6/15/2008

Susah senang ujian Ilahi




Firman Allah Taala:

Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, Maka dia akan berkata: "Tuhanku Telah memuliakanku". Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya Maka dia berkata: "Tuhanku menghinakanku". Surah Al-Fajr:15-16.

Meneliti kandungan ayat di atas Allah Taala telah memandu kita dalam memahami situasi kehidupan manusia dengan lebih tepat dan betul. Kerana sememangnya manusia seringkali membuat salah tafsiran terhadap apa yang terjadi di sekelilingnya. Antara perkara yang disalah tafsirkan ialah soal kaya dan miskin, senang dan susah. Dua ayat dari surah Al-Fajr di atas secara jelas telah mendedahkan tentang dua kumpulan manusia yang selalunya wujud dalam masyarakat. Golongan itu ialah:

Pertama: Golongan yang dikurniakan kekayaan. Golongan ini adalah lapisan masyarakat yang hidup dalam keadaan serba mewah dan memiliki wang yang serba cukup untuk membeli apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka. Mereka mendakwa bahawa nikmat kekayaan yang dimiliki adalah merupakan tanda kemuliaan dan rahmat Tuhan kepada mereka.Oleh itu biasanya golongan ini sentiasa mempamerkan kelebihan mereka dari aspek metarial samada kenderaan, pakaian, makanan dan tempat kediaman mereka. Mereka juga hidup di kawasan yang setaraf dengan mereka dan jauh dari golongan miskin.
Termasuk di dalam golongan ini ialah mereka yang dikurniakan kedudukan dan kemenangan dalam merebut jawatan pemimpin sesebuah organisasi mahupun negara. Mereka mendakwa kedudukan tinggi ini adalah hasil dari kebenaran yang dibawa. Manakala pihak yang kalah pula didakwa sebagai tanda kesalahan dan tiadanya perkenan dari Tuhan.
Dari aspek sebuah masyarakat dan negara, kekayaan dan sumber alam yang melimpah ruah juga didakwa sebagai lambang rahmat dan punca kemajuan negara. Justeru para pemimpin seringkali mengaitkan kekayaan tersebut sebagai bukti kebaikan dan kebijaksanaan memerintah negara.

Namun demikian Allah Taala telah membetulkan persepsi di atas dengan fimranNya yang bermaksud: “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakanNya dan diberikan kesenangan, Maka dia akan berkata: "Tuhanku telah memuliakanku". Al-Fajr:15. Ayat ini mejelaskan tentang tabiat sebahagian besar manusia yang menilai kekayaan dan kesenangan yang dimiliki samada dari aspek metarial mahupun pangkat sebagai satu kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka, sedangkan semuanya adalah merupakan satu ujian kepada mereka. Apakah kekayaan itu diurus berpandukan syariat Allah atau sebaliknya?. Sepertimana yang dihuraikan oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili di dalam tafsirnya ‘Al-Munir’. Allah SWT menempelak mereka yang membuat dakwaan seperti di atas. Kerana pada hakikatnya kemuliaan di sisi Allah bukanlah diukurkan dari sudut kekayaan tetapi diukur menurut ketaqwaan dan keimanan seseorang sepertimana yang dinyatakan oleh Ibnu Katsir r.h di dalam tafsirnya. Jika kaya sepatutnya seseorang itu bersyukur dengan menambahkan amal kebajikan dan ibadah sepertimana yang dinyatakan oleh Ibnu Katsir r.h di dalam tafsirnya. Ini adalah kerana kekayaan dan kesenangan biasanya akan menghanyutkan manusia dan membawa mereka kepada kekufuran. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Qarun. Akibat dari kekayaan melimpah ruah yang dikurniakan kepadanya telah menjerumuskannya ke lembah keufuran kepada Allah. Firman Allah Taala:
“Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Nabi Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah kamu terlalu bangga! Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri". Surah Al-Qasas :76

Juga apa yang berlaku kepada Firaun! Hasil dari segala kesenangan, kekayaan dan kedudukan yang dimiliki telah menyebabkan ia kufur kepada Allah Taala, malah dengan angkuh mengaku diri sebagai Tuhan yang amat berkuasa.

