusaha membuat persediaan rapi demi memperolehi ganjaran berlipat ganda yang ditawarkan oleh Allah Taala sepanjang Ramadan.
Berikut adalah beberapa persiapan yang boleh dibuat oleh seorang muslim bagi menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna:

1) Persiapan Diri:

Sebagai muslim yang benar-benar prihatin dengan kehadiran Ramadhan semestinyalah menyemak semula hukum-hakam yang berkaitan dengan pengertian puasa, hikmah, rukun dan perkara-perkara yang membatalkan puasa agar ibadah yang dilalui tidak sia-sia. Juga hendaklah mengetahui amalan-amalan sunat yang sangat digalakkan ketika berpuasa seperti membaca al-quran, bersedekah dan membantu golongan yang susah. Di samping itu hendaklah juga mengetahui fatwa-fatwa berkaitan dengan permasalahan semasa yang berkaitan dengan puasa.

Kita juga hendaklah mengetahui bahawa ketika Ramadhan kita bukan sahaja dituntut menahan lapar dan dahaga tetapi hendaklah juga memelihara aurat, tidak bergaul bebas lelaki dan perempuan, tidak mengunjungi pusat-pusat hiburan dan kelab malam, tidak bersentuhan dengan bukan muhrim, tidak membeli tiket loteri dan berjudi, tidak menghabiskan masa membuat perkara sia-sia seperti menonton tv dan mendengar lagu-lagu yang melalaikan dan tidak terlibat dengan mengumpat dan menfitnah orang lain.

Seorang muslim yang akan menempuh bulan Ramadhan sewajarnya menanamkan keazaman dengan penuh ikhlas untuk menumpukan sepenuhnya bulan ini dengan amal ibadah. Kehadiran ke masjid bukan kerana malu kepada orang ramai tetapi benar-benar mengharapkan pengampunan dari Allah Taala.

Cara yang terbaik untuk meningkat ilmu dan kefahaman berkaitan puasa khususnya ialah dengan menghadiri ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang menyentuh tentang persediaan Ramadhan dan ibadah puasa.

Bagi memastikan amalan harian kita lebih teratur dan tersusun sepanjang Ramadhan, kita bolehlah menyusun satu jadual ringkas seperti berikut:

Subuh :
• Bangun awal dan solat sunat dua rakaat (tahajjud).
• Bersahur sekurang-kurangnya seteguk air.
• Solat Subuh di masjid atau surau.
• Membaca al-Quran atau mendengar tazkirah subuh.

Pagi:
• Ke pejabat dengan menghayati bacaan al-Quran di dalam kenderaan.
• Solat Sunat Dhuha
• Bekerja seperti biasa.

Tengahari:
• Solat Zohor berjamaah samada di masjid berdekatan atau di pejabat.
• Tadarus al-Quran bersama rakan-rakan di pejabat atau belajar membaca al-Quran.
• Rehat atau tidur lebih kurang sepuluh minit.
• Bekerja seperti biasa.

Petang:
• Solat Asar di masjid atau surau.
• Membaca al-Quran.
• Pulang ke rumah dengan menghayati bacaan al-Quran di dalam kenderaan.
• Menyediakan juadah berbuka/membantu isteri.
• Bertadarus al-Quran dengan keluarga.
• Berbuka puasa dengan tamar dan air kemudian solat maghrib berjamaah di masjid (bagi lelaki).
• Solat Maghrib Berjamaah di Masjid (Kaum lelaki).
• Pulang ke rumah untuk makan bersama keluarga.

Malam:
• Solat Sunat sebelum Isyak
• Solat Isyak.
• Solat Sunat selepas Isyak.
• Solat Sunat Tarawih.
• Bertadarus al-Quran di masjid atau surau.
• Tidur awal untuk bangun awal.

