Oleh: Zuridan Mohd Daud.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Syams
ayat 7-8:
وَنَفْسٍ
وَمَا سَوَّاهَا فَأَلْهَمَهَا
فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا
Maksudnya:
Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan
kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.
Keinginan manusia kepada harta, pangkat,
wanita, kenderaan dan sebagainya adalah merupakan fitrah namun jika tidak
dikawal dengan iman dan pertimbangan akal maka keinginan itu membawa kepada
sifat melampau batas yang di larang oleh Islam. Sebagai umat Islam kita
dituntut supaya sentiasa melakukan penyucian jiwa dari nafsu dan keinginan yang
merosakkannya.
Nafsu manusia sepertimana dijelaskan oleh al-Quran terbahagi kepada tiga
jenis iaitu:
Pertama: Nafsu ‘Ammarah bissuk’ . Iaitu nafsu yang mendorong manusia
melakukan perbuatan mungkar dan maksiat. Allah SWT berfirman dalam surah Yusof
ayat 53:
وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِيَ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا
مَا رَحِمَ رَبِّيَ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya: Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya
nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat
oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Kedua: Nafsu ‘al-lawwamah’.
Iaitu nafsu yang mencela tuannya kerana melakukan maksia. Ia selalunya berlaku
kepada mereka yang sedar dan insaf akan kemungkaran yang dilakukan lantas
mencela dirinya di atas perbuatan tersebut. Celaan itu bertujuan supaya timbul
rasa bersalah dan benci untuk mengulangi semula perkara maksiat tersebut. Allah
SWT telah bersumpah dengan nafsu ‘al-lawwamah’ dalam surah al-Qiyamah ayat 2:
Maksudnya: Dan Aku bersumpah
dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri).
Ketiga: Nafsu ‘al-mutmainnah’.
Iaitu nafsu yang sentiasa damai dan tenang. Ia dicapai dengan keikhlasan
kepada Allah SWT dan keyakinan terhadap iradahNya dalam menentukan samada yang
baik mahupun yang buruk. Bagi seseorang yang mempunyai nafsu ‘al-mutmainnah’
dia akan sentiasa melaksanakan perintah Allah SWT. Dia juga tidak berasa takut
dalam berdepan dengan kezaliman manusia dan tidak berasa sedih dengan musibah
yang menimpanya.
Mengenai nafsu ‘al-mutmainnah’ Allah SWT telah berfirman dalam surah
al-Fajr ayat 27-30:
يَا أَيَّتُهَا
النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً
فَادْخُلِي فِي عِبَادِي وَادْخُلِي جَنَّتِي
Maksudnya: Hai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan
hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam kumpulan
hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku.
Kata-kata hikmah ada menyebut:
وَنَفْسُكَ إنْ
لَمْ تُشْغِلْهَا بِالطَّاعَةِ شَغَّلَتْكَ بِالمعْصِيَةِ
Ertinya: Nafsumu jika tidak disibukkan dengan amal ketaatan maka ia
akan menyibukkanmu dengan perbuatan maksiat.

أَرَأَيْتَ
مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا
Maksudnya: Terangkanlah kepada-Ku tentang orang yang menjadikan hawa
nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?
Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam
Ahmad dalam musnadnya:
إِنَّ مِمَّا
أَخْشَى عَلَيْكُمْ بَعْدِي بُطُونَكُمْ وَفُرُوجَكُمْ وَمُضِلَّاتِ الأَهْوَاءِ
Maksudnya: Sesungguhnya apa yang aku takuti menimpa kamu selepas dari
kewafatanku ialah (apa yang kamu makan) dalam perutmu dan apa yang kamu lakukan
(perbuatan keji dengan kemaluanmu) dan dorongan hawa nafsu.
Sebaliknya bagi mereka yang beriman ketakutan kepada azab Allah,
kebimbangan terhadap suasana di alam kubur dan pembalasan di di padang mahsyar
menjadikan mereka sentiasa berawas dalam tindakan agar tidak melanggar perintah
Allah SWT. Nafsu yang disinari dengan iman akan sentiasa membisikkan ke dalam
jiwa manusia agar menjauhi perbuatan maksiat kerana ia bakal mengundang bencana
samada di dunia mahupun di akhirat. Ia juga akan mendorong seseorang itu
meningkatkan amal kebaikan yang akan diberi ganjaran syurga di akhirat kelak. Allah
SWT berfirman dalam surah al-Naziat ayat 40 dan 41:
وَأَمَّا
مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى
النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى فَإِنَّ
الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى
Maksudnya: Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran
Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya
syurgalah tempat tinggal(nya).

Allah SWT berfirman dalam surah al-Syams ayat 9
dan 10:
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
Maksudnya: Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan
jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.
No comments:
Post a Comment