8/03/2010

Tiada jalan lain...

Tun Mahathir telah mengutarakan pandangan bahawa betapa perlunya hukuman penjenayah rogol khususnya yang melibatkan mangsa di bawah umur dirombak supaya menjadi lebih keras. Pandangan beliau ini dilihat selari dengan Karpal Singh yang mahu hukuman mati dikenakan kepada perogol. Buat masa ini menurut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan, hukuman bagi kesalahan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah ialah penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan.
Pada pendapat saya pandangan Tun ini mestilah diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa kerana jenayah rogol sudah begitu berleluasa sehingga melibatkan remaja perempuan di bawah umur. Terbaru ialah kejadian yang menimpa seorang pelajar perempuan berumur 10 tahun yang dirogol oleh pemandu van sekolah di dalam van sekolah tersebut. Peristiwa ini telah kembali membuka perdebatan adakah wajar hukuman berat dikenakan atau usaha-usaha pencegahan terlebih dahulu dilakukan? Dalam respon terhadap pandangan Tun dan Karpal, ramai juga yang tidak setuju sama sekali hukuman berat seperti gantung sampai mati dikenakan kerana mereka berpendapat bahawa langkah pencegahan mesti dilakukan terlebih dahulu. Lalu dicadangkan supaya pemandu van atau bas sekolah diinterview terlebih dahulu dan dikawal tingkah laku mereka.

Jika dilihat kes-kes sebelum ini apabila terjadinya kemalangan maut, ragut, pecah rumah dan buang anak, hanya beberapa ketika sahaja ia didebatkan dan berbagai idea dilontarkan. Namun ia seperti hangat-hangat tahi ayam dan akhirnya tenggelam apabila isu-isu politik digembar gemburkan oleh media dan akhirnya tiada tindakan yang benar-benar berkesan diambil hingga menyebabkan tragedi lampau sentiasa berulang kembali.

Dalam pada itu amat jarang kita dengar pandangan Islam diberikan tumpuan dan dijadikan asas dalam mengatur tindakan yang bakal diambil. Kalau adapun ia hanya menjadi pandangan picisan yang seolah-olah melepaskan batuk di tangga sahaja. Bagi saya menangani isu jenayah seperti rogol ini amat wajar bagi kita menekuni dan menjadikan Islam sebagai panduan kerana undang-undang dunia telah banyak kali membuktikan kegagalannya. Jika pandangan Tun M dan Karpal diambil kira, kita wajar menjadikan undang-undang Islam sebagai panduan dan asas merombak hukuman perogol kerana undang-undang Islam adalah datangnya dari Al-Quran, Al-Quran adalah kalam Allah, Tuhan Yang Maha Adil lagi Bijaksana dan pastinya panduan dariNya adalah yang teradil dan terbaik seklai.
Dalam isu rogol, berpandukan al-Quran dan as-Sunnah para ulama telah mengkategorikannya sebagai jenayah zina yang melibatkan hukuman kepada perogol sahaja kerana mangsa adalah orang yang terpaksa. Ia diketagorikan dalam jenayah hudud zina. Islam tidak membezakan mangsa samada dewasa atau kanak. Tetapi sebaliknya ia membezakan perogol. Jika perogol belum berumahtangga maka hukumannya adalah sebatan sebanyak 100 kali rotan(Surah Al-Nur ayat 2) , manakala jika melibatkan orang yang sudah berumahtangga seperti bapa merogol anak, datuk merogol cucunya dan termasuk pemandu van sekolah yang sudah berumahtangga merogol kanak-kanak di bawah umur, maka hukumannya ialah rejam sampai mati(Sahih Al-Bukhari jilid 21 hlm 81). Hukuman ini berbeza mungkin kerana mereka yang sudah berumahtangga seperti bapa, datuk dan pemandu van tersebut yang sepatutnya menjadi pelindung tetapi sebaliknya bertukar menjadi kejam dan zalim, justeru hukuman sampai mati adalah amat setimpal. Sebenarnya dari sudut pandangan Islam hukuman yang berat itu sendiri adalah termasuk dalam usaha pencegahan yang sangat berkesan kerana ia boleh menggerunkan kepada pelaku jenayah seperti perogol. Oleh kerana itulah Allah Taala merintahkan supaya hukuman pesalah zina@rogol ini dilakukan secara terbuka dan buka tertutup sepertimana yang berlaku sekarang kerana sekeras manapun undang-undang tetapi jika dilaksanakan secara tersembunyi kesannya tidak ketara kepada penjenayah. Kaedah ini (perlaksanaan hukuman secara terbuka) amat penting hingga Allah Taala sendiri menyuruhnya dilaksanakan demikian di dalam firmannya:

وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: ((Dan hendaklah disaksikan hukuman kepada keduanya (penzina) oleh satu kumpulan dari orang yang beriman)) Surah Al-Nur ayat2.

Satu lagi perkara yang ingin ditegaskan di sini bahawa sekeras manapun hukuman yang akan dikenakan kepada penjenayah rogol, ia tidak akan berkesan jika masih tidak menuruti syariat Allah Taala sepenuhnya. Allah Yang mencipta manusia dan pastinya Dia sahaja Yang Tahu apakah ubat terbaik untuk merawat penyakit manusia...

1 comment:

The Think Tanker said...

Assalamualaikum wbt

Saya bersetuju penuh dengan saranan Ustaz.Sehingga kini,tiada diskusi atau wacana Ilmu yang segar membincangkan secara serius untuk meminda akta perundangan di Malaysia dan mengikut Syariat Islam yang sebenarnya.

Zaman sekarang orang 'GILA' berleluasa.ANak2 kecil dah tak selamat berjalan jalan di padang permainan dan sebagainya.

Seperkara lagi,adakah ini bermakna Ustaz mencadangkan bahawa Hukuman Hudud wajar dibenatangkan di Parlimen dan dilaksanakan segera kaedahnya hukuman pelaksanaannya demi menjaga Ummah seluruhnya?