12/02/2009

Yang Baik Jadi Jahat..


Sudah menjadi lumrah dewasa ini sesuatu yang baik cuba digambarkan bahawa ianya buruk dan jahat manakala sesuatu yang tidak baik pula cuba digambarkan sebagai baik dan beretika. Ia bermula dengan apa yang dilakukan diperingkat antarabangsa bilamana Yahudi dan sekutunya Amerika Syarikat cuba sedaya upaya melalui propagandanya menggambarkan bahawa Islam dan setiap yang berjuang atas dasar Islam adalah jahat. Sebagai contoh di Palestin, rakyat Palestinlah yang digambarkan sebagai bersalah dan ganas kerana memulakan serangan ke atas Yahudi manakala Yahudi diibarat umpama orang baik yang terpaksa mempertahankan diri. Setiap pembunuhan, rampasan tanah dan tindakan ganas disandarkan kepada kewajaran sebagai tindakabalas terhadap kelakuan rakyat Palestin yang kononnya selalu memulakan kekacauan, sedangkan Yahudi yang disokong AS lah yang secara terang-terangan merampas tanah hak milik sah rakyat Palestin!
Dalam isu di Afghanistan pula, kerajaan Taliban yang terdiri dari kalangan pelajar-pelajar dan ulama yang telah Berjaya menghalau penjajah Rusia dan mengembalikan suasana beragama dan berpegang pada adat budaya di Afghanistan akhirnya bertukar menjadi pengganas paling dikehendaki akibat dari propapanga memerangai keganasan antarabangsa anjuran Amerika Syarikat! Malah imej anbiya dan ulama yang terdapat pada Osama bin Laden telah dimomokkan sebagai kepala pengganas manakala imej korporat pemimpin-pemimpin Amerika dan Yahudi seolah-olah menjadi lambang kepada keamanan sejagat.

Usaha berterusan memburukkan imej Islam ini dilakukan terus-terusan sehingga berjangkit ke dalam Negara-negara umat Islam sendiri dan mungkin inilah yang dimahukan oleh musuh Islam. Hari ini mereka yang mengepalai negara-negara Islam tanpa disedari telah menuruti jejak Yahudi dan Amerika Syarikat apabila menghalakan serangan kepada tokoh-tokoh ulama dan para pendakwah serta gerakan Islam yang dituduh membawa ajaran salah dan menggugat keamanan negara. Tokoh-tokoh Islam cuba digambarkan sebagai keterlaluan dan tidak berakhlak sedangkan dalam masa yang sama para menteri dan pemimpin yang jelas terlibat dengan rasuah, mengumpul kekayaan negara malah ada yang terlibat dengan konspirasi pembunuhan digambarkan sebagai pemimpin bertaraf dunia dan sangat prihatin kepada rakyat. Gerakan Islam dan Parti Islam dimomokkan sebagai hilang pengaruh, tiada prinsip dan membawa rakyat ke belakang manakala kumpulan berideologikan fahaman kebangsaan, liberal dan sekular adalah sangat baik dan berjuang demi rakyat.

Agaknya inilah juga yang sedang berlaku di dalam negara kita, saban waktu dan hari media massa memainkan isu memburuk-burukkan YAB Menteri Besar Kelantan. Pada mulanya berminat juga mengikuti pelbagai isu yang dibongkarkan, tetapi akhirnya ia menjadi muak kerana ia sudah menjadi agak keterlaluan. Umpama makan nasi, jika terlalu banyak dan lauk yang sama pula setiap hari akhirnya akan jadi meloya dan muntah! Jika tidak suka dengan beliaupun cukuplah sekadar dengan memintanya berundur , bukannya membelasahnya tanpa adab dan etika. Jika ada orang yang mendakwa Nik Aziz bukan ulama, bukan tokoh agama dan tidak baik lakunya, maka orang yang mendakwa itu seharusnya dilihat lebih baik dan sewajibnya mengamalkan agama dalam diri sendiri, isteri, keluarga dan kumpulannya. Tetapi jika cuba mendakwa MB Kelantan mengamalkan kronisme, mengumpul kekayaan dan tidak Islamik sedangkan orang yang berkata demikian 2 x 5 atau mungkin lebih hodoh lakunya ia hanya seperti kata pepatah “Mengata dulang paku serpih mengata orang awak yang lebih”.
Sabda Rasulullah SAW:
Ertinya:Daripada Aisyah r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik". H.R. Thabrani

Dalam negara kita nampaknya pemimpin yang hidup mewah, mempunyai rumah bernilai jutaan ringgit, isteri mendedah aurat dan berpakaian mahal serta bertabarujj, kurang ke Masjid tetapi banyak menghadiri majlis-majlis berprestij di hotel-hotel lima bintang, memiliki deretan kenderaan mewah dan hidup bersenang lenang dianggap lebih mulia dari seorang pemimpin yang sederhana, rumah sederhana, tiada deretan kenderaan mewah, banyak masanya di Masjid bersama orang kampung, mengajar agama dan kuat ibadatnya. Malang seribu kali malang jika inilah budaya yang sedang ditanamkan oleh media massa kepada rakyat Malaysia hari ini, kerana jika ia benar-benar diterima sebagai satu pegangan maka akan rosak binasalah negara kita pada masa akan datang! Agaknya kita kena banyak membaca sejarah pemimpin agung Islam zaman silam seperti Saidina Umar r.a atau Khalifah Umar bin Abdul Aziz, kemudian barulah kita membuat penilaian kepada situasi yang berlaku sekarang supaya kita tidak menjadi pak turut kepada Yahudi dan AS yang suka hati melihat tingkah laku kita yang pastinya amat menguntungkan kempen mereka! Juga kita bimbang tersilap membenci dan berlaku zalim kepada seorang manusia sedangkan ia disayangi oleh para Malaikat di langit....
Sabda Rasulullah SAW:
Dari Sahl bin Saad as-Saaidi r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; 'Ya Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya)." .H.R Ahmad

1 comment:

KOYAN said...

ust zuri...

nak pelik ape ust itu semua dah sangat jelas dalam hadis2 fitan perkara2 yang akan terjadi diakhir zaman ini..cacian, makian adalah makanan bagi ulama'..ini pun yang menyebabkan mereka menjadi makin kuat..kerana apa yang dikatakan dalam hadis2 fitan benar2 terjadi..sekaligus membenarkan apa yang dikatakan oleh nabi s.a.w.

pada saya ini adalah realiti yang terpaksa dilalui oleh golongan2 ulama' atau lebih saya suka katakan pendokong kebenaran...cuma kita khuatir dugaan yang tidak mampu dipikul oleh golongn ulama; adalah rasa riak terhadap sokongan yang diperolehi....ilmu yang dimiliki..itupun ujian juga yang menyebabkan kita terpesong...