9/07/2009

Destinasi terakhir guruku Ustaz Bahrin....

Pukul 12.30 pagi 17 Ramadan saya dikejutkan dengan mesej dari saudara Zali bahawa saudara Bahrin telah meninggal dunia. Saya baca berulang kali mesej tersebut kerana tidak percaya. Akhirnya saya menelefon Zali untuk kepastian dan ternyata berita tersebut adalah benar. Hati sangat hiba dan sedih yang teramat sangat kerana saya begitu tidak menyangka pertemuan dan gurauan dengannya semasa di Taman guru pada malam 16 Ramadan adalah saat terakhir mendengar bicara dan menatap wajahnya. Malam tersebut saya sempat berbual dengannya tentang anaknya yang kini belajar di UMP dan merupakan seorang Hafiz...beliau begitu berbangga dengan anaknya tersebut. Kemudian sempat juga bergurau tentang kematian! Rupa-rupanya itu adalah petanda pemergian beliau.



Arwah Bahrin 58 tahun adalah lulusan Ekonomi dari UM dan merupakan seorang aktivis Jamaah Islam yang sangat gigih di Pahang khususnya di Kuantan. Beliau sanggup meninggalkan jawatan demi berjuang menegakkan syariat Allah. Beliau adalah seorang yang tidak pernah mengenal erti jemu dan kecewa dalam perjuangan samada berjawatan mahupun tidak malah dengan adanya beliau telah memberikan nafas kepada dakwah di Kuantan dan menjadi sumber inspirasi generasi baru dalam dakwah termasuklah saya....kerana itulah beliau dikenali dengan gelaran ustaz malah beliau lebih hebat dari sesetengah ustaz yang lansung tidak melibatkan diri dalam Jamaah Islam.

Menurut rakan-rakan pada malam 6 September 2009 selepas solat tarawih, beliau berusrah dan ketika usrahlah beliau tiba-tiba tidak sedarkan diri lalu terus di bawa ke HTAA. Saya dimaklumkan bahawa beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital.

Semenjak dari selepas subuh hari ini 7 September rumah beliau di Tanjung Lumpur dipenuhi dengan sahabat-sahabat yang begitu ramai dan kemudian solat jenazah yang diadakan di Surau dilakukan lebih dari 5 kali kerana ramainya jamaah yang datang menziarahinya. Arwah Bahrin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan hadapan Yayasan Pahang di Tg Lumpur. Semoga rohnya bersemadi dengan damai di sana. Alangkah indahnya pemergian beliau....di bulan Ramadan, malam ke 17 Ramadan, ketika berusrah dan ketika beliau mewaqafkan dirinya untuk perjuangan Islam. Semoga ahli keluarganya tabah menghadapi ujian Allah ini.

Saya meyakini meskipun semua yang ditinggalkan di kalangan ahli keluarga dan sahabat seperjuangan meratapi pemergianya, saudara Bahrin pastinya tersenyum menerima lambaian nikmat syurga Ilahi yang menjadi idaman dan cita-cita setiap pejuang Islam sepertinya.

Ya Allah tempatkanlah sahabatku dan guruku ini di dalam Syurga Al-Firdaus...Al-Fatihah.

4 comments:

KOYAN said...

semoga roh beliau dicucuri rahmat....

Rohaifi Azri said...

innalillah...
semoga roh arwah ditempatkanNYA di kalangan hamba2NYA yang beriman...

Anonymous said...

Innalillahiwainna ilaihi rajiuun....Allahummaghfirlahu,warhamhu. wa'afihi wa'fu 'anhu

An-Nasrullah said...

innalillahi wainna ilaihi rojiuun..smg Allahyarham di klgn org yg terang kuburnya...