10/22/2009

Sudah sampai masanya....


Meskipun laporan akhbar 20 Oktober menyatakan bahawa peratus jenayah berkurangan namun saya agak ragu-ragu dengan laporan tersebut. Mungkin laporan tersebut hanya untuk menyenangkan hati atau ada motif politik sahaja. Saya berkata begitu kerana berdasarkan pemerhatian saya dan mungkin tuan-tuan semua jenayah dalam negara kita semakin hari semakin menjadi-jadi dan meningkat setiap saat. Malah kejadian jenayah yang berlaku semakin ganas dan di luar jangkauan akal kita memikirkannya. Contohnya tragedi bunuh seorang wanita berusia 50an di Sungai Isap Kuantan beberapa hari lalu. Dengar khabarnya wanita itu di bunuh dengan cara dilekupkan bantal ke atas mukanya hingga mati dan ia dilakukan oleh suspek dengan niat mahu merompak. Di Dungun pula seorang wanita warga emas di bunuh dengan kejam di rumahnya dengan cara diparang dan di rendam ke dalam baldi kepalanya hingga mati. Beberapa minggu lalu akhbar juga telah melaporkan seorang ibu bisu di bunuh anaknya sendiri dengan cara disumbat di dalam beg dan diikat kedua tangannya hingga mati. Akhbar Harian Metro hari ini pula (22 Okt) melaporkan kes bunuh anak oleh seorang ibu berumur 24 tahun dan kekasihnya warga Sudan dengan cara kejam iaitu dicabul secara ganas oleh warga Sudan dan digoncang, dipukul hingga menemui maut. Budak malang itu baru berumur 3 tahun. Itu baru tentang kisah jenayah bunuh. Belum lagi kisah rompakan dan samunan yang berlaku setiap saat dan kisah minum arak serta zina yang seolah-olah amat sukar dibendung oleh pihak berkuasa.

Saya kadang-kadang rasa amat kecewa dengan pihak berkuasa yang seolah-olah gagal melaksanakan tugas mereka. Sebabnya masalah jenayah ni bukan kerja individu seperti kita untuk membendungnya, ini tugas pihak kerajaan. Yang sedihnya bila bab berpolitik, bab mencanangkan projek-projek mega dan bab membuat propaganda supaya rakyat menyokong kerajaan sangat aktif dilaksanakan hingga kadang-kadang meluat kita menontonnya. Tetapi dalam bab memelihara nilai-nilai Islam dan membendung maksiat seolah-olah bukan agenda utama dan jarang sekali para pemimpin negara bercakap secara serius soal arak, zina, judi dan jenayah2 lain. Menteri agamapun hanya fokus soal-soal umum dan kosmetik yang tidak mendasari masalah sebenar umat Islam. Saya sangat bimbang dengan fenomena jenayah, seks bebas, ketagih arak, ajaran sesat dan lain-lain yang semakin menggila sekarang ini . Jika ianya tidak dibendung akan membawa kepada keruntuhan Tamadun Melayu Islam yang sedang kita bina bersama sekarang ini. Agak-agaknya bolehkah ia dibina oleh generasi kaki botol, penzina, perasuah dan pelaku maksiat? Saya bersetuju dengan seorang kawan yang menyatakan bahawa orang Malaysia ialah bangsa yang paling banyak buat slogan kerana bila naik seorang pemimpin baru maka slogan baru pula akan diwar-warkan dan slogan lam tenggelam begitu sahaja. Dulu slogan 'bersih, cekap, amanah" kemudian slogan "kepimpinan melalui tauladan" kemudian " cemerlang,gemilang terbilang", kemudian "Islam hadari" dan terkini "satu Malaysia". Saya tak dapat ramalkan apakah slogan baru jika pemimpin baru pula datang kelak! Jika sekadar berslogan tidak mengapa, tetapi kosnya sangat tinggi untuk setiap slogan. Bayangkan upah menggubah lagu, membuat poster, seminar, wacana, buku dan macam-macam majlis pelancaran untuk setiap slogan tersebut dan akhirnya isu utama dan agenda besar diabaikan. Isu jenayah yang menjadi virus menggagalkan setiap slogan murni tersebut nampaknya dipandang enteng. Natijahnya lahirlah generasi anak Malaysia hari ini yang diwarnai dengan budaya dan tingkah laku yang melanggar secara terang-terangan syariat Islam tanpa rasa segan silu. Bacalah Harian Metro hari ini (22 Okt) mendedahkan sebuah flet di Putrajaya yang digelar Flet Hijau menjadi pusat seks bebas oleh penghuni dan penyewa yang terdiri dari kalangan kakitangan kerajaan dan swasta!!! Amat memualkan sekali!!! Saya juga sangat bimbang kerana bunga-bunga seks bebas itu sedang berlaku di tempat saya tinggal kerana ramainya pelajar sebuah kolej swasta menyewa di taman saya. Setiap hari penduduk taman ditayangkan dengan aksi-aksi meloyakan seperti berpakaian menjolok mata, berdating hingga larut malam dan berhimpun lelaki perempuan di dalam sebuah rumah dengan aktiviti mencurigakan!!!

Akhirnya saya berpendapat sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin yang ada pada masa ini khususnya dalam UMNO (sebab ia peneraju kerajaan sekarang) membuka dada seluasnya untuk menerima undang-undang Islam sepenuhnya tanpa berdolak dalih. Kerana semua sistem ciptaan manusia sudah dicuba bertahun-tahun dan terus menerus mencipta rekod gagal dalam mewujudkan keamanan hidup. Sesuai dengan semangat mahu kembali kepada Islam melalui perhimpunan agong UMNO baru-baru ini (ada juga desakan diwujudkan dewan ulama umno) maka saya menyarankan agar hukum Islam dimartabatkan segera dan jangan ditangguh lagi. Alasan-alasan seperti bimbang dengan respon bukan Islam, takut kekurangan pelancong dan pelabur yang datang ke Malaysia, tiada kepakaran dan bermacam-macam lagi alasan adalah sebenarnya datang dari hati yang tiada Iman. Mungkin akibat jarang ke Masjid, tidak mempelajari Islam dan terlibat dengan maksiat menjadikan hati ragu-ragu dengan hukum Allah. Yakinlah bahawa dengan melaksanakan semua syariat Islam, rezeki akan bertambah dan rahmat Allah akan datang dari langit dan keluar dari bumi. Para ulamak, ustak dan seluruh pendakwah dan umat Islam prihatin mestilah bangkit bersuara secara berani menyampaikan mesej ini kerana seperti kata Dr Abd Karim Zaidan di dalam bukunya "Al-Madkhal Li Dirasah Al-Syariah Al-Islamiyah" menyatakan bahawa beliau amat yakin bahawa hukum Islam lambat laun akan dilaksanakan kerana ia adalah tuntutan agama yang tidak boleh ditolak oleh setiap mereka yang bergelar "Muslim".....

3 comments:

Syafarah said...

salam..

SETUJU! sudah sampai masanya..

Abu Fatih said...

Salam ustaz, maaf nak tanya ustaz....tajuk kitab Syeikh Abdul Karim Zaidan tu macam sama je dengan Syeikh Yusuf Al-Qardhawi "Madkhalun lidirasatil Syari'atil Islamiyyah", isinya sama ke ustaz ? Mana nak dapatkan kitab tu ustaz ?

terima kasih ustaz

Al-Teminie said...

Syed, nama buku sama je, tetapi kandungannya lain sikit. Kedua2nya mantap. Nak dapat kat mana ye? KL ada kot. Ana beli kat Maghribi dulu