Qazaf Menurut Fiqh Islam[1]
Oleh: Zuridan Mohd Daud
Mukadimah.
Hukum hudud disyariatkan bertujuan memenuhi tuntutan Maqasid al-Syariah iaitu memelihara dan mengawal keselamatan hidup manusia. Hudud adalah katanama jamak kepada ‘al-Hadd’ yang bermaksud ‘tegah’. Ia adalah hukuman bersifat ‘al-Muqaddarah’ (ditetap kadarnya) yang ‘wajib’ dengan tujuan menakutkan pelaku jenayah[2] dan mencegah berleluasanya jenayah dalam sebuah negara Islam.
Hudud adalah hukum yang ditetapkan oleh Allah Taala bukan semata-mata bertujuan menghukum sebaliknya ialah adalah bermatlamatkan cegahan dan halangan daripada berleluasanya jenayah syariah. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Talaq ayat 1:
Maksudnya: ((Dan itulah hudud (hukum-hukum) Allah (maka janganlah kamu melanggarnya). Sesiapa yang melanggar hukum-hakam Allah, maka sesungguhnya dia telah menzalimi diri sendiri)).
Hukum hudud yang ditetapkan oleh syarak ialah tujuh kesemuanya iaitu Zina, Qazaf, Syarb al-Khamr(minum arak), Sariqah(mencuri), Hirabah(merompak), Bughah dan Riddah (murtad). Kesemua hukum tersebut disebut di dalam Al-Quran dan disyarahkan perlaksanaannya oleh Nabi SAW melalui hadisnya.
Bagi setiap muslim dan bagi setiap negara Islam sepatutnya tiada sebarang keraguan terhadap setiap hukum syarak yang diturunkan oleh Allah SWT, termasuklah hukum hudud. Keimanan kepada Allah SWT melazimkan keimanan kepada setiap perkara yang telah ditetapkannya. Ini bertepatan dengan firmanNya di dalam surah al-Nisa ayat 65:
Maksudnya: ((Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap ketetapan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya)).
Definisi Qazaf.
Qazaf di sudut bahasa bermaksud ‘Al-Ramy’ (lempar). Seperti melempar batu. Dari segi istilah terdapat pelbagai takrifan yang telah diberikan oleh para ulama mazhab. Berikut adalah takrifan para fuqaha mengenai Qazaf:
Al-Kasani (Hanafi) berkata[3]: “Dan adapun had Qazaf, sebab wajibnya ialah perbuatan qazaf (tuduhan) dengan zina, kerana menisbahkannya dengan zina, padanya ada unsur mencela orang yang diqazafkan, maka wajib dikenakan hudud sebagai menghalang celaan ke atasnya”.
Al-Azhari (Maliki) dalam mentakrifkan Qazaf berkata[4]: “Qazaf pada syarak ialah seseorang itu menisbahkan anak Adam lain yang merdeka, baik, muslim dan baligh atau budak yang boleh bersetubuh dengan tuduhan zina. Atau memutuskan nasab seseorang muslim, kerana adalah menuduh sesuatu yang jauh kemungkinannya dan tidak sahih….”.
Menurut al-Khatib al-Syarbinie (Syafie): Qazaf itu ialah menuduh seseorang berzina dengan tujuan mencela[5].
Manakala al-Qurafi (Hanbali) berpendapat bahawa‘Qazaf’ itu ialah[6]:
وَهُوَ الرَمْيُ بِالزِّنَى
Ertinya: “Melempar tuduhan zina”.
Bentuk-bentuk lafaz yang termasuk dalam kategori Qazaf adalah seperti seseorang berkata: Wahai penzina!, Engkau telah berzina dengannya!, Wahai peliwat!, Engkau telah meliwatnya!, atau mengatakan kepada seseorang: Ini bukan anakmu(dengan maksud menuduh si ibu berzina). Begitulah juga setiap lafaz yang membawa maksud tuduhan zina atau liwat pada ‘urf dengan tidak membawa saksi maka ia adalah dianggap sebagai Qazaf.
Menurut mazhab al-Syafie hukuman liwat juga adalah sama dengan zina dan tuduhan liwat tanpa saksi adalah termasuk dalam kes Qazaf seperti tuduhan zina dan menurut jumhur ulama (kecuali mazhab Hanafi) orang yang menuduh liwat terhadap seseorang tanpa empat orang saksi adalah wajib dikenakan hudud Qazaf.