Sebagai muslim sewajarnya kita menyedari bahawa nikmat kekayaan dan kesenangan adalah ujian yang amat sukar untuk dihadapi oleh manusia, kerana biasanya golongan kayalah yang selalunya hanyut dengan kehidupan dan sanggup melakukan apa sahaja demi menjamin keselamatan harta benda mereka. Dalam sejarah kebangkitan Islam kita dapati golongan yang paling kuat menentang dakwah Nabi Muhammad s.a.w adalah datang dari kalangan bangsawan dan mereka yang berkedudukan di dalam masyarakat. Ini adalah kerana kekayaan menyebabkan mereka sombong dan bongkak lantas tidak mahu menerima kebenaran.

Kedua: Golongan kedua pula ialah golongan miskin. Biasanya golongan ini mempunyai tanggapan bahawa kesempitan hidup dan kesusahan yang menimpa mereka adalah merupakan satu bentuk penghinaan yang telah ditakdirkan ke atas mereka. Selalunya mereka akan merasa rendah diri, tidak mahu berusaha dan sering meminta-minta. Akibat dari tanggapan sedemikian menyebabkan adanya kalangan golongan miskin yang tidak mahu mengabdikan diri kepada Allah Taala kerana mereka buruk sangka kepadaNya. Justeru Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: “Hampir-hampir kemiskinan boleh membawa kepada kekufuran”.
Allah Taala telah menyatakan bahawa kemiskinan bukanlah tanda kebencian Tuhan atau penghinaan tetapi ia merupakan satu bentuk ujian kepada manusia. Samada ia dapat bersabar atau sebaliknya di dalam berhadapan dengan ujian ini. Firman Allah Taala: “Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: "Tuhanku menghinakanku”. Al-Fajr:16.
Ujian berbentuk kemiskinan juga amat sukar untuk dihadapi oleh manusia kerana dengannya menyebabkan manusia terlalu bergantung kepada manusia yang lain dan hilang pergantungan dengan Yang Maha Pencipta. Kemiskinan boleh menyebabkan seseorang itu melakukan apa sahaja demi mendapat sesuap nasi. Meskipun apa yang dilakukan adalah haram. Kemiskinan juga boleh menjadikan seseorang menurut apa sahaja kehendak orang yang berkuasa ke atasnya meskipun jelas ia adalah bertentangan dengan syariat Allah. Di dalam sejarah Tamadun manusia pemerintah yang kejam dan zalim menjadikan kemiskinan sebagai senjata untuk mengongkong dan memeras ugut rakyat agar terus memberikan sokongan kepadanya.
Kesimpulannya, kekayaan dan kemiskinan kedua-duanya adalah merupakan ujian kepada manusia di dunia ini. Bagi yang kaya, kekayaan boleh menghanyutkan mereka dalam arus kemurkaan Allah Taala. Namun sebalinya, jika kekayaan digunakan sebaik-baiknya, ia boleh menjadi pendorong kepada ketaqwaan kepada Allah Taala. Kerana dengan kekayaan akan memberikan seseorang ruang seluas-luasnya untuk bersedekah dan mendermakan harta ke jalan meningkatkan syiar Islam. Manakala kemiskinan pula boleh menjadikan seseorang terdorong melanggar larangan Allah Taala semata untuk memperolehi harta kekayaan. Namun kemiskinan juga boleh menjadikan seseorang sentiasa insaf, ingat kepada Allah dan bergantung denganNya sepanjang masa. Malah Nabi Muhammad s.a.w amat suka berdampingan dengan golongan miskin kerana ia boleh melembutkan hati dan menyuburkan sifat tawadhuk dan rendah diri.

No comments: