2/03/2009

Catatan Dakwah

Semalam 2 Januari sahabat-sahabat jamaah tabligh datang ziarah ke rumah sekitar jam 6.30pm. Meskipun terasa keletihan baru pulang kerja namun kedatangan tetamu mesti diraikan kerana mereka datang pastinya membawa rahmat. Sebenarnya saya banyak belajar dari mereka khususnya dalam 2 perkara iaitu soal dakwah fardiyyah dan juga iltizam berjamaah. Mengenai dakwah fardiyyah ni sahabat-sahabat Tabligh lebih ke depan kerana mereka dilatih berdakwah rumah ke rumah menemui umat Islam yang jarang ke Masjid tanpa ada musim tertentu. Melalui pendekatan mereka inilah saya dapat idea untuk menggerakkan jamaah surau Inderasempurna keluar berdakwah di Taman menemui anak-anak muda untuk mengajak mereka melakukan makruf dan menjauhi mungkar. Teknik bercakap, sentuhan fizikal, pujukan dan tawaran yang diungkapkan ketika berdakwah sememangnya sukar dilakukan oleh mereka yang tiada pengalaman tetapi bagi mereka yang sudah lama melakukan usaha dakwah dalam tabligh pastinya mudah untuk melakukannya. Kemudian perkara kedua ialah solat berjamaah. Menurut pemerhatian saya jamaah Tabligh sangat menekankan solat berjamaah di Masjid/Surau berbeza dgn sesetengah badan dakwah yang cenderung membina fikrah tetapi kurang menekankan soal berjamaah di Masjid mahupun ibadah fardiyyah seperti membaca al-Quran dan zikrullah.

Inilah dua perkara pokok yang dapat saya belajar dari ikhwah dalam jamaah Tabligh. Rasanya tidak salah kita belajar dari mereka kerana kebaikan menjadi keutamaan bagi setiap mukmin memperolehinya meskipun datang dari si kafir!.

Kadang-kadang kita rasa malu melihat para ustaz/ulama yang lantang berceramah dan berkuliah tetapi solat berjamaahnya tunggang-langgang, zikirnya kurang dan dakwah fardiyyahnya tiada. Takut nanti termasuk dalam golongan dimurkai Allah kerana hanya pandai bercakap tetapi tidak tahu beramal!

No comments: