5/14/2010

ZAKAT, membantu mereka yang berhutang


Berhutang meskipun diharuskan kepada umat Islam namun ia tidak digalakkan kerana banyaknya hutang boleh mengganggu kelancaran hidup seorang muslim. Oleh itu Nabi SAW

telah bersabda:


إِنَّ الرَجُلَ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذِبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ)) رواه البخاري))

Maksudnya:((Sesungguh seseorang yang berhutang itu apabila di berkata-kata dia akan berbohong dan apabila dia berjanji dia akan memungkirinya)).

Pada hari ini ramai di kalangan umat Islam yang berhutang tetapi akhirnya tidak mampu melangsaikan hutang tersebut. Akibatnya ada yang di black list, di sekat segala urusan kewangannya dan ada yang dikejar oleh along. Meskipun berhutang adalah berpunca dari tindakan individu namun Islam tidak membiatkan mereka yang berhutang terus dibelenggu kehidupan mereka. Justeru, bagi membantu mereka yang sudah terjebak di dalam hutang dan terkonkong hidup akibat tidak mampu melangsaikannya maka Islam memberikan jalan keluar melalui bantuan yang disediakan oleh institusi zakat. Namun begitu Islam menetapkan peraturan-peraturan yang rapi agar harta zakat tidak digunakan sewenang-wenangnya. Para ulama telah membahaskan isu ini demi mencapai kata sepakat di dalam melaksanakan apa yang telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Berhutang atau Al-Gharim ada disebut sebagai salah satu daripada lapan asnaf zakat yang layak menerima bantuan zakat sepertimana dinyatakan oleh Allah Taala di dalam surah Al-Taubah ayat 60:
Maksudnya: ((Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana)).

Menurut mazhab Syafie, dalam soal agihan zakat, ia hendaklah merangkumi kesemua lapan asnaf yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran. Ini dapat difahami melalui lafaz zahir nas yang menunjukkan tiada pengecualian di antara kelapan-lapan asnaf tersebut. Justeru Al-Gharimin juga termasuk di dalam golongan mereka yang sepatutnya menerima agihan zakat yang dikutip dari kalangan umat Islam.

Siapakah sebenarnya Al-Gharimin?

Al-Gharimun ( الغارمون ) adalah merupakan katanama ramai bagi perkataan Al-Gharim ( الغارم ) yang bererti orang yang berhutang. Adapun Al-Ghariim ( الغريم ) ialah orang yang member hutang atau juga disebut dalam bahasa Arab Al-Madiin ( المدين ).
Menurut mazhab Abu Hanifah Al-Gharim ( الغارم ) ialah orang yang berhutang dan tidak mempunyai kemampuan untuk membayar hutangnya[1].

Manakala menurut Imam Malik, Syafie dan Ahmad Al-Gharim itu terbahagi kepada dua jenis iaitu:
1) Al-Gharim/ Berhutang kerana kepentingan diri.
2) Al-Gharim/Berhutang kerana kepentingan ramai atau masyarakat.

1) Al-Gharim/ Berhutang kerana kepentingan diri.
Iaitu mereka yang berhutang kerana memenuhi keperluan diri sendiri atau keluarga sendiri seperti kerana membeli kereta, rumah, perubatan, belajar atau mengahwinkan anak. Al-Tabari meriwayatkan dari Abu Jaafar bahawa:

الغارم : المستدين في غير سرف، ينبغي للإمام أن يقضي عنهم من بيت المال

Ertinya: “Al-Gharim itu ialah orang yang berhutang dengan tidak membazir, maka sewajarnya Imam (pemerintah) melangsaikan hutangnya dari Baitul Mal”[2].
Dr Yusof Al-Qardhawi berpendapat termasuk di bawah kategori ini ialah mereka yang berdepan dengan bencana yang tiba-tiba menimpa mereka, yang menyebabkan mereka terpaksa berhutang atau terpaksa meminjam untuk meringankan beban hidup mereka. Mujahid r.a berkata : Tiga kelompok termasuk dalam Al-Gharimin iaitu: Seorang yang ditimpa banjir hingga musnah hartanya, seorang yang ditimpa kebakaran hingga musnah hartanya dan seorang yang mempunyai tanggungan tetapi tiada harta, dia berhutang untuk menanggung keluarganya[3].
Syarat-Syarat diberikan zakat.

i. Golongan ini diberikan zakat apabila memenuhi syarat-syarat berikut:
ii. Benar-benar memerlukan bantuan dan bukannya orang yang berkemampuan atau kaya.
iii. Berhutang kerana perkara harus atau ketaatan dan bukannya dalam perkara maksiat.
iv. Melihat kepada kemaslahatan umum yakni tidak menjejaskan agihan kepada asnaf yang lebih utama seperti fakir dan miskin.
v. Hutang yang berkaitan dengan hak-hak manusia dan bukan hak-hak Allah seperti hutang zakat dan hutang kaffarah.

2) Al-Gharimin/Berhutang kerana kepentingan ramai atau masyarakat.
Iaitu orang yang berhutang bagi mendatangkan manfaat kepada umat manusia seperti mendamaikan dua kumpulan bertelagah dengan melakukan sulh atau perdamaian yang melibatkan bayaran ganti rugi atau sejumlah harta.
Termasuk juga dalam kelompok ini ialah mereka yang berhutang kerana membuat kebajikan seperti membina rumah anak yatim, membina hospital, membina masjid atau sekolah. Kesemua aktiviti yang berkaitan dengan kebajikan ummah dan kepentingan orang ramai layak mendapatkan bantuan zakat bagi membantu menyelesaikan hutang yang digunakan untuk tujuan tersebut.

Bolehkah bahagian Al-Gharimin dijadikan sebagai hutang?

Syeikh Abu Zahrah, Abdul Wahab Khalaf dan Abdul Rahman Hasan di dalam kenyataan mereka yang dikeluarkan dalam satu seminar berkaitan dengan kajian kemasyarakatan yang telah berlansung di Damsyik Syria pada tahun 1952 telah berpendapat bahawa, harus memberikan hutang (Qardhul Hasan) kepada orang yang memerlukan, yang diambil dari bahagian Al-Gharimin. Ini sekiranya hutang yang diberikan adalah bersifat adil diambil dari harta zakat. Ini lebih utama diberikan sebagai Qardhul Hasan yang bebas dari riba kemudian dipulangkan semula ke Baitul Mal[4].

[1] البحر الرائق ج2 ص 260, الدر المختار وحاشية رد المختار ج2 ص63.
[2] Tafsir Al-Tabari, Jilid 14, ms 338.
[3] Tafsir Al-Tabari.
[4] Uthman Husin Abdullah, Al-Zakah; Al-Dhoman Al-Ijtimaie Al-Islamie, 1989, Darul Wafa, Kaherah.

2 comments:

Mr Final said...

info yg bagus ystaz...

Wasterly Lee said...

Salam sy meminta bantuan zakat untuk selesaikan hutang d syarikat kewangan berjumla rm6000. Bantula sy kerana sy baru mula bawa teksi.dah tertungak selama 5 bulan