4/24/2009
Iktibar buat diri yang Alpa
Menjadi satu kelaziman apabila seseorang itu mempunyai kelebihan dari segi ilmu dan kedudukan ilmiahnya akan merasa tercabar bila disanggah pendapatnya atau apabila ada yang cuba memberikan pendapat yang berbeza lebih baik. Ilmu sebenarnya tidaklah dapat memastikan seseorang itu terus boleh menjadi seperti padi, "semakin berisi semakin tunduk". Ilmu juga tidak boleh menjamin suburnya nilai murni pada diri seseorang. Justeru Nabi Musa a.s telah diperintah oleh Allah Taala bertemu Nabi Khidir apabila Nabi Musa merasakan dirinya yang terbaik dan paling berilmu ketika itu. Setelah berada bersama-sama Nabi Khidir barulah Nabi Musa kenal diri sendiri bahawa ilmunya amat cetek jika dibandingkan dengan ilmu Allah yang luas umpama air laut. Allah Taala secara tidak lansung mahu mendidik utusannya agar menjauhi sifat sombong dan ujub.
Ilmu selalu menjadikan seseorang bersifat ujub(ego), sombong dan angkuh. Orang berilmu apabila berbicara sering terdedah dengan rasa 'aku hebat'! Orang berilmu juga apabila ada yang lain memberikan pendapat akan berbisik di dalam hati 'lemahnya dia'. Ilmu juga boleh menjadikan seseorang bertindak di luar batasan akhlak islami. Cakapnya, muamalahnya, hatinya penuh dengan kekotoran mazmumah yang hanya menjadikannya tidak tinggi sepertimana yang sepatutnya ada pada orang berilmu. Sedangkan di dalam Al-Quran Allah Taala berfimran:((Allah mengangkat kedudukan orang yang berilmu dan orang yang beriman beberapa darjat kedudukan )).
Inilah akibatnya apabila orang berilmu meminggirkan aspek pembersihan hati atau tazkiyyatun nafsi. Al-Imam Al-Ghazali mengarang kitab 'Ihya ulumiddin' yang bermaksud 'Menghidupkan Ilmu-Ilmu Agama' bukan sekadar bermaksud mahu menghidupkan ilmu, tetapi beliau mahu mengfungsikan ilmu sebagai satu cara menghidupkan hati-hati ilmuan yang keras. Ilmuan yang cenderung mengkaji, menulis karya, bersyarah dan berdebat akan mengeraskan hatinya jika tidak diiringi amalan 'tazkiyyatun nasfi'. Sejarah telah membuktikan di mana ada golongan ilmuan yang akhirnya menjadi penentang agama kerana terlalu mengagungkan kebolehan dirinya lantas melahirkan ideologi 'Ilmaniyyah' (sekularisme).
Bagi memaknakan firman Allah Taala((Sesungguhnya orang yang takutkan Allah di kalangan hambanya ialah Ulama)),maka ilmuan semestinya tidak boleh meminggirkan aspek pembangunan jiwa. Ia boleh dilakukan melalui solat malam, zikrullah, membaca al-Quran, solat berjamaah di Masjid, bergaul dengan masyarakt awan dan berdampingan dengan orang-orang yang soleh. Semua amalan ini akan mencernakan dalam diri sifat-sifat mulia seperti tawadhuk, baik sangka, hormat menghormati dan saling berkasih sayang. Kecenderungan menjauhi orang soleh dan alim serta tidak bergaul dengan masyarakat awam akan menjadikan ilmuan terus angkuh dan tenggelam dalam ilusi ilmunya yang tidak berpijak di bumi nyata. Benarlah seperti mana sabda Nabi s.a.w:
((Sesiapa yang merendah diri akan diangkat kedudukanya oleh Allah dan sesiapa yang besar diri akan dihinakan olehNya)).
Semoga ilmuan hari ini kembali merenung diri dan bertanya dari manakah datang kebolehan ilmu yang dimiliki. Apakah sememangnya ia milik kita atau pinjaman dari Allah Taala? Cuba bayangkan, tiba-tiba nikmat akal ini dicabut olehNya...apakah yang akan berlaku?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Salam. Benar belaka tulisan Ustaz. Semoga kita dilindungi Allah dari sifat riak dan ujub atas ilmu yang dikurniakan Allah.
Ustaz, pada pendapat ustaz bagaimana insan yang bukan berlatar belakangkan pendidikan ilmu Islam secara khusus seperti saya yang hanya belajar ilmu kejuruteraan dapat bersama-sama memperjuangkan Islam di atas muka bumi ini?
Saya tidak dapat mencari matlamat menuntut ilmu sekarang ini untuk digunakan dalam berdakwah atau menyumbangkan sesuatu kepada dunia Islam.
Kekadang saya berasa cemburu melihat para pelajar yang menuntut di timur tengah seperti Ustaz yang boleh menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat. Seperti yang kita tahu mereka yang mengajarkan ilmu agama kepada orang lain memperoleh pahala yang begitu besar. Apakah wujud peluang seperti ini bagi insan seperti kami ini?
Apakah insan seperti kami memang tidak boleh mendapat darjat yang setaraf dengan insan berilmu agama seperti Ustaz dan ulama-ulama yang lain kerana kami juga termasuk dalam golongan berilmu cuma dalam bidang yang lain. Bukan niat tidak mahu bersyukur, tetapi apa salahnya kita berusaha mendapatkan yang terbaik di sisi Allah.
Wkmslm wrh. Akhi dalam Islam semua orang berpeluang mendapat kedudukan yang baik di sisi Allah. Masing-masing ada tugas dan peranannya. Sekiranya ia dilakukan bagi menyumbang ke arah kebaikan maka ganjarannya adalah sama di sisiNya. Malah sejarah telah membuktikan ramai di kalangan aktivis dakwah di kalangan jurutera, lawyer, arkitek, guru dan sebagainya. Ulamapun jika tidak berperanan akan menjadi lebih hina dari pemandu teksi yang berjuang untuk Islam. Namun begitu usaha mendalami ilmu Islam menjadi kewajipan semua dan tidak terkhusu kepada ulama sahaja. Oleh itu di samping mempelajari bidang masing2 kenalah juga mencari jalan memantapkan ilmu-ilmu asas dalam Islam seperti Aqidah dan Feqah....Insyallah rasa cemburu kepada ilmuan/ulama adalah asas permulaan yang baik untuk melonjakkan semangat dan kecintaan kepada majlis ilmu. Syabas Akhi!
Post a Comment