10/23/2008

PETUNJUK DAKWAH : DAIE PERLU BERSIFAT IJTIMAIE!


Hairan dan pelik apabila ada di kalangan para du 'ah yang menganggap bercampur gaul dengan orang ramai suatu yang tidak penting dan tidak perlu. Cukup sekadar ceramah, kuliah, bayan di Masjid atau surau sudah memadai menyampaikan dakwah. Manakala segala ilmu yang berkaitan dengan kaedah bergaul dan cara memancing hati orang adalah tidak sepenting mempelajari ilmu aqidah, ilmu feqah dan ilmu tasauf. Malah ada kelibat para Ustaz, daie yang ke Masjid tidak mahu bertegur sapa dengan Jamaah kononnya hanya menggelapkan jiwa! Lebih dari itu Islam hari ini diuji dengan adanya para ilmuan Islam lulusan Syariah mahupun Usuluddin yang tinggal di Taman-Taman perumahan tetapi tidak lansung menggauli masyarakat, bukan sahaja tidak mahu menjadi imam atau pengkuliah di Masjid, aktiviti kemasyarakatanpun tidak mahu campur...hidup dalam kepompong yang sempit!

Cuba fikirkan, kita belajar aqidah untuk apa? Ya, memanglah pertamanya untuk mengenali Allah Taala dan mematuhi suruhan Nya. Tetapi selepas itu, adakah kita disuruh berpeluk tubuh? Atau seronok beriman seorang diri? Tidak sama sekali tidak, bahkan Allah Taala berfirman yang maksudnya: ((Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung)).Surah Ali-Imran : 104.

