8/16/2013

Khutbah Menentang Firaun Zaman Moden



Khutbah Jumaat
(Bersatu Menentang Kezaliman Firaun Moden)

الحَمْدُ للهِ القائل:
إِنْ يَنْصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِنْ يَخْذُلْكُمْ فَمَنْ ذَا الَّذِي يَنْصُرُكُمْ مِنْ بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ 

أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT,
 
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 30:
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ ۚ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
Maksudnya: “Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.”
Pada hari ini setiap umat Islam yang prihatin pastinya amat sedih dan terhiris hati dengan nasib malang yang menimpa saudara-saudara seislam kita di bumi Mesir. Maklumat terkini yang diperolehi kira-kira 2000 lebih nyawa sahabat-sahabat kita yang cintakan kedamaian dan pendokong perjuangan Islam melayang di tangan tentera dan polis Mesir yang diberikan kebebasan menyembelih saudara mara mereka, dan kira-kira 10,000 orang dirawat kerana cedera parah. Kononnya atas alasan memelihara keamanan, Jeneral Abdul Fatah al-Sisi mengarahkan rakyat yang tidak bersenjata dan hanya memiliki naskhah al-Quran ditembak, diletupkan, disodok dengan bulldozer dan dibakar hingga rentung. Bagi menyokong tindakan zalim ini, tentera, polis dan samseng ada yang menyamar dan membawa senjata di tengah-tengah rakyat Mesir yang berkhemah bagi melakukan propaganda pembohongan mereka.
Inilah keadaan yang tidak dapat dibayangkan berlaku di bumi Mesir pada hari ini, hanya selepas Dr Morsi, Presiden Mesir yang sah dan naik dengan jalan demokrasi mengisytiharkan langkah-langkah perubahan kepada dasar-dasar pemerintahan Islam. Di saat kita masih merayakan Aidilfitri, saudara-saudara kita di Mesir berdepan dengan keganasan pemerintah sekular yang zalim dan penyokong mereka yang melakukan keganasan tanpa belas kasihan, malah lebih kejam dari binatang. Meskipun semua saluran berita milik kerajaan begitu takut menyiarakan maklumat yang sahih namun kita memperolehi berita dari sahabat-sahabat kita di sana bagaimana kekejaman yang telah dilalukan. Ada yang hancur kepada, dibakar hingga rentung, dirobek perut dan sebagainya!

Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Di awal penggulingan kuasa yang berlaku di Mesir, amat jelas bahawa tindakan kejam ini ada kaitan dengan hubungan pemerintah tentera Mesir dengan Yahudi Zionis dan Amerika Syarikat. Bukitnya selang beberapa hari penggulingan kuasa, Jeneral Al-Sisi mengarahkan supaya sempadan Rafah ditutup dan semua terowong yang menjadi laluan rakyat Gaza mendapatkan bekalan makanan dan senjata untuk mempertahankan diri dari Yahudi Zionis dimusnahkan. Presiden Barack Obama yang kononnya membuat sidang akhbar kecewa dengan penggulingan kuasa tetapi sebaliknya Amerika Syarikatlah yang memberikan bantuan besar kepada tentera Mesir bagi membantai penyokong Dr Morsi. Sangat jelas bahawa Mesir yang dibayangi oleh kuasa tentera sebenarnya mempunyai hubungan sangat rapat dengan Yahudi Zionis dan Amerika Syarikat.
Kita tercari-cari apakah sebenarnya yang menjadi punca kekejaman dan kegilaan ini berlaku…apakah kerana Dr Morsi tidak dapat membangunkan ekonomi Mesir, apakah kerana Dr Morsi membunuh rakyat Mesir yang tidak berdosa dan apakah kerana Dr Morsi mengisytiharkan perang terhadap Amerika Syarikat? Jawapannya adalah tidak! Dr Morsi yang hanya memerintah tidak sampai setahun pastinya belum dapat merubah ekonomi Mesir yang sudah dimusnahkan oleh Hosni Mubarak selama berpuluh tahun! Dr Morsi tidak pernah membunuh walau seorang rakyat Mesir dan Dr Morsi sendiri melakukan lawatan muhibbah ke Amerika Syarikat dan negera-negara Eropah.
Ketahuilah! Kegawatan ini sebenarnya adalah berpunca dari hasrat Dr Morsi mahu membebaskan bumi Palestin, mengembalikan Masjidil Aqsa ke tangan umat Islam, melaksanakan syariat Islam dan menegakkan kembali khalifah. Antara ucapan Dr Morsi setelah dilantik menjadi Presiden Mesir ialah:
“Tidak ada kebaikan kepada umat ini, tiada keberkatan dan tiada kebangkitan melainkan kembali melaksanakan syariat Islam. Dan saya berjanji dengan nama Allah dan saya berjanji dengan kamu sekelian untuk melaksanakan undang-undang selari dengan kehendak rakyat dan para ulamak…”.
Inilah yang menjadi punca sebenar seluruh rangkaian musuh Islam bersatu menyekat pemerintahan Dr Morsi yang hakikatnya dibayangi oleh Ikhwan Muslimin yang merupakan sumber inspirasi kepada gerakan Islam seluruh dunia.


Muslimin yang dirahmati Allah sekelian,
Keadaan yang berlaku di Mesir pada hari ini tidak ubah seperti zaman pemerintahan Firaun yang begitu angkuh dan zalim sehingga sanggup membunuh mana-mana rakyat yang dianggap mengancam kuasanya. Allah SWT berifirman dalam surah al-Baqarah ayat 49:
وَإِذْ نَجَّيْنَاكُمْ مِنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ يُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ وَفِي ذَلِكُمْ بَلاءٌ مِنْ رَبِّكُمْ عَظِيمٌ
Yang bermaksud: "Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu daripada Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar daripada Tuhan kamu."
Kerana terlalu bimbangkan kehilangan kuasa, Firaun mengarahkan mana-mana anak lelaki yang lahir dibunuh kerana takut akan menjadi ancaman kepada tahtanya manakala anak-anak perempuan dibiarkan hidup. Sebaliknya Jeneral Al-Sisi mengarahkan supaya semua mereka yang terlibat berkumpul menyokong Dr Morsi dibunuh samada wanita mahupun kanak-kanak dan mereka dibakar hidup-hidup di dalam khemah mereka. Sesungguhnya Firaun zaman moden ini lebih kejam dan zalim!
Di atas kekejaman dan kezaliman yang dilakukan ini kita berdoa agar Allah SWT membalas tindakan mereka sepertimana yang pernah ditimpakan ke atas firaun dan konco-konconya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Fajr ayat 10-14:
وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ * الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ * فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ * فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ * إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ
"Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab. Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas (terutama balasan akhirat)."

Ikhwanil Muslimin,
Apa yang berlaku di Mesir memberikan pengajaran kepada kita bahawa sudah tiba saatnya umat Islam seluruh dunia bersatu di bawah naungan Al-Quran dan Al-Sunnah. Kita mesti kembali memartabatkan syariat Islam dalam satu sof dan berusaha mengembalikan khilafah Islam yang sudah lenyap di muka bumi semenjak runtuhnya khilafah Othmaniyyah di Turki pada tahun 1924. Akibat dari tiadanya khilafah, umat Islam terus menerus diperkotak katikkan oleh golongan secular dan nasionalis yang secara senyap bersekongkol dengan Yahudi Zonis dan Amerika Syarikat bagi menyekat kebangkitan Islam.
Tragedi di Mesir juga memberikan amaran kepada kita bahawa musuh Islam akan menggunakan apa sahaja cara bagi memastikan mereka yang mahu menegakkan syariat Islam dalam pemerintahan Negara disekat samada dengan cara halus iaitu melalui penipuan dan tohmahan jahat terhadap pendokong perjuangan Islam ataupun melalui kekerasan sepertimana yang berlaku di Mesir dan Syria.
Sebagai umat Islam yang beriman, kita penuh yakin bahawa semakin keras tindakan mereka dan semakin kuat kerja mereka mahu menyekat kebangkitan Islam, tiba masanya Islam pasti akan bangkit. Yakinlah di mana-mana sahaja kesedaran Islam semakin meningkat dan kita berdoa kepada Allah SWT agar seluruh kuasa zalim yang sedang mencengkam bumi umat Islam runtuh satu persatu dan akan digantikan dengan khilafah Islam! Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 26:
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاء وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاء وَتُعِزُّ مَن تَشَاء وَتُذِلُّ مَن تَشَاء بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." 


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

No comments: