2/23/2008

Khutbah Jumaat - Pemimpin Menurut Perspektif Islam

(Khutbah ini saya sampaikan di Masjid UMP pada 22 Feb 2008, kali pertama menggunakan bantuan LCD SlidePresentation- ALhamdulillah dapat pujian jamaah)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Pada hari yang mulia ini marilah sama-sama kita memperbaharui ketaqwaan kepada Allah Taala yakni dengan mentaati perintahNya serta menjauhi laranganNya, mengimani bahawa al-Quranul Kareem adalah sebagai sumber rujukan dalam perundangan hidup, meredhai segala nikmat yang dikurniaNya dan bersiap sedia dengan sebanyak-banyak amalan untuk berhadapan denganNya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Kepimpinan merupakan antara perkara terpenting yang diberikan penekanan oleh Islam. Justeru diciptakan Nabi Adam a.s adalah sebagai orang pertama diberikan amanah kepimpinan dengan digelar sebagai Khalifah oleh Allah Taala di dalam al-Quranul Kareem.
TERDAPAT beberapa istilah yang menggambarkan konsep pemimpin dan kepimpinan dalam al-Quran dan juga hadis Rasulullah S.A.W.; antaranya istilah khalifah, imam, imamah atau aimmah.
Istilah khalifah ditujukan kepada manusia yang dijadikan oleh Allah S.W.T. untuk memikul tanggungjawab di muka bumi ini seperti firman-Nya yang bermaksud:
"Ingatlah kepada Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi."
(Al-Baqarah, ayat 30)
Sebagai khalifah di muka bumi, manusia terikat dengan tiga bentuk hubungan. Pertama, hubungan menegak, iaitu hubungan manusia dengan Allah S.W.T. Dalam hubungan ini manusia menerima pimpinan Ilahi serta tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah dalam melaksanakan amanah-Nya.
Kedua, hubungan dalaman, iaitu hubungan manusia dengan diri sendiri. Di tahap ini manusia menggunakan ilmu naqliah (ilmu agama) untuk mengembangkan ilmu aqliyyah yang mengandungi tanda-tanda kewujudan dan kebesaran Allah di dalam alam (ayatullah fi`l-kaun).
Ketiga, hubungan melintang, iaitu hubungan antara manusia dengan manusia dan dengan makhluk lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan dan seumpamanya. Di tahap ini, kepimpinan manusia dilaksanakan, diminta pertanggungjawaban dan dinilai. Pengetahuan manusia tentang diri sendiri, alam sekitar, sejarah dan masyarakat, semuanya mesti diarah untuk meningkatkan iman dan amal soleh serta membantu manusia menjalankan hubungan menegak, hubungan dalaman dan hubungan melintang dengan sempurna.
Di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 124, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
"….Aku akan jadikan engkau wahai Ibrahim, imam yakni ketua bagi sekelian manusia"
Seterusnya dalam ayat 5, Surah al-Qasas, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
"Dan Kami hendak menumpahkan budi atas mereka yang ditindas di bumi itu, dan Kami hendak jadikan mereka pemimpin-pemimpin; dan Kami hendak jadikan mereka mewarisi bumi."
Dalam ayat 24, Surah as-Sajdah, Allah S.W.T. berfirman, maksudnya:
"Dan Kami jadikan dari kamu ketua-ketua yang memimpin dengan perintah Kami, tatkala mereka telah sabar dan adalah mereka yakin kepada ayat-ayat Kami."

Allah S.W.T. menyuruh manusia berdoa kepada-Nya seperti firman-Nya, ayat 74, Surah al-Furqan yang bermaksud:
"Hai Tuhan Kami! Jadikan dari isteri-isteri kami dan anak cucu kami, pendingin mata (menyenangkan hati) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang berbakti."
Empat ayat di atas menjelaskan kepimpinan dalam konteks yang luas. Ia meliputi ketua negara, mufti, hakim (kadi), menteri, wakil rakyat, ketua jabatan, penghulu, ketua keluarga dan apa sahaja yang membabitkan orang di bawah jagaannya.

Sidang Jumaat sekelian,
Terdapat perbezaan yang amat ketara antara konsep kepimpinan Islam dengan konsep kepimpinan sekular Barat. Kepimpinan Islam adalah merupakan amanah ketuhanan (divine trust) yang merangkumi urusan duniawi-ukhrawi dengan dwiperanan utama iaitu إقامة الدين وسياسة الدنيا به memelihara agama dan mengurus dunia. Ia berbeza dengan konsep kepimpinan sekular Barat yang hanya menjurus kepada urusan duniawi-manusiawi. Kepimpinan dianggap sebagai proses bagaimana seseorang mempengaruhi orang lain atau kumpulan ke arah pencapaian matlamat dalam situasi tertentu.
Keadaan ini amat berbeza dengan Islam yang menganggap kepimpinan adalah merupakan taklif atau bebanan tanggungjawab dan bukannya satu tasyrif atau pun satu keistimewaan yang perlu diburu. Pemimpin diibaratkan sebagai "pengembala" yang akan diminta tanggungjawab di atas gembalaannya. Kepimpinan atau pemerintahan dalam Islam adalah alat dan bukan sebagai tujuan. Pemimpin perlu dipimpin oleh ilmu, iman dan amal untuk menjadikan kepimpinannya sebagai alat yang aktif yang dapat merealisasikan tujuan yang hendak dicapai iaitu membela agama dan menguruskan dunia. Lantaran itu, Islam menempatkan kepimpinan di tempat yang tinggi, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"Makhluk yang paling dicintai Allah adalah imam yang adil, dan yang paling dibenci Allah adalah imam yang zalim"(HR:Ahmad)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Konsep Kepimpinan Islam dapat dirumuskan seperti berikut:
1. Berteraskan konsep khalifah Allah S.W.T.; setiap manusia (muslim mukmin) adalah Pemimpin yang bertanggungjawab memimpin dirinya, keluarganya serta ahli-ahli di bawa jagaannya. (At-Tahrim:6)
Kepimpinan mestilah melaksanakan tugas menegakkan amar ma`ruf wa nahyul Mungkar.
Kepimpinan Islam digerakkan oleh ilmu, iman dan amal soleh yang diterasi oleh keikhlasan dalam semua bentuk tindakan yang diambil, sama ada dalam bidang ekonomi, sosial, politik, kebajikan dll. Tidak ada istilah "tindakan menghalalkan cara" dalam kepimpinan Islam.
Kepimpinan bukan sesuatu jawatan yang boleh dijadikan bahan rebutan. Malahan bukan untuk dipohon atau menawar diri untuk menjawat sesuatu jawatan.
5. Melantik pemimpin adalah satu kewajipan umat Islam.
i. Hadis Rasulullah S.A.W. bermaksud:"Jika kamu bertiga, maka lantiklah salah seorang menjadi ketua."
6. Kepimpinan dalam Islam mencakupi urusan dunia dan akhirat. Pemimpin Islam perlu insaf dan menyedari bahawa setiap tanggungjawab akan dipersoalkan bukan sahaja di dunia, malah di akhirat.
Tidak ada pemujaan terhadap pemimpin dan tidak ada konsep ma`sum dalam kepimpinan Islam.
Kepimpinan Islam menganjurkan kepatuhan bersyarat. Seseorang itu tidak perlu patuh, malah wajib engkar sekiranya pemimpinnya menyeleweng atau melakukan perkara yang melanggar perintah Allah S.W.T. seperti yang dinyatakan oleh hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
· "Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat terhadap Allah."
9. Kepimpinan Islam beroperasi di atas dasar syura. Pemimpin hendaklah sentiasa berbincang dengan orang yang dipimpinnya sebelum membuat sesuatu keputusan.
Pemimpin yang dipilih mestilah menepati kriteria sebagai seorang yang bertaqwa kepada Allah Taala.
Rasulullah S.A.W. pernah menolak permintaan Abu Dzar al-Ghifari yang menawarkan diri untuk menyandang satu jawatan menerusi sabdanya yang bermaksud:
"Anda seorang yang lemah, sedangkan tugas ini adalah satu amanah, ia menyusahkan dan menjadi satu penyesalan pada hari kiamat nanti, kecuali bagi orang yang mengambilnya secara hak dan menunaikan tanggungjawab yang terpikul di bahunya".
(Hadis riwayat Muslim)

Sidang Jumaat Sekelian,
Kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W., adalah model kepimpinan unggul yang mengintegrasikan segala ciri kepimpinan, antaranya kekentalan akidah, kekuatan ilmu dan daya fikir, kewibawaan akhlak, keupayaan fizikal, kemantapan kesabaran, kebijaksanaan berdiplomasi, dan keakraban kasih-sayang.
Saiyidina Abu Bakar dan Sayidina Umar walaupun dilantik ke jawatan yang tinggi sebagai pemimpin tetapi cukup menyedari diri mereka adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan apabila melaksanakan tugas. Dengan keinsafan itu, mereka meminta rakyat membetulkan tindakan mereka jikalau berlaku kesalahan. Tindakan mereka itu bukan bererti mereka lemah, tetapi memancarkan nilai tawaduk dan taqwa yang tinggi nilainya di jiwa mereka.
Kepimpinan Rasulullah S.A.W. dan diteladani oleh para khulafa ar-rasyidin adalah berteraskan kebersihan jiwa, keikhlasan dan pengabdian sepenuhnya kepada Allah S.W.T. Kunci kekentalan peribadi dan kepimpinan mereka ialah berpegang teguh kepada al-Quran; melakukan segala tindakan semata-mata untuk Allah; melakukan hanya amalan-amalan yang diredai Allah S.W.T.; senantiasa mengingat Allah, memikirkan tentang mati, tentang azab kubur dan tentang syurga dan neraka; memperbaiki ibadah; membanyakkan amalan-amalan sunnah dan tidak meninggalkan sembahyang-sembahyang malam khususnya tahajjud.
Kepimpinan Islam yang berkesan diukur dengan bertambahnya yang makruf dan berkurangnya yang mungkar di kalangan masyarakat. Pimpinan Islam yang digerakkan oleh kepentingan diri, mempertahankan status-quo dan seumpamanya tetap tidak akan menepati kehendak pimpinan Islam.

No comments: