7/27/2009

Syaaban; Bermulanya Persiapan Menempuh Ramadhan



Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: (( Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram(Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan Ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa)). Suarah Al-Taubah : 36.
Dua belas bulan yang disebut oleh Allah Taala di dalam ayat di atas telah dihuraikan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis. ‏
Abu Bakrah menceritakan bahawa Nabi s.a.w memberikan khutbah ketika ibadah Haji dengan berkata: Ketahuilah bahawa masa berputar sepertimana hari Allah Taala menciptakan langit dan bumi, setahun ada dua belas bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab yang terletak antara Jumada dan Syaaban. Hadis riwayat Imam Ahmad.
Bulan dalam bahasa Arab disebut Al-Syahru yang bermaksud zaman atau masa iaitu merujuk kepada peredaran bulan mengelilingi bumi. Nama-nama bulan Arab yang telah diiktiraf sebagai bulan Islam dan dirasmikan penggunaan oleh Saidina Umar al-Khattab r.a ialah:
Muharram ertinya diharamkan, kerana ia adalah bulan pertama daripada empat bulan yang diharamkan berperang dalam Islam.
Safar pula ertinya kosong, kerana penduduk Arab ketika itu keluar dari kampung mereka kerana berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas.
Rabiul Awal dan Akhir ertinya musim bunga iaitu biasamnya waktu ini pokok mengeluarkan bunga dan tumbuhan menghijau.
Jumada Ula dan Jumada Akhir, erti Jumada itu ialah membeku di mana waktu ini biasanya berlaku musim sejuk yang menyebabkan ari membeku. Asal perkataan Jumada ialah ‘Jamada’ yakni membeku.
Rejab pula bermaksud mengagungkan dan membesarkan di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka mengadakan gencatan senjata di bulan ini sebagai memuliakannya.
Syaaban bererti pecahan yang banyak, di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka keluar pada bulan setelah duduk lama di rumah pada bulan Rejab. Mereka juga keluar beramai-ramai mencari air dan makanan.
Ramadan bererti panas, kerana kebiasaannya pada waktu dahulu pada bulan ini berlaku cuaca panas.
Syawal pula dinamakan sempena dengan musim di mana unta kekurangan susu pada waktu ini. Syawal dalam bahasa Arab berasal dari kata kerja ‘Tasyawwala’ yang bermaksud sedikit atau berkurangan.
Zul Kaedah merujuk kepada kebiasaan penduduk Arab zaman sebelum Islam tidak berperang kerana ia termasuk dalam bulan-bulan haram berperang. Perkataan Kaedah itu berasal dari ‘Qa ‘ada’ yakni duduk.
Zul Hijjah pula dikaitkan dengan kebiasaan kaum Arab ke Kaabah menunaikan haji pada bulan ini.
Berdasarkan makna setiap bulan yang telah dinyatakan pastinya masing-masing mempunyai kelebihan dan keistimewaanya.Termasuklah juga dengan bulan Syaaban. Ketibaan bulan Syaaban seharusnya disambut dengan azam dan komitmen untuk meningkatkan keimana kepada Allah Taala dengan memperbanyakkan amalan dan kebajikan. Kerana hidup seorang muslim hendaklah sentiasa berubah kepada keadaan yang lebih baik dari sebelumnya. Sebagai muslim sewajarnya kita mengetahui apakah kelebihan bulan Syaaban agar ketibaannya dapat dihayati dengan sebaiknya. Keistimewaan ini juga menunjukkan kepada kita bagaimana Islam sangat mementingkan soal masa. Di mana ada saat-saat tertentu yang mempunyai fadhilat yang khusus dan jika tidak diambil kesempatan untuk memanfaatkannya akan berlalu begitu sahaja serta tiada peluang lagi untuk dikembalikan.
Menyentuh tentang kelebihan bulan Syaaban terdapat beberapa hadis sahih yang menjelaskan tentangnya. Antaranya ialah:
Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa hingga kami menganggap ia tidak berbuka, dan ia berbuka sehingga kami menganggap ia tidak berpuasa dan aku tidak pernah melihat baginda menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadan dan aku juga tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban. Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.
Aisyah r.a. juga berkata: Sesungguhnya ia (Nabi Muhammad s.a.w) berpuasa pada bulan Syaaban keseluruhannya dan baginda bersabda: Laksanakanlah amalan sedaya yang kamu mampu, sesungguhnya Allah Taala tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Dan sebaik-baik solat (sunat) pada sisi Rasulullah s.a.w. ialah yang berterusan meskipun sedikit, kerana baginda apabila solat (sunat) baginda akan sentiasa terus melakukannya. Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.
Abu Salamah r.a. pula berkata: Aku pernah bertanya Aisyah r.a. tentang puasa Rasulullah s.a.w. lalu dijawab: Bahawa Nabi berpuasa sehingga kami berkata memang ia berpuasa dan ia berbuka sehingga kami berkata memang ia berbuka, dan aku tidak pernah melihatnya berpuasa lebih banyak daripada bulan Syaaban, ia pernah berpuasa sebulan pada bulan Syaaban dan pernah juga ia berpuasa sedikit pada bulan Syaaban. Hadis riwayat Imam Muslim.
Di dalam riwayat yang lain Ummu Salamah r.a berkata: Aku tidak pernah melihat baginda s.a.w. berpuasa berturut-turut melainkan pada bulan Syaaban dan Ramadan. Hadis riwayat Imam Tarmizi.
Aisyah r.a. juga telah meriwayat bahawa bulan yang paling disukai oleh Rasulullah s.a.w. untuk berpuasa ialah bulan Syaaban kemudian disambung ke bulan Ramadan. Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad.
Bagi mereka yang ingin berpuasa di bulan Syaaban sebaiknya dimulakan dari awal bulan Syaaban kerana terdapat larangan berpuasa dihujung Syaaban bagi mereka yang tidak pernah berpuasa di awalnya. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Apabila sudah tinggal separuh dari bulan Syaaban maka janganlah kamu berpuasa.
Berdasarkan hadis ini para ulama menyatakan adalah ditegah jika seseorang berpuasa di hujung Syaaban kerana ingin menyambungnya terus dengan puasa di bulan Ramadan.
Berkenaan dengan hikmah atau rahsia menunaikan ibadah di bulan Syaaban, terdapat hadis-hadis sahih yang menceritakannya. Antaranya ialah:
Usamah bin Zaid berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah aku tidak pernah melihat engkau berpuasa sebulan seperti mana kamu berpuasa pada bulan Syaaban. Jawab Nabi s.a.w: Itulah bulan di mana manusia mengabaikannya iaitu bulan antara Rejab dan Ramadan (Syaaban). Ia adalah bulan di mana segala amalan akan diangkat kepada Tuhan sekalian alam dan aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa. Hadis riwayat Imam Nasai dan Imam Ahmad.
Abu Musa al-Asyaari pula menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah Taala melihat (amalan hamba-hambaNya) pada malam Nisfu Syaaban lalu diampunkan dosa semua makhlukNya (hambaNya) kecuali syirik dan orang yang memutuskan silaturahim (tidak bertegur dengan saudaranya). Hadis riwayat Ibnu Majah.
Abdullah bin Amru juga pernah meriwayat bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah Taala melihat kepada makhluknya pada malam Nisfu Syaaban lalu diampunkan hambanya kecuali dua iaitu orang yang memutuskan silaturahim (tidak bertegur dengan saudaranya) dan pembunuh. Hadis riwayat Imam Ahmad.
Demikianlah beberapa hadis yang menunjukkan tentang kelebihan bulan Syaaban dan pertengahan bulan Syaaban atau Nisfu Syaaban sebagai pintu masuk kepada ketibaan bulan yang lebih istimewa iaitu bulan Ramadan.
Bentuk perlaksanaan ibadah pada bulan Syaaban adalah merupakan satu kebebasan kepada umat Islam tanpa dikhususkan kepada amalan-amalan tertentu atau dengan cara yang tertentu kecuali nas yang menggalakkan berpuasa sunat. Oleh itu di samping ibadah puasa, bolehlah juga dilakukan amalan-amalan lain seperti bersedekah, berzikir, qiamullail dan sebagainya.
Di samping itu, elok juga di bulan Syaaban ini kita membuat persiapan bagi menyambut ketibaan bulan yang penuh barakah iaitu bulan Ramadan. Pada kebiasanya umat Islam menghias rumah dan membuat persiapan awal bagi menyambut kedatangan Hariraya Aidilfitri sebaliknya persiapan Ramadan tidak diambil berat. Sedangkan hariraya cuma sehari, puasa Ramadan pula sebulan lamanya. Sebaiknya bulan Syaaban dibuat persediaan bagi menempuh Ramadan. Persiapan samada dari sudut ruhiah yakni dengan membiasakan diri dengan puasa dan ibadah lain di samping persiapan fizikal seperti menghias rumah, menyediakan pakaian baru dan mengadakan ruang khusus untuk beribadat di rumah. Bulan Syaaban juga elok dijadikan sebagai saat untuk bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah Taala dan berdoa agar dikurniakan sifat istiqamah serta kesihatan supaya dapat menghayati sepenuhnya bulan Ramadan yang bakal tiba.

4 comments:

Unknown said...

pengertian yang jelas dan amat mudah difahami...izinkan saya forwardkan maklumat ini kepada penduduk malaysia muslim di NZ.. Ziad

Al-Teminie said...

Terima kasih Dr Ziad, bila nak balik M'sia? Saya baru jadi student di UKM...kirim salam kat kwn2 di sana.

ummufateh said...

syukran ustaz, tengah cari bahan utk kuliah muslimat tentang syaban ni, pening jugak surf internat. alhamdulillah jumpa kat block ustaz. Ingat lagi tak class mate ustaz ni, madah manhaj kat ali bayt musim Syita' 1995. Nafisah.

ummufateh said...

Ana belum Dr lagi ya ustaz. Tak kesampaian. Hanya Dr pada anak2 buat masa ini.