Ketika waktu cuti pula sebaiknya dipenuhi dengan amalan beriktikaf di masjid samada seorang diri atau membawa isteri dan anak-anak yang sudah dewasa. Sewajarnya bulan puasa ini dikurangkan aktiviti berjalan-jalan ke pusat membeli belah atau pusat pelancongan kerana biasanya akan terdedah kepada memandang kepada sesuatu yang boleh mengurangkan pahala puasa.

Segala perancangan amalan di atas tidak boleh dilakukan secara mengejut atau tergesa-tergesa, oleh itu kesempatan di bulan Syaaban ini wajar digunakan bagi membiasakan diri dengan amalan-amalan tersebut.

2) Persiapan di Rumah:

Sebagai ketua keluarga seorang bapa adalah bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana iman di rumah ketika bulan khususnya ketika bulan Ramadhan. Isteri dan anak-anak hendaklah dibiasakan dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaatSabda Rasulullah s.a.w:


Antara persediaan yang boleh dilakukan ialah dengan menyediakan bilik atau sudut khusus di dalam rumah untuk beribadah. Sediakan al-Quran secukupnya untuk ahli keluarga dan tetapkan waktu untuk solat malam berjamaah atau waktu membaca al-Quran bersama-sama. Sediakan vcd kuliah agama dan dokumentari Islam untuk ditonton ketika waktu lapang. Pastikan ahli keluarga tidak menghabiskan masa di hadapan tv menonton rancangan atau filem yang tidak bermanfaat.

Ketua keluarga juga mestilah memastikan isteri dan anak-anak yang sudah dewasa benar-benar menutup aurat ketika keluar dari rumah.

Sebelum Ramadhan elok juga diadakan satu taklimat khusus kepada ahli keluarga untuk menerangkan fadhilat-fadhilat Ramadhan dan disiplin yang mesti dipatuhi sepanjang Ramadhan.

3) Persiapan di Masjid.

Masjid atau surau adalah tempat tumpuan sepanjang bulan Ramadhan. Oleh itu ahli jawatankuasa masjid hendaklah membuat perancangan rapi bagi menyediakan tempat yang kondusif untuk beribadah sepanjang Ramadhan khususnya. Persediaan rapi ini juga wajar dibuat supaya ada ahli jamaah yang datang dapat terus istiqomah berjamaah di masjid walaupun selepas tamatnya Ramadhan.

Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan ialah menyediakan Imam yang baik bacaannya untuk mengetuai solat Tarawih kerana ia memainkan peranan penting membangkitkan keseronokan melakukan solat Tarawih. Imam ini juga hendaklah diberi taklimat terlebih dahulu agar membaca al-Quran tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek ketika solat Tarawih. Amalan membaca sejuzuk al-Quran satu malam perlulah diukur dengan kesesuaian ahli jamaah. Kerana fenomena yang sering berlaku ialah tempoh yang panjang ketika solat Tarawih menyebabkan ramai makmun yang lari dan meninggalkan jamaah. Begitu juga dengan jumalah rakaat solat Tarawih samada 8 atau 20 hendaklah dilihat dari sudut keberkesanan dan peluang menyampaikan untuk berdakwah.

Di samping itu satu ceramah atau kuliah khusus perlu diadakan sebelum Ramadhan bagi meningkatkan kefahaman tentang ibadah puasa. Manakala di sepanjang bulan Ramadhan hendaklah diatur aktiviti tazkirah 7 ke 10 minit setiap hari selepas 4 rakaat solat Tarawih.Tazkirah ini hendaklah menfokuskan kepada hikmah-hikmah berpuasa dan perkara-perkara yang berkaitan dengan keindahan Islam. Kerana kebanjiran umat Islam di masjid ketika Ramadhan wajar dijadikan peluang menyampaikan mesej dakwah dan menanamkan kefahaman Islam kepada mereka.

Penutup.

Demikianlah beberapa cadangan persiapan yang boleh dilakukan oleh setiap individu muslim bagi memastikan keagungan bulan Ramadhan yang ditempuhi tidak berlalu dengan sia-sia.