Ayat di atas mengarahkan kita agar menyeru orang lain agar beriman dan mengamalkan sama apa yang kita ketahui dan bukan syok seorang diri. Kerana sememangnya hakikat Islam itu adalah satu agama dakwah yang inginkan agar semua manusia mengecapi nikmat Iman dan Islam serta menjauhi perkara yang dilarang.
Bagitu jugalah dalam mempelajari ilmu-ilmu syariat yang lain. Semuanya menuntut kita beramal dan menyampaikannya kepada orang lain. Malah sesiapa yang tahu dan tidak mahu mengajak orang lain turut tahu sepertinya, dicela dan ditempelak dalam Islam, hingga diumpamakan oleh Nabi s.a.w sebagai syaitan bisu.
Baik, setelah itu satu persoalan yang timbul ialah apakah boleh kita menyampaikan apa yang kita faham hanya dengan duduk menyendiri seorang diri tanpa bergaul dan bermasyarakat. Apakah ilmu feqah yang kita pelajari dari A hingga Z boleh kita sebarkan hanya dengan berpeluk tubuh. Adalah mustahil segala ilmu yang diperolehi boleh berkembang tanpa bergaul dan bermasyarakat. Lihat sahaja bagaimana kehidupan baginda Nabi Muhammad s.a.w yang diceritakan secara hidup melalui khazanah hadis dan sunnahnya. Penuh dengan babak-babak serta adegan-adegan dan perlakuan yang melibatkan pergaulan dengan segenap lapisan masyarakat. Dengan Isteri, dengan sahabat, dengan peniaga di pasar, dengan ketua kerajaan, dengan tentera di medan jihad, dengan musuh, dengan ahli kitab, dengan kanak-kanak, dengan orang tua, dengan orang muda, dengan anak gadis, dengan orang miskin, dengan orang kaya, malah dengan tumbuhan dan haiwan serta jin. Kesemuanya membuktikan ijtimaienya baginda s.a.w, satu peribadi yang kita sama-sama akui dan iktiraf sebagai contoh dan tauladan terbaik untuk kita. Begitulah juga kehidupan para sahabat dan solafussoleh yang hidup bermasyarakat dan menyelami denyut jantung masyarakat sekeliling yang mana dengan kehidupan bermasyarakat inilah akhirnya telah membawa kepada tersebarnya ajaran agama dan melonjakkan nama harum Islam hingga disegani di seluruh dunia.
Oleh itu, sepatutnya kita semua sepakati bahawa kita perlu bergaul dan bermasyarakat. Alasan mengatakan bahawa saya ada cara tersendiri atau saya tak pandai bergaul tidak seharusnya menghalang kita untuk merubah dan melatih diri agar menjadi orang yang ijtimaie dan bermasyarakat, kerana tanpanya segala macam bentuk ilmu dan khazanah yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w tidak akan berkembang dan diamalkan oleh manusia yang lain yang turut serta dahagakannya. Melalui amal-amal ijtimaie seperti berbual-bual, mengajar, beriadhah dan berinteraksi dengan masyarakat segala ajaran Islam akan dapat disampaikan dengan baik dan praktikal.
Setelah disepakati bahawa bergaul dan bermasyarakat amat penting bagi kesinambungan ilmu dan amal, seperkara yang perlu dijelaskan ialah mempraktikkan konsep bermasyarakat itu tidaklah semudah menyebutnya. Ya, cuba lihat di sekeliling kita betapa ramai ilmuan dan sarjanaan yang bijak dan pandai. Tetapi berapa ramai pula dari kalangan mereka yang mampu menterjemahkan ilmu ke alam realiti dalam masyarakat bagi menyerlahkan kepraktikalan ilmu yang dimiliki. Kerana ilmu yang dipraktikkan lebih memberi kesan kepada orang ramai. Sebagaimana yang sering diungkapkan , “Lidah tingkah laku itu(perlakuan) lebih memberikan kesan dari lidah tutur kata”. Sebagai contoh, seorang ilmuan Islam bercerita tentang fadilat solat berjamaah dalam majlis ceramahnya tidak mampu memberikan kesan mendalam kepada audien jika dibandingkan dengan ia turut serta berjamaah di Masjid dan orang ramai melihat perlakuan serta disiplin solat yang benar-benar berdasarkan ilmu yang sohih dan menepati sunnah baginda s.a.w. Begitu juga dalam menjelaskan konsep beriadhah dalam Islam misalnya. Hanya dengan cakap di mulut bahawa Islampun menggalakkan riadhah atau sukan tidak mampu memberikan kesan dan tasawwur yang lebih baik jika dibandingkan dengan kita menterjemahkannya ke alam realiti dengan turut serta beriadhah dan mempamerkan disiplin Islam dalam riadhah. Dengannya kita mampu memberikan contoh yang hidup bagaimana disiplin Islam dari sudut menjaga waktu solat ketika beriadhah, menutup aurat dan sebagainya.
Sekadar mempunyai sijil dan ijazah dalam bidang syariah belum pasti melayakkan diri kita menjadi orang yang bijak dan mahir bergaul dan bermasyarakat atas tujuan menyampai dan memperkembangkan ilmu. Sudah banyak bukti yang berlaku di depan mata kita, ramai di kalangan ilmuan Islam yang tidak disukai ramai kerana tidak pandai bergaul. Cakapnya kasar dan kotor, tidak pandai mengambil hati, suka memandang rendah kepada orang lain, cepat mengeluarkan hukuman dan sebagainya. Meskipun sudah bermasyarakat, mengajar ke sana ke sini, tetapi apa yang di bawa menjauhkan orang ramai dari roh Islam yang sebenarnya, malah orang ramaipun kurang minat untuk terus mendalami Islam, kerana apa? Kerana tiada kemahiran dan kurang pendedahan mengenai ilmu bermasyarakat atau bertaamul dengan manusia. Justeru ilmu tersebut adalah wajar diambil berat dan dipelajari sebagai mana wajarnya kita mempelajari ilmu-ilmu usul yang telah di sebutkan dipermulaan tadi. Kerana jika cantik dan menarik kaedah kita mendekati masyarakat maka akan nampak cantiklah apa yang kita bawa dan begitulah sebaliknya.
Dalam ilmu perniagaan umpamanya, setiap barang yang ingin dipasarkan kepada pelanggan perlu kepada kaedah “marketing” yang menarik dan berkesan agar produk yang ingin dipasarkan mampu sampai ke tangan pelanggan dengan rasa penuh yakin dan puas hati. Misalnya dengan membuat logo dan pembalut yang menarik serta memilih nama produk yang bersifat mesra dan sedap didengar. Dan jika berlaku kesilapan dalam memilih nama, ia akan ditukar. Contohnya dalam tempoh yang lama kita mengenali ubat gigi Darkie yang di packing dengan timah. Tetapi setelah dipasarkan begitu lama, pengeluar ubat gigi tersebut mula menyedari sebutan ‘Darkie’ disebut dalam bahasa melayu ‘daki’, iaitu suatu yang kotor dan jijik. Bagaimanakah sesuatu yang jijik boleh dibuat bahan pencuci gigi. Lalu ia ditukar kepada ‘Darlie’, lebih sedap bunyinya dan tiada membawa makna yang jijik. Begitu juga dengan pembalut yang ditukar kepada plastik, yang lebih ringan dan mudah digunakan oleh pelanggan. Itu sebagai satu contoh dalam bidang perniagaan. Peniaga bertungkus lumus memerah otak bagi menampilkan produk yang bermutu dan menarik serta cuba sedaya upaya memikat hati pelanggan meskipun terpaksa mengeluarkan modal yang besar. Kerana biasalah sifir orang berniaga biar rugi dahulu untung kemudian.
Contoh di atas diambil melalui perniagaan, cuba pula kita kaitkan dengan Islam. Islam memanglah suatu produk(meminjam istilah dalam perniagaan-meskipun Islam adalah lebih agung dan mulia) yang sudah baik dan menarik. Tetapi masalahnya cara ‘marketing’ atau pemasaran Islam itu dibuat dengan tidak profesional dan menarik. Akhirnya Islam yang berada di pasaran dimomokkan dengan rupa yang buruk dan menakutkan. Islam yang biasa kita dengar hari ini ialah, keganasan, peperangan, pembunuhan, kemiskinan dan seribu macam label yang menakutkankan. Sedangkan hakikatnya Islam itu mulia. Tetapi kaedah pemasaran dan orang yang memasarkannya (yakni pendakwah) mengetengahkan Islam dalam bentuk yang sedemikian rupa. Ini ditambah lagi dengan kejahatan kuffar yang sememangnya sentiasa memberikan gambaran buruk terhadap Islam.
Dalam realiti kehidupan kita hari ini pula, umat Islam telah diuji dengan kelahiran ilmuan Islam yang hanya berilmu tetapi tidak beramal dengannya. Bila berbicara tutur katanya memukau dengan pelbagai teori dan nas yang meyakinkan, tetapi bila dinilai dari segi akhlak dan peribadinya amat memual dan mengaibkan. Inilah faktor terbesar yang melenyapkan keinginan orang ramai untuk mendekati Islam itu sendiri. Akhirnya Islam ditohmah sebagai satu produk yang indah khabar dari rupa!
Inilah kemelut yang mesti diinsafi bersama dan sewajarnya kita mengorak langkah mencari formula terbaik di dalam memasarkan Islam ke tengah masyarakat agar menjadi satu produk yang menarik dan sentiasa tersemat di sanubari masyarakat.

No comments: