9/19/2013

Panduan ringkas penulisan khutbah Jumaat




Oleh: Ustaz Zuridan Mohd Daud

Penulisan khutbah adalah satu kemahiran yang sangat penting kerana jika ia dilaksanakan dengan teliti dan tersusun maka pembacaan khutbah akan menjadi lebih menarik dan memberikan kesan yang baik kepada masyarakat.

Bagi tujuan itu di samping memberikan keutamaan kepada rukun-rukun khutbah aspek penulisan khutbah juga hendaklah menepati kaedah penulisan semasa yang lebih sesuai dengan situasi umat Islam masakini.

Berikut adalah panduan ringkas penulisan khutbah yang boleh dijadikan panduan dalam menyediakan teks khutbah agar penghasilan khutbah menjadi lebih baik.

A.  Rukun Khutbah.

Sebagaimana dimaklumi khutbah Jumaat mempunyai lima (5) rukun yang mesti ada dan dibaca dalam bahasa Arab, iaitu:

1.   Puji-pujian bagi Allah SWT dalam khutbah pertama dan kedua.
2.   Seruan supaya bertaqwa kepada Allah SWT dalam khutbah pertama dan kedua.
3.   Ucapan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dalam khutbah pertama dan kedua.
4.   Ayat al-Quran yang lengkap.
5.   Doa kepada umat Islam dalam khutbah kedua.

B.  Susunan penulisan khutbah.

1.   Pendahuluan: Mengandungi pujian kepada Allah SWT, syahadah, selawat, seruan bertaqwa dan ayat Al-Quran yang berkaitan dan bersesuaian dengan tajuk khutbah. (Ditulis dalam Bahasa Arab).

2.   Kata seruan yang sesuai seperti: ‘Sidang Jumaat yang dirahmati Allah’, Sidang Jumaat yang berbahagia sekelian’.

3.   Isi khutbah :
                    I.        Hendaklah menyentuh isu-isu semasa yang dihadapi umat Islam setempat.
                  II.        Hendaklah berfakta dan berdasarkan analisa yang tepat.
                III.        Hendaklah disokong dengan bukti dan hujah menurut pandangan ulama muktabar.
                IV.        Tidak mengandungi ajaran bertentangan dengan ahli sunnah wal jamaah.
                  V.        Tiidak mengandungi hasutan, prasangka dan cercaan terhadap individu tertentu.

4.   Penutup

            I.        Mengandungi kesimpulan dan rumusan daripada keseluruhan isi kandungan khutbah.
          II.        Satu ayat Al-Quran yang menjadi penutup kepada khutbah.
        III.        Diakhiri dengan ucapan:

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

C.  Tatacara penulisan:

            I.        Menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat setempat.
          II.        Tidak meleret dan terlalu panjang.
        III.        Ayat al-Quran hendaklah dinyatakan surah dan nombor ayat.
        IV.        Hadis hendaklah dinyatakan perawinya serta kedudukan hadis dan lebih utama adalah hadis yang sahih.
          V.        Terjemahan ayat al-Quran hendaklah menggunakan Tafsir Al-Rahman dan terjemahan Al-Quran Restu.
        VI.        Penulisan hendaklah menggunakan jenis ‘Arial’ bersaiz 12 dengan jarak 1.5.
      VII.        Penulisan hendaklah dalam anggaran 1000 patah perkataan.
    VIII.        Setiap muka surat hendaklah mempunyai nombor.







No comments: