8/05/2009

Isu Arak; Syabas Dr Hasan Ali.

Sepatutnya beberapa isu yang berlaku dalam negara sehari dua ini tidak perlu terlalu dipolitikkan, kerana ia mengundang kekecohan yang berpanjangan sedangkan isu-isu tersebut memberi kesan negatif kepada persepsi orang ramai terhadap Islam. Apa yang saya maksudkan ialah sebagai contoh isu arak di Selangor. Saya secara tulus sangat berbangga dengan kesungguhan Datuk Dr Hassan Ali Exco Agama Islam Selangor yang berkeras mempertahankan tindakan membenteras penjualan arak di Selangor. Meskipun tindakan beliau dan juga wakil-wakil rakyat PAS yang lain ini memberikan kesan negatif kepada hubungan dengan wakil-wakil rakyat bukan Islam di selangor namun mereka tetap menunjukkan kesungguhan melaksanakan tuntutan Allah meskipun boleh menggugat survival politik mereka pada masa akan datang.

Saya juga tertarik dengan isu rumah penyembelihan babi di Alor Setar Kedah yang di roboh oleh kerajaan negeri meskipun mendapat reaksi negatif dari DAP. Namun Ustaz Azizan MB Kedah tetap bertegas dalam menegakkan keadilan dan undang-undang meskipun boleh menjejaskan sokongan bukan Islam kepada kerajaan pimpinan PAS di Kedah. Dua peristiwa yang berlaku ini bagi saya memberikan satu isyarat bahawa dua perkara paling sensitif yang wajar diberikan perhatian oleh setiap pemerintah Muslim iaitu arak dan babi yang menjadi keutamaan bagi bukan Islam khususnya orang-orang China bukan Islam. Justeru isu-isu seumpama ini wajar ditangani segera sebelum ianya sampai ke satu peringkat tidak dapat dikawal lansung. Kerana kita amat bimbang dengan kecenderungan bukan Islam menjual dan mengaut keuntungan melalui arak menyebabkan Malaysia satu hari kelak dikenali pula dengan syurga Arak! (selepas dikenali sebagai syurga judi).
Isu arak sebenarnya bukan sahaja berleluasa di Selangor malah di Pahang satu ketika dahulu penduduk di kawasan perumahan Taman Guru dan Tanjung Lumpur pernah memprotes penjualan arak di kedai 7-Eleven yang terletak dalam kawasan 99%melayu Islam. Sedangkan hasil pemerhatian didapati yang membelinya arak-arak tersebut ialah remaja melayu muslim. Namun desakan penduduk tidak dilayan kerana ada wakil rakyat bukan Islam yang berkeras tidak setuju dengan sekatan menjual arak di kedai berkenaan. Akhirnya hingga sekarang arak-arak tersebut terus dijual secara terbuka. Begitulah juga dengan penjualan arak di Pulau Tioman yang kononnya untuk pelancong asing. Namun kedudukan pusat jualan arak di tengah-tengah kampung Melayu tradisional telah mengundang budaya minum arak di kalangan penduduk setempat kerana ianya boleh didapati dengan mudah dan murah.
Apa yang lebih menyedihkan ialah banyak Chalet, Hotel dan pasaraya yang memberikan tugas menjual dan menghidang arak kepada anak-anak Melayu Islam. Lihatlah di Hotel The Legend Cherating, Hotel Swiss Garden di Beserah kesemua pelayan di Bar ialah gadis-gadis Melayu. Malah di Hotel Mutiara Taman Negara Jerantut pun pelayan-pelayan yang menghidangkan arak kepada pelancong ialah di kalangan anak-anak muda Melayu Islam. Sungguh menyedihkan melihat situasi ini. Jika sesiapa berpeluang ke sana boleh lihat fenomena tersebut.
Saya amat berharap semua pemimpin samada di bawah UMNO-BN atau PR yang beragama Islam agar dapat bertindak segera membendung arak dari berleluasa kerana arak adalah punca kepada segala kejahatan. Para Mufti pula seharusnya lebih sensitif dengan isu-isu seperti ini dan berani bersuara mempertahankan kesucian Islam. Bukannya terbelenggu dengan isu-isu remeh-temeh mainan ahli politik murahan yang sering dimainkan oleh media tidak bertanggungjawab.
Dalam menangani isu-isu seumpama ini saya amat menyokong jika semua kerajaan negeri yang dipimpin oleh MB Melayu Islam agar menurut jejak langkah Negeri Kelantan yang sudah lama mempunyai dasar jelas terhadap kawalan penjualan arak dan segala aktiviti berunsur yang maksiat. Janganlah disebabkan perbezaan politik menjadikan kita menolak kebaikan yang telah lama dilaksanakan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nikmat di Kelantan.

1 comment:

norMAzuan MUstafa said...

salam....
ana setuju dgn ustaz....ana yg berasal dari penang bnyak benda mcm nie berlaku....satu masa dulu ana pernah ke sarawak.....dan apa yg ana lihat remaja melayu di sana minum arak hanya di kaki2 lima masjid kampung.....masyaallah