Hukum melakukan Qazaf.
Qazaf adalah merupakan dosa besar dan salah satu dari jenayah hudud yang dinyatakan melalui Nas. Islam melarang melakukan Qazaf bagi tujuan memelihara maruah sesama umat Islam dari tercemar oleh budaya fitnah kerana bahaya fitnah lebih besar daripada membunuh.
Pengharaman Qazaf adalah dinyatakan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:
(اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ)
Maksudnya: (Jauhilah tujuh kesalahan yang merosakkan, Mereka (para sahabat) bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah dia? Jawab baginda: Syirik kepada Allah Azza Wajalla, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan haq, memakan riba, makan harta anak yatim, berpaling dari peperangan dan melempar tuduhan zina kepada wanita-wanita beriman yang cuai)[7].
Hukum hudud bagi Qazaf pula telah sabit melalui al-Quran ayat 4 surah al-Nur:
Maksudnya: ((Orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka itu selama-lamnya kerana mereka adalah orang yang fasiq)).
Imam Ibnu Katsir di dalam menghuraikan ayat ini berkata bahawa maksud ‘al-Muhsonah’ ialah wanita yang merdeka, baligh dan terpelihara maruahnya[8]. Menurut Imam al-Nawawi telah ittifaq para fuqaha bahawa Qazaf berlaku samada yang dituduh itu perempuan ataupun lelaki[9].
Imam al-Tobari di dalam tafsirnya pula menyatakan bahawa Sa’id ibnu Jubair[10] berpendapat bahawa ayat ini diturunkan bagi menjawab fitnah yang telah berlaku kepada ‘Aisyah r.a dalam peristiwa ‘Hadith al-Ifk’[11].
Menurut Imam al-Bukhari pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA, beliau telah melaksanakan hukuman sebat terhadap Abu Bakrah, Syabl bin Ma’bad dan Nafi’ kerana mereka melakukan Qazaf terhadap al-Mughirah bin Syukbah. Kemudian mereka diminta taubat dan Saidina Umar RA berkata: Sesiapa yang sudah bertaubat maka kesaksiannya akan diterima[12].
Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan bahawa Qazaf (menuduh zina tanpa saksi) adalah haram dilakukan oleh seorang muslim terhadap muslim yang lain samada dakwaannya itu padanya adalah benar atau bohong. Sekiranya berbohong maka ia adalah satu kezaliman dan sekiranya dakwaan itu benar pada pandangannya (sedangkan tiada saksi) maka ia termasuk di dalam kesalahan menyebarkan rahsia dan menjatuhkan maruah seseorang yang mesti dipelihara[13].
Hikmah hukum hudud Qazaf.
Menurut Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmuk bahawa pensyariatan hudud Qazaf adalah bagi memelihara masyarakat Islam dari terjebak kelembah kehinaan akibat dari tuduh-menuduh dalam soal kelucahan dan begitu mudah mengungkapkannya[14]. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 19:
Maksudnya: ((Sesungguhnya orang yang suka tersebarnya kecelaan di kalangan orang yang beriman bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat dan Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahui)).Bahagian-bahagian Qazaf.
Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu[15]:
Pertama: Melemparkan tuduhan zina secara sarih (jelas) yang tiada sebarang keraguan pada makna, yang mana jika ada empat saksi maka atau pelaku membuat pengakuan maka ia patut dikenakan hudud.
Kedua: Melemparkan tuduhan zina secara sindiran iaitu menafikan nasab seseorang kepada bapanya. Sebagai contoh menuduh dengan berkata: Kamu bukanlah anaknya! Kerana ia seolah-olah menuduh: Ibumu telah berzina!.
Hukuman Qazaf.
Orang yang melakukan Qazaf wajib dilaksanakan hudud ke atasnya sepertimana hukum hudud dikenakan kepada penzina dan ia termasuk dalam istilah ‘Uqubah Muqaddaroh’ iaitu hukuman yang tertentu kadar (oleh Nas).
Pesalah Qazaf, apabila cukup syarat-syaratnya wajib dikenakan hukuman hudud sepertimana terkandung di dalam ayat 4-5 surah al-Nur. Hukuman tersebut adalah seperti berikut:
Pertama: Sebatan sebanyak 80 kali rotan.
Kedua: Tidak boleh menjadi saksi, sehinggalah dia bertaubat nasuha dan melakukan amal soleh.
