7/19/2009

Program Motivasi Pelajar SMAPT 09 berjaya...Alhamdulillah








Pada 18 Julai 2009 bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar Jerantut Pahang telah mengadakan program berbentuk Motivasi Pelajar kepada pelajar-pelajar tingkatan 3,4 dan 5 SMAPT. Program yang julung-julung kali dianjurkan oleh bekas pelajar sekolah berkenaan adalah bertujuan memberikan kesedaran kepada para pelajar bagaimana untuk meningkatkan kecemerlangan diri dan juga kaedah melakukan persiapan menghadapi peperiksaan. Program yang bermula seawal pukul 8.30 pagi itu dimulai dengan ucapan pengerusi program Ustaz Tobroni Sahlan dan diikuti oleh ucapan perasmian oleh Pengetua SMAPT Ustaz Harunrashid bin Zakaria kemudian disusuli dengan slot motivasi dan latihan dalam kumpulan. Pada sebelah petangnya diadakan perlawanan persahabatan bola tampar di antara pelajar dan bekas pelajar SMAPT. Di sebelah malamnya pula diadakan kuliah maghrib di surau lelaki dan surau perempuan. Program ini di akhiri dengan Forum Wacana Ilmu SMAPT 09 yang dibarisi tiga orang ahli panel iaitu Ustaz Muhammad Fadzilah Zulkefli Penolong Pengarah Jabatan Pelajara Negeri Sembilan, Ustaz Amri Abdullah Pegawai JAKIM dan Ustaz Zuridan Mohd Daud dari UMP yang tamat sehingga pukul 11.30 malam. Kesemua bekas pelajar yang terlibat dengan program ini sangat bersyukur kerana berjaya mengadakan program ini sebagai menghargai jasa sekolah dan guru-guru yang telah mendidik mereka sehingga menempa kejayaan di dalam hidup manakala bagi pelajar-pelajar yang terlibat menyertai program ini sangat teruja dan bertambah semangat untuk menjejaki kejayaan bekas-bekas pelajar SMAPT. Program ini juga mendapat sokongan padu dari pihak sekolah dan guru-guru SMAPT yang turut serta menjayakannya. Program motivasi pelajar seperti ini akan menjadi acara tahunan di Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar dan bekas-bekas pelajar berkenaan bersedia melaksanakan aktiviti berkenaan tanpa mengharapkan bayaran malah mereka sendiri akan mendapatkan sponsor dan tajaan.











































7/10/2009

Sebaik-baik orang berdosa ialah ia bertaubat....


Kita, samada seorang ulama mahupun ustaz atau sesiapa sahaja seharusnya mengakui bahawa sebagai manusia kita pastinya memiliki sifat-sifat kelemahan. Manusia yang tidak mengakui kelemahan diri dan sering berprasangka buruk kepada orang lain hanya akan menyuburkan sifat sombong dalam dirinya. Orang yang sombong selalunya sukar menerima teguran, susah untuk belajar dan selalu melenting apabila ada yang lebih baik darinya. Justeru sewajarnya kita sebagai seorang yang berpengetahuan mengambil resam padi semakin berisi semakin tunduk. Islam telah mengajar kepada kita jika tersalah melakukan dosa samada bersifat kejiwaan seperti riak, hasad dengki, sombong dan takabbur atau bersifat fizikal seperti mengumpat, mencuri, menghina orang lain dan sebagainya jalan terbaik ialah dengan 1bertaubat. Taubat boleh dilakukan dengan menyesal, meninggalkan kajahtan dan berazam untuk tidak mengulanginya atau dengan cara solat taubat. Rasulullah s.a.w telah mengajar kita bagaimanakah caranya apabila kita melakukan dosa melalui sabdanya:

[مَا مِنْ رَجُلٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا ثُمَّ يَقُومُ فَيَتَطَهَّرُ ثُمَّ يُصَلِّي ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلَّا غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الْآيَةَ { وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ } إِلَى آخِرِ الْآيَةِ] رواه الترمذي حديث حسن.
Maksudnya: Tidaklah seseorang itu apabila dia melakukan dosa kemudian dia bangkit berwudhuk kemudian ia solat lalu memohon ampun melainkan ia akan diampun oleh Allah. Kemudian baginda membacakan ayat ini: “Dan mereka yang apabila melakukan kesalahan atau menzalimi diri mereka terus mereka kembali mengingati Allah maka mohon keampunanlah untuk mereka”.

7/04/2009

Buah tangan terbaru dari saya


Untuk keterangan lanjut sila layari : http://buku2-mustread.blogspot.com/

7/01/2009

Rejab, ketibaannya menandakan Ramadan begitu hampir...


Sesungguhnya Allah Taala dengan sifatNya Yang Maha Bijaksana telah memilih waktu-waktu tertentu dengan kelebihan-kelebihannya. Kelebihan waktu-waktu tertentu adalah merupakan sebagai satu cara memberikan motivasi kepada manusia meningkatkan usaha dan amal supaya memperolehi ganjaran berlipatkali ganda. Berkenaan dengan bulan-bulan dalam Islam, Allah Taala memilih bulan Rejab sebagai salah satu dari empat bulan yang diharamkan berperang padanya kerana ia mempunyai kelebihan yang tertentu. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: ((Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah, di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa)). Surah At-Taubah : Ayat 36.

Di dalam ayat di atas bulan-bulan haram tersebut tidak dinyatakan secara terperinci. Namun Rasulullah s.a.w telah menjelaskannya di dalam hadis berikut yang bermaksud:

Diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a bahawa Nabi s.a.w telah menyampaikan khutbah pada hari Haji Wida (Haji terakhir baginda) dan baginda bersabda dalam khutbahnya: Sesungguhnya zaman akan kembali berpusing seperti hari diciptakan langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan antaranya ialah empat bulan yang diharamkan berperang. Tiga bulan berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan Rejab pula terletak antara Jamadi dan Syaaban. Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Menurut Ibnu Faris di dalam kitabnya ‘Mu’ jam Maqayis al-Lughah, sebab dinamakan bulan ini dengan Rejab adalah kerana orang Arab membesarkan dan memuliakan bulan ini. Rejab itu sendiri maksudnya ialah kebesaran dan keagungan. Sebagai meneruskan tradisis ini Islampun memuliakan bulan ini.
Imam al-Baihaqi rh berkata: Orang-Orang Arab Jahiliah asalnya mengagungkan bulan-bulan haram terutamanya bulan Rejab kerana pada bulan itu mereka tidak berperang.
Firman Allah Taala yang bermaksud: (( Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu melanggar syiar-syiar Allah dan kehormatan bulan-bulan haram(dengan berperang) )). Surah al-Maidah : Ayat 2.
Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang kemuliaan bulan-bulan haram yang termasuk di dalamnya bulan Rejab. Justeru peperangan dan pertumpahan darah adalah dilarang pada bulan-bulan tersebut.

Allah Taala berfirman yang bermaksud:
(( Ditanya kepadamu tentang berperang pada bulan-bulan haram, katakanlah berperang pada waktu itu adalah (dosa) besar...)). Surah Al-Baqarah: Ayat 217.
Para Ulama berpandukan apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di mana baginda telah memerangi penduduk Taif yang kufur pada bulan Zul Kaedah iaitu salah satu daripada bulan-bulan haram. Namun ada pandangan yang menyatakan bahawa tidak boleh memulakan peperangan pada bulan haram tetapi sekiranya ia bermula sebelum bulan-bulan tersebut tetapi berlanjutan hingga ke bulan-bulan haram maka ia diharuskan. Kerana peperangan yang berlaku di Taif adalah dimulai dengan peperangan di Hunain yang berlaku pada bulan Syawal. Manakala sekiranya Negara umat Islam diserang maka peperangan adalah harus demi mempertahankan tanahair meskipun ia berlaku di bulan-bulan haram.

Menurut amalan Arab Jahiliah pada bulan Rejab mereka melakukan sembelihan untuk dihadiahkan kepada berhala-berhala. Apabila Islam datang amalan tersebut dimansuhkan. Ini berdasarkan pendapat ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Namun menurut mazhab Syafie berdasarkan pendapat Ibnu Sirin menyatakan amalan tersebut tidak dimansuhkan dan boleh dilakukan sembelihan pada bulan Rejab tetapi hendaklah kerana Allah Taala dan bukan kerana selain dariNya. Ibnu Hajar berkata pendapat ini disokong oleh apa yang diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w pernah ditanya oleh seorang lelaki yang berkata: Dahulu kami melakukan ‘Atirah (sembelihan) pada zaman Jahiliah (yakni pada bulan Rejab), apakah arahanmu(pendapatmu)? Jawab baginda s.a.w: “Sembelihlah pada mana-mana bulan sahaja! Riwayat Abu Daud, Nasaie dan Ibnu Majah.

Menyentuh tentang amalan berpuasa secara khusus sempena tibanya bulan Rejab, pada hakikatnya jika diteliti secara mendalam tiada satupun hadis sohih yang boleh dijadikan sandaran mengenai puasa bulan Rejab. Justeru itu, berpuasa pada bulan Rejab adalah disunatkan sepertimana pada bulan-bulan yang lain iaitu tiada niat yang khusus. Apa yang seeloknya dilakukan ialah berpuasa sunat sepertimana berpuasa pada hari Isnin dan hari Khamis. Ini telah ditegaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqallani yang berpendapat bahawa tiada sebarang hadis sohih yang menyatakan sunat berpuasa pada bulan Rejab secara khusus.

Tetapi tidaklah menjadi kesalahan untuk memperbanyakkan puasa sunat pada bulan rejab seperti bulan-bulan yang lain. Apa yang menjadi kesalahan ialah melakukan amalan-amalan tertentu pada bulan ini secara khusus seperti solat sunat Rejab, menziarahi kubur sempena Rejab dan mengadakan perayaan khusus kerana ketibaan bulan Rejab. Kecenderungan mengadakan perayaan berbentuk hiburan seperti Nasyid, jamuan makan besar-besaran dan kenduri kendara dibimbangi akan melalaikan umat Islam dengan perkara-perkara berbentuk membuang masa dan wang ringgit sedangkan ia seharusnya disalurkan bagi aktiviti-aktiviti dakwah dan kesedaran Islam.

Namun demikian mengadakan aktiviti-aktiviti bermanfaat seperti ceramah agama,forum dan dakwah berkaitan dengan kisah dan persitiwa yang berlaku di bulan ini adalah digalakkan selagimana ia membawa kemaslahatan bagi ummat Islam dan bertujuan mencetuskan kesedaran kepada mereka tentang tanggungjawab terhadap Islam.

Bagi muslim yang sensitif dengan perjalanan masa, sudah pastinya ketibaan bulan baru akan mengingatkannya bahawa usianya semakin bertambah dan destinasi akhirnya hayatnya semakin hampir. Oleh itu ketibaan bulan baru pastinya disambut dengan terus meningkatkan ilmu dan amalan agar hari ini akan menjadi lebih baik dari semalam dan esok akan bertambah baik dari hari ini.
Rejab juga menandakan bahawa hanya tinggal 2 bulan sahaja lagi untuk menempuh bulan yang penuh keberkatan iaitu bulan Ramadan. Justeru bagi setiap muslim adalah wajar mula melatih diri berpuasa sunat sebagai persiapan untuk berpuasa sebulan di dalam bulan Ramadan yang bakal tiba.

6/25/2009

Menangani kejemuan (Al-Futur) dalam Dakwah



Pendahuluan
Manusia diciptakan Allah Taala dengan pelbagai sifat dan tingkahlaku yang menunjukkan betapa berhajatnya mereka kepada bantuan dan pertolongan. Sifat-sifat seperti resah gelisah, takut, kecewa, bosan, malas dan sebagainya adalah gambaran kelemahan diri manusia itu sendiri yang diciptakan sebagai hamba Allah. Kelemahan dan sifat serba kekurangan ini boleh mendedahkan manusia kepada keadaan murung dan berputus asa yang akhirnya akan membawa mereka kepada hilang pergantungan dengan rahmat Allah Taala. Sabda Rasulullah s.a.w:
إن لكل عمل شِرَّة، ولكل شِرَّة فترة
Maknanya: “Sesungguhnya bagi setiap amalan ada masa bersungguh(cergasa) dan setiap kecergasan ada masa jemu...”. Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Tirmizi.

Suasana persekitaran, pergaulan, kejahilan, kecintaan kepada dunia dan tiadanya murabbi adalah antara faktor kemurungan dan kebosanan dalam melaksanakan perintah Allah Taala. Ia samada berkaitan dengan ibadah mahupun dalam kerja-kerja dakwah. Keadaan ini adalah perlu diberikan perhatian kerana bimbang ia akan menjadikan seseorang itu hilang rasa nikmat beribadah dan berjuang di jalan Allah. Kertas kerja ini akan memberikan fokus perbincangan kepada kebosanan di dalam amal Islami yang sering melanda amilin dalam dakwah yang akhirnya menjejaskan gagasan yang telah digariskan di dalam perjuangan.

Definisi ’Al-futur’.
Menurut Mukhtar Al-Sihhah, Al-Futur itu bererti lemah, tumpul. Manakala Al-Raghib Al-Asfahani di dalam Mufaradat Al-Quran menyatakan bahawa erti Al-Futur ialah diam selepas bergerak cergas, lembut selepas keras dan lemah selepas kuat.

Ibnu Hajar rahimahullah berkata bahawa Al-futur ialah:

" الملال استثقال الشيء، ونفور الناس عنه بعد محبته، وهو داء يصيب بعض العباد والدعاة وطلاب العلم، فيضعف المرء ويتراخى ويكسل، وقد ينقطع بعد جد وهمة ونشاط. وفي القرآن الكريم قال الله تعالى مثنيا على الملائكة: [ يسبحون الليل والنهار لا يفترون ]
Maksudnya:Bosan, berat untuk melakukan sesuatu dan orang lari darinya selepas awalnya suka kepadanya. Ia adalah penyakit yang menimpa sebahagian hamba, para daie dan penuntut ilmu. Seseorang itu akan jadi lemah, bertangguh dan malas. Seterusnya meninggalkan dari melakukan sesuatu selepas awalnya ia bersungguh dan cergas. Di dalam Al-Quran Allah Taala memuji para MalaikatNya dengan berfirman: (( Mereka (para Malaikat) bertasbih malam dan siang tanpa jemu )).

Sebab-sebab Al-Futur dalam Dakwah.
Bagi seseorang yang terlibat dengan gerakan dakwah ia tidak boleh lari dari sifat sebagai manusia biasa yang terdedah kepada kebosanan dan kejemuan dalam dakwah. Bahkan para sahabatpun ada yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w bilakah kemenangan akan tiba kerana sudah bosan dengan tentangan hebat dari golongan musyrikin. Dalam dakwah kebosanan berlaku samada akibat dari kelewatan mendapat kemenangan atau berpunca dari terjadi berbagai ujian yang berat kepada pejuang Islam. Allah Taala berfirman dalam surah Al-Taubah ayat 42:
Yang Maksudnya: Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta”.

Kebosanan dan kejemuan dalam dakwah adalah berpunca dari dua faktor utama iaitu faktor-faktor dalaman dan faktor-faktor luaran:

A. Faktor-faktor dalaman
1) Kejahilan yang menimbulkan keraguan kepada kesahihan tanzim.
2) Lemah amal ibadah.
3) Kurang mengamalkan sunnah dalam kehidupan harian.
4) Berlumba memperolehi populariti dalam dakwah.
5) Tidak berdisiplin dan kerja tidak tersusun.
6) Sentiasa berburuk sangka sesama ikhwah.
7) Tidak menghadiri tarbiah.
8) Tidak menghadiri aktiviti jamaah.
9) Tidak bersederhana/melakukan sesuatu secara melampau.
10) Tiadanya aktiviti Istirahah Al-Nafs.

B. Faktor-Faktor Luaran.
1) Jamaah tidak memberikan peningkatan kepada diri.
2) Ikhwah dalam jamaah tidak bersifat terbuka.
3) Tanzim yang bercelaru.
4) Aktiviti yang membosankan.
5) Kepimpinan yang tidak memberikan contoh yang baik.
6) Perpecahan dalam jamaah.
7) Serangan bertubi-tubi dari musuh.
8) Kemewahan hidup yang menamkan rasa selesa dengan apa yang ada.
9) Pengaruh wanita.
10) Pengaruh keluarga dan anak-anak.
11) Tekanan di tempat kerja.
12) Kekalahan dalam peperangan dengan musuh.

Faktor-faktor di atas adalah penyebab kepada timbulnya Al-Futur di dalam diri pejuang-pejuang Islam. Sebagai contoh ialah kekalahan, ia boleh menyebabkan hilang keyakinan untuk meneruskan perjuangan seperti berlaku di dalam perang Uhud. Apabila umat Islam ditimpa kekalahan, ramai yang mula kecewa, hilang keyakinan dan rasa bimbang dengan masadepan Islam. Lalu Allah Taala menjelaskan sendiri mengapakah kekalahan berlaku dengan firmanNya:
Yang maksudnya: Dan Mengapa ketika kamu ditimpa musibah (pada peperangan Uhud), padahal kamu Telah menimpakan kekalahan dua kali ganda kepada musuh-musuhmu (pada peperangan Badar), kamu berkata: "Darimana datangnya (kekalahan) ini?" Katakanlah: "Itu dari (kesalahan) dirimu sendiri". Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Dan apa yang menimpa kamu pada hari bertemunya dua pasukan, Maka (kekalahan) itu adalah dengan izin (takdir) Allah, dan agar Allah mengetahui siapa orang-orang yang beriman. Surah Ali-Imran : 165-166.
Dengan turunnya ayat di atas barulah para sedar bahawa kekalahan yang berlaku adalah berpunca dari kelakaun mereka sendiri yang tidak menuruti arahan Rasulullah s.a.w. Lantas selepas daripada itu mereka tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama dan akhirnya Allah Taala kurniakan kemenangan dengan pembukaan Kota Mekah yang berlaku secara aman.

Penyelesaian.
Bagi menyelesaikan dan merawat penyakit Al-Futur yang menimpa ahli jamaah Islam maka terdapat beberapa tip yang boleh dijadikan sebagai panduan iaitu:

1) Membaca Al-Quran yang mengisahkan kesusahan perjuangan Anbiya.
2) Membaca Sirah Rasulullah s.a.w.
3) Membaca sejarah pejuang Islam masa silam.
4) Solat berjamaah.
5) Tingkatkan amalan sunat.
6) Hidupkan sunnah dalam kehidupan.
7) Meninggalkan amalan makruh.
8) Kurangkan menonton TV.
9) Selalu bersama solihin.
10) Hadiri majlis ilmu.
11) Selalu berhubung dengan ahli jamaah.
12) Amalkan pengurusan diri dan berdisiplin.
13) Menjaga masa.
14) Kreatif mempelbagaikan aktiviti jamaah.
15) Mengamalkan kesatuan fikrah dan kesatuan amal.
16) Libatkan semua peringkat ahli jamaah Islam dengan tarbiah.

Kesimpulan.
Para Qiadah dalam jamaah Islam seharusnya bersifat peka terhadap perkembangan di kalangan ahli-ahli jamaah Islam yang mempunyai tingkah laku dan kecenderungan yang pelbagai. Kebijaksanaan qiadah amat perlu bagi memastikan faktor-faktor yang membawa kepada Al-futur dalam dakwah dapat ditangani dengan sebaiknya agar intima di dalam jamaah bukan sahaja kerana kebenaran yang dibawa tetapi kerana keseronokan bersama-sama memperjuangkan Islam. Qiadah yang tidak sensitif dengan perkara-perkara seumpama ini akan membawa kepada kecenderungan ahli jamaah meninggalkan perjuangan Islam.