10/23/2009

Tranformasi Sekolah Agama Negeri Pahang



Membaca laporan akhbar menyatakan bahawa Sekolah Agama Kelantan akan mengorak langkah menawarkan Bahasa Mandarin kepada pelajar-pelajarnya amat mencuit hati saya. Telah banyak perubahan-perubahan yang dilakukan samada di Kelantan mahupun di Terengganu berkaitan dengan pemantapan sekolah-sekolah agama. Siapa tidak kenal nama-nama gah sekolah-sekolah agama di kedua-dua negeri tersebut seperti Maahad Muhammadi, Maahad Tahfiz Sains Pulai Chondong dan lain-lain di Kelantan manakala di Terengganu, Maahad Tahfiz Padang Midin, Sek Menengah Agama Sultan Zainal Abidin dan Sekolah Imtiaz. Natijah dari pembaharuan dan kemajuan yang dilakukan, lepasan sekolah-sekolah berkenaan ramai yang berkualiti menjadi para alim ulama dan terkenal di seluruh tanahair.

Sebenarnya saya utarakan situasi ini kerana saya cuba membandingkan dengan perkembangan sekolah-sekolah agama di negeri kelahiran saya Pahang. Hingga hari ini nampaknya perkembangan sekolah agama khususnya di bawah kerajaan negeri masih malap. Agak-agaknya sekolah agama Pahang manakah yang terkenal di seluruh Malaysia. STUSAB? Ihsan? Al-Khairiah? Pulau Tawar?....Maahad Tahfiz Tanjung Lumpur? Entahlah, saya sendiri merasakan sekolah-sekolah berkenaan tidak se gah namanya setanding Maahad Muhammadi di kelantan atau SMASZA di Terengganu.

Bukanlah saya menafikan secara total kualiti sekolah-sekolah agama negeri Pahang dan pelajar-pelajarnya, kerana ramai juga yang telah menjadi ulama terkenal dan pensyarah di universiti adalah lepasan Sekolah Agama Pahang tersebut, namun pada saya jumlahnya amat sedikit dan boleh di bilang dengan jari!

Baru-baru ini saya pergi ke sebuah sekolah agama Pahang yang antara terbaik dan letaknya di tengah bandar. Kerana hasrat hati mahu menghantar anak saya ke sana. Saya berjumpa dengan sahabat lama yang kebetulan mengajar di sekolah tersebut. Ingatkan dia memberikan sokongan supaya saya memasukkan anak saya ke situ tetapi sebaliknya dia menasihati agar saya menghantar anak saya ke Sek Menengah Agama Al-Irsyad iaitu sebuah sekolah agama swasta. Katanya keadaan di sekolah agama Pahang berkenaan tidak banyak membantu pelajar melainkan pelajar tersebut benar-benar excellent. Ini kerana guru-guru selalu tidak cukup dan ada guru-guru yang rajin tidak masuk kelas(isu ini adalah sedia dimaklumi oleh ibubapad semenjak dahulu lagi). Saya juga hairan apabila dimaklumkan bahawa sebelum ini pelajar dimestikan menghafal beberapa surah tetapi kemudiannya dimansuhkan kerana tidak menjadi keperluan!?? Begitu juga dengan keadaan persekitaran sekolah yang sendat dan padat kerana kawasan terlalu sempit. Dalam hati saya berkata, bukankah Pahang ini sangat luas tanahnya, tiadakah tanah yang sesuai untuk diberikan kepada sekolah agama berkenaan untuk lebih membangun dan maju?

Itulah satu contoh salah sebuah sekolah agama Pahang yang boleh dijadikan kayu ukur kepada sekolah-sekolah agama negeri Pahang yang lain. Saya pernah membisikkan kepada seorang sahabat yang sekarang menjadi exco kerajaan Pahang supaya mengambil inisiatif memperjuangkan sekolah-sekolah agama di Pahang. Kalau tidak mahu mencontohi Kelantanpun (kerana dipimpin oleh Ulama) maka contohilah Terengganu yang begitu maju sekolah-sekolah agamanya. Mungkin jika ada masa bawalah pegawai-pegawai yang bertanggungjawab terhadap pendidikan sekolah agama Pahang melawat sekolah agama Imtiaz sebagai contoh dan cuba terapkan mana yang sesuai ke dalam kurikulum sekolah-sekolah agama Pahang. Silibus, kualiti guru, infrastruktur dan pentadbiran sekolah wajar diberikan nafas baru agar sekolah agama menjadi contoh pendidikan alternatif kepada umat Islam khususnya dan bukannya memaparkan imej mundur.

Saya utarakan masalah ini bukan semata-mata kerana mahu mengata dan membuka pekung di dada tetapi ada ketikanya pekung itu mesti dibuka agar penawarnya dapat dicari bersama-sama, jika tidak ia akan membusuk sendirian...

Mungkin pihak yang berkenaan boleh mengadakan satu seminar membincangkan apakah langkah-langkah praktikal bagi membangunkan sekolah-sekolah agama negeri Pahang dengan melibatkan alumni dan ahli akademi serta pembuat dasar. Perbincangan mestilah bersifat terbuka, telus dan praktikal. Bukannya berbentuk majlis membuang masa dan wang ringgit seperti seminar-seminar yang selalu diadakan sebelum ini, sedangkan hasilnya tiada.
Berikut adalah beberapa website sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan dan Yayasan Terengganu.
(Website sekolah-sekolah agama negeri Pahang saya cuba cari tetapi tidak berjumpa)

10/22/2009

Sudah sampai masanya....


Meskipun laporan akhbar 20 Oktober menyatakan bahawa peratus jenayah berkurangan namun saya agak ragu-ragu dengan laporan tersebut. Mungkin laporan tersebut hanya untuk menyenangkan hati atau ada motif politik sahaja. Saya berkata begitu kerana berdasarkan pemerhatian saya dan mungkin tuan-tuan semua jenayah dalam negara kita semakin hari semakin menjadi-jadi dan meningkat setiap saat. Malah kejadian jenayah yang berlaku semakin ganas dan di luar jangkauan akal kita memikirkannya. Contohnya tragedi bunuh seorang wanita berusia 50an di Sungai Isap Kuantan beberapa hari lalu. Dengar khabarnya wanita itu di bunuh dengan cara dilekupkan bantal ke atas mukanya hingga mati dan ia dilakukan oleh suspek dengan niat mahu merompak. Di Dungun pula seorang wanita warga emas di bunuh dengan kejam di rumahnya dengan cara diparang dan di rendam ke dalam baldi kepalanya hingga mati. Beberapa minggu lalu akhbar juga telah melaporkan seorang ibu bisu di bunuh anaknya sendiri dengan cara disumbat di dalam beg dan diikat kedua tangannya hingga mati. Akhbar Harian Metro hari ini pula (22 Okt) melaporkan kes bunuh anak oleh seorang ibu berumur 24 tahun dan kekasihnya warga Sudan dengan cara kejam iaitu dicabul secara ganas oleh warga Sudan dan digoncang, dipukul hingga menemui maut. Budak malang itu baru berumur 3 tahun. Itu baru tentang kisah jenayah bunuh. Belum lagi kisah rompakan dan samunan yang berlaku setiap saat dan kisah minum arak serta zina yang seolah-olah amat sukar dibendung oleh pihak berkuasa.

Saya kadang-kadang rasa amat kecewa dengan pihak berkuasa yang seolah-olah gagal melaksanakan tugas mereka. Sebabnya masalah jenayah ni bukan kerja individu seperti kita untuk membendungnya, ini tugas pihak kerajaan. Yang sedihnya bila bab berpolitik, bab mencanangkan projek-projek mega dan bab membuat propaganda supaya rakyat menyokong kerajaan sangat aktif dilaksanakan hingga kadang-kadang meluat kita menontonnya. Tetapi dalam bab memelihara nilai-nilai Islam dan membendung maksiat seolah-olah bukan agenda utama dan jarang sekali para pemimpin negara bercakap secara serius soal arak, zina, judi dan jenayah2 lain. Menteri agamapun hanya fokus soal-soal umum dan kosmetik yang tidak mendasari masalah sebenar umat Islam. Saya sangat bimbang dengan fenomena jenayah, seks bebas, ketagih arak, ajaran sesat dan lain-lain yang semakin menggila sekarang ini . Jika ianya tidak dibendung akan membawa kepada keruntuhan Tamadun Melayu Islam yang sedang kita bina bersama sekarang ini. Agak-agaknya bolehkah ia dibina oleh generasi kaki botol, penzina, perasuah dan pelaku maksiat? Saya bersetuju dengan seorang kawan yang menyatakan bahawa orang Malaysia ialah bangsa yang paling banyak buat slogan kerana bila naik seorang pemimpin baru maka slogan baru pula akan diwar-warkan dan slogan lam tenggelam begitu sahaja. Dulu slogan 'bersih, cekap, amanah" kemudian slogan "kepimpinan melalui tauladan" kemudian " cemerlang,gemilang terbilang", kemudian "Islam hadari" dan terkini "satu Malaysia". Saya tak dapat ramalkan apakah slogan baru jika pemimpin baru pula datang kelak! Jika sekadar berslogan tidak mengapa, tetapi kosnya sangat tinggi untuk setiap slogan. Bayangkan upah menggubah lagu, membuat poster, seminar, wacana, buku dan macam-macam majlis pelancaran untuk setiap slogan tersebut dan akhirnya isu utama dan agenda besar diabaikan. Isu jenayah yang menjadi virus menggagalkan setiap slogan murni tersebut nampaknya dipandang enteng. Natijahnya lahirlah generasi anak Malaysia hari ini yang diwarnai dengan budaya dan tingkah laku yang melanggar secara terang-terangan syariat Islam tanpa rasa segan silu. Bacalah Harian Metro hari ini (22 Okt) mendedahkan sebuah flet di Putrajaya yang digelar Flet Hijau menjadi pusat seks bebas oleh penghuni dan penyewa yang terdiri dari kalangan kakitangan kerajaan dan swasta!!! Amat memualkan sekali!!! Saya juga sangat bimbang kerana bunga-bunga seks bebas itu sedang berlaku di tempat saya tinggal kerana ramainya pelajar sebuah kolej swasta menyewa di taman saya. Setiap hari penduduk taman ditayangkan dengan aksi-aksi meloyakan seperti berpakaian menjolok mata, berdating hingga larut malam dan berhimpun lelaki perempuan di dalam sebuah rumah dengan aktiviti mencurigakan!!!

Akhirnya saya berpendapat sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin yang ada pada masa ini khususnya dalam UMNO (sebab ia peneraju kerajaan sekarang) membuka dada seluasnya untuk menerima undang-undang Islam sepenuhnya tanpa berdolak dalih. Kerana semua sistem ciptaan manusia sudah dicuba bertahun-tahun dan terus menerus mencipta rekod gagal dalam mewujudkan keamanan hidup. Sesuai dengan semangat mahu kembali kepada Islam melalui perhimpunan agong UMNO baru-baru ini (ada juga desakan diwujudkan dewan ulama umno) maka saya menyarankan agar hukum Islam dimartabatkan segera dan jangan ditangguh lagi. Alasan-alasan seperti bimbang dengan respon bukan Islam, takut kekurangan pelancong dan pelabur yang datang ke Malaysia, tiada kepakaran dan bermacam-macam lagi alasan adalah sebenarnya datang dari hati yang tiada Iman. Mungkin akibat jarang ke Masjid, tidak mempelajari Islam dan terlibat dengan maksiat menjadikan hati ragu-ragu dengan hukum Allah. Yakinlah bahawa dengan melaksanakan semua syariat Islam, rezeki akan bertambah dan rahmat Allah akan datang dari langit dan keluar dari bumi. Para ulamak, ustak dan seluruh pendakwah dan umat Islam prihatin mestilah bangkit bersuara secara berani menyampaikan mesej ini kerana seperti kata Dr Abd Karim Zaidan di dalam bukunya "Al-Madkhal Li Dirasah Al-Syariah Al-Islamiyah" menyatakan bahawa beliau amat yakin bahawa hukum Islam lambat laun akan dilaksanakan kerana ia adalah tuntutan agama yang tidak boleh ditolak oleh setiap mereka yang bergelar "Muslim".....

10/14/2009

Ulasan Bagan Pinang


Cadangan buat PAS yang kalah teruk dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang.

1. Akuilah bahawa PAS sememangnya telah kalah dan jangan terlalu kerap menyalahkan musuh. Sebaliknya akuilah kelemahan sendiri.

2. Kemenangan tidak selalunya berpihak kepada yang benar.Kerana ada kalanya kekalahan itu memang wajar sebagai satu bentuk tarbiah.

3. Janganlah selalu bersifat angkuh kerana ahli-ahli PAS sudah mula bersifat angkuh dan terkena penyakit ahli politik yang sombong dalam mengejar pangkat dunia dan kedudukan.
ﭧ ﭨ ﭷ ﭸ ﭹ ﭺ ﭻ ﭽ ﮪ ﮫ ﮬ ﮭ ﮮ ﮯ ﮰ ﮱ ﯓ ﯔﯕ ﯖ ﯗ ﯘ ﯙ ﯚ ﯛ ﯜ ﯝ ﯞ ﯟ ﯠﯡ ﯢ ﯣﯤ ﯥ ﯦ ﯧ ﯨ ﯩ ﯪ ﯫ ﯬ
4. Kekalahan di Bagan Pinang mungkin akibat dari ahli-ahli PAS yang meninggalkan solat ketika berkempen dan berkelakuan tidak beradab ketika berdepan penyokong lawan.

5. Zikir, taubat, solat malam mungkin diabaikan dan terlalu kurang di amalkan.

6. Waspadalah dengan budaya berpolitik yang mengejar jawatan (dalam pilihanraya) kerana ia lebih banyak menanamkan sifat takabbur dan melenyapkan rasa tawadhuk serta rendah diri. Inilah penyakit yang sudah mula merebak di kalangan wakil rakyat PAS.

7. Kekalahan mungkin juga disebabkan wujudnya bibit perpecahan di kalangan pemimpin PAS yang sering bertelagah pendapat (meskipun kononnya digambarkan sebagai sikap keterbukaan tetapi ia amat jelas bahawa tiadanya kesatuan hati).

8. Ingatlah musuh bukan menang dengan sebab kekuatannya tetapi ia menang dengan sebab maksiat dan kelemahan sendiri.

Moga PAS menerima kritikan saya ini dengan terbuka jika sekiranya mahu terus mara. Peliharalah Islam dalam diri maka akan tertegaklah Islam dalam negara. Perjalanan memartabatkan Islam bukan semudah yang disangka, ia adalah perjalanan yang sangat jauh........
Firman Allah Taala dalam Surah Al-Nisa ayat 19 :
" Maka boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)".

10/05/2009

AKHLAK menjadi pembeza antara Parti Islam dan Parti Sekular


Islam mengutamakan soal akhlak dalam semua keadaan dan situasi kerana akhlak adalah cerminan keutuhan iman dan kedamaian jiwa di hati orang yang beriman. Semakin tinggi imannya maka semakin tinggi jugalah akhlak dan tingkah lakunya tetapi semakin lemah imannya maka semakin buruklah tingkah lakunya. Di atas kepentingan akhlaklah Nabi Muhammad s.a.w diutuskan oleh Allah SWT. Ini tergambar melalui sabda baginda :
إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan adalah bagi menyempurnakan kemuliaan akhlak”. Hadis sahih riwayat Al-Baihaqi
Islam bukan sahaja berbicara solat akhlak dalam hubungan dengan ibubapa, dengan guru atau hubungan suami isteri sahaja tetapi ia menjangkaui hubungan dengan musuh Islam sehinggakan dalam peperanganpun nilai-nilai akhlak wajib dijaga. Jika kita membaca sejarah peperangan dalam Islam maka akan terserlahlah bagaimana kehebatan akhlak para pejuang Islam ketika berperang dan kesannya ramai musuh Islam yang tertarik lalu akhirnya memeluk Islam.
Bagi pendokong dakwah di Malaysia akhlak sepatutnya tidak di pandang remeh dan diabaikan dalam memperjuangankan Islam. Meskipun berdepan dengan situasi runcing dan tertekan, akhlak tetap mesti dipelihara kerana akhlak sangat besar peranannnya dalam memberika kesan kepada sasaran dakwah. Malah ada ketikanya kehebatan Ilmu sahaja tidak mempunyai aura untuk menarik minat seseorang kepada Islam. Contohilah Rasulullah s.a.w yang menyabarkan para sahabatnya apabila seorang badwi kencing di dalam Masjid baginda. Lalu baginda mengarahkan sahabatnya mengambil air untuk dijiruskan kencing tersebut. Akhirnya si badwi yang melihat akhlak baginda itu terpegun lantas memeluk Islam!
Di Malaysia salah satu saluran terbaik bagi mengembalikan tertegaknya syariat Islam ialah melalui pilihanraya. Meskipun ianya adalah sistem ciptaan Barat yang pastinya mempunyai hasrat tersembunyi menggagalkan kebangkitan Islam namun kita seolah-olah terpaksa menerima kaedah ini dalam merealisasikan hasrat memartabatkan hukum Allah buat masa ini. Keterlibatan pendokong Islam di dalam kancah politik pilihanraya seharusnya didasari oleh satu prinsip yang utuh agar ia dapat membezakan dirinya dengan pendokong perjuangan sekular.
Bagi membezakan antara pejuang Islam dan pejuang yang tidak berpaksikan ajaran Islam maka akhlaklah yang menjadi garis pemisahnya. Justeru dalam situasi pilihanraya para pejuang Islam tidak boleh mengabaikan aspek akhlak dan tingkah-laku mereka. Tutur-kata, perbuatan dan penulisan mestilah sentiasa terpelihara daripada kejian dan fitnah. Ini adalah kerana pilihanraya dalam sistem demokrasi adalah merupakan jerat terancang yang dipaksakan kepada umat Islam supaya umat Islam sentiasa terikut-ikut dengan rentak dan budaya yang tidak Islamik. Dalam konteks pilihanraya di Malaysia persoalan nilai dan akhlak sudah tidak menjadi keutamaan lagi. Jika diteliti ianya bermula dari pemilihan calon lagi. Sudah menjadi budaya parti-parti politik mencalonkan mereka yang berpotensi menang sahaja meskipun akhlaknya hodoh dan jelek. Kerana pada tanggapan mereka media massa yang dikuasai boleh menjadikan sesiapa sahaja yang jelek akhlaknya bertukar menjadi manusia qudus yang baik dan berjiwa rakyat melalui propanganda 24jam samada dalam bentuk bercetak mahupun elektronik. Pengnyahan akhlak seterusnya berlaku dalam situasi ketika penamaan calon yang biasanya diwarnai dengan sorakan, penghinaan dan cercaan terhadap pihak lawan. Ketegangan ketika penamaan calon boleh memuncak apabila pemimpin parti yang bertanding dihina dan dicaci yang memarakkan lagi api kebencian. Dalam tempoh berkempen pula tubuh calon seolah-olah cuba ditelanjangi bagi memenangkan calon masing-masing meskipun ianya adalah fitnah dan adu domba semata-mata. Fitnah ini disemarakkan lagi apabila ada media massa yang sanggup diperkudakan bagi menjadi lidah kepada fitnah dan propaganda jahat. Situasi ini berterusan sehinggalah tamatnya waktu berkempen.
Inilah situasi yang didepani oleh parti Islam. Akibat penglibatan dalam politik pilihanraya maka situasi ini mesti dilalui namun ia mesti mempunyai kekentalan identiti agar tidak terpengaruh dengan suasana yang berlaku. Ketika inilah akhlak dapat membezakan antara parti Islam dan parti sekular. Bagi para pendokong parti Islam calon yang mereka ketengahkan mestilah yang paling baik akhlaknya dan paling kuat hubungannya dengan Allah. Bukan perasuah, bukan kaki perempuan, bukan orang yang tidak solat dan bukan yang buruk lakunya. Meskipun pandai bersyarah, pandai berhujjah, berjawatan, berpengalaman, berharta dan pandai berpolitik ia masih belum boleh jadi calon parti Islam sekiranya tidak berakhlak. Orang yang tidak solat berjamaah, tidak berusrah, kaki rokok dan tidak asas kefahaman Islam, tidak wajar dicalonkan untuk parti Islam kerana ia lebih banyak merosakkan imej parti Islam. Ketika penamaan calon, pendokong-pendokong Islam tidak wajar terikut-ikut dengan budaya dan rentak pendokong parti sekular. Perbuatan menyorak lawan dengan kata-kata kesat, menghina pemimpin mereka dengan celaan dan membuat isyarat-isyarat yang tidak elok hanya menyerlahkan ketidak pekaan pemimpin parti Islam mentarbiah para pendokong dan penyokong mereka. Jika ini berlaku ia hanya akan melahirkan persepsi bahawa parti Islam dan parti Sekular sama sahaja, tiada bezanya.
Sepatutnya ketika penamaan calon, himpunan para pendokong parti Islam diwarnai dengan gema zikrullah dan ungkapan-ungkapan yang bersemangat bukannya cacian dan celaan. Cacian, sorakan dan cercaan biarkan hanya berkumandang di pihak parti sekluar. Para pendokong parti Islam juga tidak boleh samasekali menghina batang tubuh calon lawan dan pemimpin-pemimpin mereka kerana kelak para pemimpin parti Islam pula yang akan dicerca dan dihina dengan cercaan yang lebih berat. Dalam situasi ini Allah Taala telah berfriman:
{ ولا تسبوا الذين يدعون من دون الله فيسبوا الله عدوا بغير علم } (الأنعام:108)

Maksudnya: ”Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan ”. Surah Al-An’am.
Ayat di atas memberikan satu amaran bahawa perbuatan mencerca sembahan orang kafir dan menghina mereka akan mengundang tindakan dan perbuatan yang sama terhadap Islam dan penganutnya. Meskipun pada dasarnya pembongkaran kemungkaran dan kemaksiatan adalah dituntut namun Islam melarang samasekali kata-kata nista dan cercaan dalam bentuk penghinaan.
Di dalam tempoh berkempen parti Islam wajar menggayakan rentak kempennya dengan suasana persaudaraan, kasih sayang, ilmiah, keprihatinan dan Islamik dan bukan sebaliknya. Inilah yang akan menambat hati para pengundi agar memberikan sokongan kepada calon parti Islam sebaliknya sikap ganas, agresif dan kasar hanya akan membibitkan kebenciaan dan mengundang penolakan kepada parti Islam.
Islam memberikan keutamaan yang sangat tinggi kepada akhlak, justeru itu setiap perjuangan yang mahu bersandarkan kepada Islam mestilah meletakkan akhlak sebagai asas utama perjuangan mereka. Jamaah Islam dan Parti Islam tidak boleh samasekali mengabaikan aspek terpenting ini yang berfungsi memberikan gambaran sebenar tentang keunggulan Islam.
Bagi sesebuah parti yang berpaksikan Islam, kalah dalam pilihanraya tetapi berjaya menjaga prinsip iman dan akhlak adalah lebih baik dari menang dalam pilihanraya tetapi gagal menjaga prinsip iman dan akhlak....