Syarat-syarat perlaksanaan Hudud bagi jenayah Qazaf.
Hukum hudud Qazaf tidak dilaksanakan melainkan dengan lengkapnya beberapa syarat bagi mengelak berlaku sebarang ketidakadilan. Terdapat sepuluh syarat yang telah ditetapkan oleh para fuqaha iaitu lima berkaitan dengan ‘al-Qazif’ (pelaku Qazaf) dan lima lagi berkaitan dengan ‘al-Maqzuf’ (yang dituduh berzina).
Syarat untuk ‘al-Qazif’:
Pertama: Baligh, maka tidak dikenakan hudud Qazaf kepada mereka yang belum cukup umur tetapi sekiranya sudah mumayyiz hendaklah dikenakan Takzir.
Kedua: Berakal, maka tidak dikenakan kepada orang gila, tetapi dikecualikan orang mabuk kerana sengaja minum arak.
Ketiga: Bukan dari ‘asal’ keluarga seperti bapa, datuk dan ke atas, dan juga ibu, nenek dan ke atas. Iaitu mereka yang tersebut tidak kenakan hudud Qazaf sekiranya dilakukan terhadap anak dan ke bawah.
Keempat: Melakukan secara sukarela dan bukannya paksaan. Ini berdasarkan hadis: (Di angkat qalam (catatan dosa) dari umatku jika tersalah, terlupa dan dipaksa melakukan sesuatu)[16]. Bagi orang yang terpaksa tidak dikenakan hudud kerana bukan kehendaknya dan begitu juga bagi yang memaksa kerana dia tidak dinamakan ‘Qazif’[17].
Kelima: Mengetahui bahawa ia adalah haram, iaitu jika sekiranya pelaku Qazaf itu jahil mengenainya kerana baru memeluk Islam atau kerana jauh dari ulama maka hudud Qazaf tidak dilaksanakan. Tetapi sekiranya pelaku tahu haramnya cuma jahil tentang hukumannya, maka hukum hudud Qazaf tetap dilaksanakan.
Syarat-syarat bagi ‘al-Maqzuf’:
Pertama: Muslim.
Kedua: Baligh.
Ketiga: Berakal.
Keempat: Hendaklah ‘Maqzuf itu ‘Afif memiliki sifat ‘al-Iffah’ iaitu dikenali sebagai orang baik yang tidak pernah berzina dan tidak pernah dijatuhkan hukuman hudud zina. Jika pernah maka hudud Qazaf tidak berlaku sebaliknya ditukar kepada Takzir.
Kelima: ‘Maqzuf’ tidak redha dan tidak mengizinkan ‘Qazif’ melakukan ‘Qazaf’ terhadapnya. Kerana jika wujud keizinan maka berlakulah ‘Syubhah’ dan hukum hudud secara lansung akan terbatal dengan adanya ‘Syubhah’.
Sabda Rasulullah SAW:
ادْرَؤُوا الْحُدُودَ عَنِ الْمُسْلِمِينَ مَا اسْتَطَعْتُمْ ، فَإِذَا وَجَدْتُمْ لِلْمُسْلِمِ مَخْرَجًا ، فَخَلُّوا سَبِيلَهُ ، فَإِنَّ الإِمَامَ أَنْ يُخْطِىء فِي الْعَفْوِ ، خَيْرٌ مِنْ أَنْ يُخْطِئَ فِي الْعُقُوبَةِ.
Maksudnya: (Hindarilah hudud dari kaum muslimin selagi kamu mampu, jika ada jalan maka lepaskanlah, sesungguhnya Imam jika tersalah memaafkan lebih baik daripada tersalah menjatuhkan hukuman)[18].
Jika sepuluh syarat-syarat di atas tidak sempurna maka gugurlah hukum hudud Qazaf. Namun dengan gugurnya hukum hudud tidaklah bermakna mereka yang melakukan tuduhan tanpa bukti terlepas dari sebarang hukum sebaliknya ia digantikan dengan hukuman takzir yang ditetapkan oleh pemerintah atau hakim. Samada hukuman tersebut dalam bentuk penjara atau sebatan yang lebih ringan dari hukuman hudud. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW : (Barangsiapa yang melampau hukuman hudud dalam kes bukan hudud maka dia termasuk dalam kalangan melampaui batas)[19].
Perkara-Perkara yang menggugurkan hukum hudud bagi jenayah Qazaf.
Pertama: Apabila wujudkan ‘al-Bayyinah’ iaitu empat orang saksi yang boleh diterima kesaksian mereka atau ‘al-Maqzuf’ (si tertuduh) membuat pengakuan maka hukuman hudud berpindah daripada ‘al-Qazif’ kepada ‘al-Maqzuf’. Jika berlaku kesaksian tetapi hanya melibatkan tiga orang saksi sahaja, kesemua mereka dikenakan hudud Qazaf.
Kedua: ‘al-Mqazuf’ iaitu orang yang dituduh memaafkan ‘al-Qazif’ (pelaku Qazaf). Ia seperti dalam kes bunuh apabila wali si mati memaafkan pembunuh maka gugurlah qisas. Ini adalah kerana hudud Qazaf berkaitan dengan hak manusia dan ia gugur apabila manusia menggugurkannya.
Ketiga: Melaksanakan ‘Li ‘an’ jika pelaku Qazaf itu adalah suami dan tertuduh adalah isteri. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Nur ayat 6-9 :
Maksudnya: ((Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar)).
Syarat-syarat Saksi:
Bagi memastikan kesaksian dalam kes tuduhan zina benar-benar adil dan tiada ruang untuk berlaku zalim maka ditetapkan syarat-syarat berikut:
Pertama: Saksi dalam tuduhan zina mestilah empat orang lelaki. Jika yang menjadi saksi tersebut empat orang wanita maka kesemuanya dikenakan Qazaf.
Kedua: Mereka juga hendaklah merdeka dan jika hamba menjadi saksi maka akan dikenakan hudud tetapi separuh sahaja iaitu 40 sebatan.
Ketiga: Saksi juga hendaklah dari kalangan muslim dan jika kafir tidak diterima kesaksiannya.
Kesimpulan
Hukum hudud Qazaf adalah merupakan pendekatan syarak yang terbaik di dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan saling hormat menghormati. Hukuman keras kepada penabur fitnah dan penyebar aib seseorang adalah bertujuan menyekat mereka yang suka menjadikan celaan berbentuk tuduhan seksual meneruskan amalan jahat mereka bagi menjatuhkan dan memalukan sesama muslim. Pendekatan hukum hudud adalah sebagai satu kaedah ‘Sadd al-Zaraie’ (menutup pintu) dalam memerangi jenayah syariah dari terus berleluasa dan bukan semata-mata bertujuan menyiksa pelaku jenayah sepertimana yang difahami oleh kebanyakan masyarakat (muslim dan bukan muslim) pada hari ini. Halangan terbesar dalam melaksanakan hukum hudud adalah soal keimanan kepada Allah SWT, kerana hanya apabila kuasa berada di tangan mereka yang benar-benar beriman dan yakin kepada syariat Allah sahaja barulah hukum Allah dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
[1] Kertas kerja ini dibentangkan di Masjid Saidina Umar al-Khattab RA, Bukit Sekilau Kuantan pada 14 Mei 2011, sempena Seminar Hukum Qazaf anjuran ABIM dan Ajk Masjid.
[2] Rujuk Sulaiman bin Ahmad bin Umar Al-Bujairimi Al-Syafie (M1221H), Al-Bujairimi ‘Ala Al-Khatib (Tuhfah Al-Habib ‘Ala Al-Khatib), ct 1 1996, Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, Beirut , jilid 5 hlm 3. Abdullah bin Mahmoud Al-Mausili (M683H), Al-Ikhtiar Li Ta’ lil Al-Mukhtar, ct 1 2009, Dar Al-Risalah Al-‘Alamiyyah, Beirut, jilid 3 hlm 451.
[3] ‘Ala Al-Din Abu Bakar Mas ‘ud al-Kasani (M585H), Badai’ al-Sanai’ fi Tartib al-Syarai’, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, jilid 9 hlm 216
[4]Salih Abd al-Sami’ al-Aabi al-Azhari, Jawahir al-Iklil Syarh Mukhtasar Khalil, Maktabah al-Thaqafah, Beirut, jilid 2 hlm 286.
[5] Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbinie, Mughni al-Muhtaj, ct 1997, Dar al-Makrifah, Beirut, jilid 4 hlm 203.
[6] Abdullah bin Ahmad bin Muhammad Ibnu Qudamah (541-620H), al-Kaafi, Dar Hajar, jilid 5 hlm 403.
[7] HR Imam al-Bukhari hadis no 2615 dalam tajuk Wasiat, bab firman Allah: ((Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim)) dan Imam Muslim hadis no 89 bab Tahrim al-Kabair.
[8] Ismail bin Umar bin Katsir (M 774H), Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, c.t 2 1999, Dar Tayyibah, Riyadh, jilid 6 hlm 13.
[9] Abu Zakariya Mahyu Al-Din bin Syarf Al-Nawawi(M676H), Kitab Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Maktabah Al-Irsyad, Riyadh, Jeddah, jilid 22 hlm 94.
[10] Muhammad bin Jarir Al-Tobari (M 310H), Jami’ Al-Bayan ‘An Tafsir Al-Quran, c.t 2. Maktabah Ibnu Taimiah, jilid 15, hlm 122.
[11] ‘Hadit al-Ifk’ (حــديث الافــك) ialah peristiwa dusta atau bohong yang ditimpakan kepada isteri Baginda Rasulullah SAW Saidatina ‘Aisyah r.a yang berlaku setelah tamatnya perang dengan Bani Mushtaliq iaitu pada bulan Sya’ban 5 Hijriah. Peperangan tersebut turut disertai oleh kaum munafik, dan diikuti pula ‘Aisyah setelah berdasarkan undian yang dijalankan oleh Baginda Rasulullah SAW terhadap isteri-isterinya. Dalam perjalanan pulang dari peperangan, mereka berhenti di suatu tempat. ‘Aisyah RA keluar dari kafilahnya untuk suatu hajat, kemudian kembali. Tiba-tiba dia sedar kalungnya hilang, lalu dia pergi mencarinya. Ketika sedang mencari kalung itu, rombongan berangkat kerana menyangka bahwa ‘Aisyah sudah berada bersama kafilah tersebut. Setelah ‘Aisyah mengetahui mereka sudah berangkat dia duduk menunggu dan mengharapkan kafilah itu akan kembali menjemputnya. Kebetulan, ketika itu seorang sahabat Nabi, Shafwan ibnu Mu’aththal sedang melalui jalan tersebut ,maka dilihatnya seseorang sedang tidur sendirian dan dia terkejut seraya mengucapkan: “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un, isteri Rasulullah!” ‘Aisyah terbangun. Lalu dia dipersilakan oleh Shafwan mengenderai untanya. Syafwan berjalan meruntun untanya sehingga mereka tiba di Madinah. Orang-orang ramai yang melihat membuat telahan masing-masing dan mulailah timbul desas-desus fitnah. Kemudian kaum munafik membesar- besarkannya, maka timbullah fitnah ke atas ‘Aisyah RA dengan bertambah luas, sehingga menimbulkan kegoncangan di kalangan kaum muslimin. ( Tafsir al-Wasit, Dr. Wahbah Az-Zuhaily )
[12] Rujuk Sahih al-Bukhari Kitab al-Syahadaat, bab Syahadah al-Qazif wa al-Sariq wa al-Zanie.
[13] Mustafa al-Khinn, Mustafa al-Bugho, Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab Imam al-Syafie, ct 2 1992, Dar al-Qalam, damsyik, Jilid 8 hlm 65.
[14] Abu Zakariya Mahyu Al-Din bin Syarf Al-Nawawi(M676H), Kitab Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Maktabah Al-Irsyad, Riyadh, Jeddah, jilid 22 hlm 94.
[15] Abu Bakar bin Mas’oud Al-Kasani (M587H), Badaie’ Al-Sanaie’, fi Tartib Al-Syaraie’, ct 2 2003M, Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, Beirut, jilid 7 hlm 42.
[16] Sunan Ibnu Majah (2043-2045) bab Talak al-Mukrah wa al-Nasy.
[17] Mustafa al-Khinn, Mustafa al-Bugho, Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab Imam al-Syafie,jilid 8 hlm 67.
[18] HR al-Tirmizi (1424) tajuk al-Hudud bab Ma ja a fi Dar al-Hudud.
[19] HR al-Baihaqi (8/327).
2 comments:
Minta izin copy petikan untuk pelajaran ^^
Minta maaf Ustaz saya masukkan laman web ini dalam laman web saya
http://posts.fanbox.com/1w2f5
Jazakumullah terhadap ilmu yang dikongsi bersama-sama mudah2 an diberkati stlah memohon izin.
Post a Comment