5/28/2009

Selamat Bersemadi Ustazah Marini


Panggilan talipon 1.30pagi 27 Mei 2009 telah mengenjutkan saya apabila dimaklumkan berita sedih di mana salah seorang pelajar saya telah kembali kerahmatullah iaitu Ustazah Marini Abd Aziz. Beliau adalah bekas pelajar saya dalam Program Berkembar IKIP dan Universiti Yarmouk Jordan. Berita tersebut menyebabkan tidur saya terganggu dan lebih kurang pukul 7.30pagi saya terus memecut ke Jerteh untuk menziarahi jenazah beliau. Entah mengapa bila berita sedih ni saya dapat tahu, kenangan lama terus mengimbau tanpa boleh dihalang. Marini dan kawan-kawannya adalah group pertama program berkembar ini dan saya ketika itu diamanahkan sebagai Pengarah Program. Program ini kuat diingatan saya kerana segala urusan bermula dengan perbincangan tajaan dengan MARA hinggalah ke Jordan menguruskan kemasukan pelajar2 berkenaan diamanahkan oleh IKIP kepada saya dan kumpulan pelajar pertama ni memang sangat rapat di hati saya kerana mereka memiliki sahsiah cukup baik, sangat menghormati guru, mesra dan aktif hinggakan hubungan sesama pelajar dan juga para pensyarah sangat rapat seperti sebuah keluarga. Meskipun sudah lama berpisah dengan mereka dan kini semuanya sudah berjaya namun hati saya masih bersama mereka dan selalu doakan kejayaan mereka. Marini adalah salah seorang daripada group tersebut dan bila berita kematiannya sampai kepada saya terus sahaja ingatan silam menerjah ruang fikiran saya.

Lebih kurang pukul 12 tgh saya sampai di Jerteh dan terus ke rumahnya. Orang sudah ramai dan sejurus kemudian beberapa buah bas membawa pelajar-pelajar Sekolah Imtiaz (anak murid beliau) datang. Saya sempat juga bertemu dengan Ustaz Hadi yang juga bekas pelajar saya di Ikip-Yarmouk, alhamdulillah beliau dah jadi ustaz di Imtiaz Besut. Kemudian solat jenazah diadakan di Masjid berhampiran selepas solat zohor. Hajat hati nak balik terus ke Kuantan, tetapi memandangkan sudah datang dari jauh dan untuk tidak menghampakan arwah, saya turut serta hinggalah jasad arwah bersemadi di dalam kubur. Lebih kurang pukul 3 ptg selepas makan tengahari nasi ayam RM 1.90 bersama Hadi dan kawan2nya saya berlepas pulang ke Kuantan dan sampai lebih kurang pukul 7.15 petang.

Dalam hati saya sentiasa berdoa agar arwah bersemadi dengan aman di alam barzakh dan ditempatkan di dalam syurga firdaus. Begitulah tamatnya episod kehidupan yang hanya terletak di dalam ketentuan Allah, entah esok atau lusa giliran saya pula...

No comments: