Khutbah Jumaat disampaikan di Masjid UMP pada 26 Jamadil Akhir 1430H.
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ، عَلَّمَ الإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الَّذِي بَلَّغَ الرِّسَالَةَ وَأَدَّى الأَمَانَةَ وَنَصَحَ الأُمَّةَ وَكَشَفَ الْغُمَّةَ، الَلَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيْدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ،
أما بعدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ، وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَقْوَى.
Sidang Jumaat yg dirahmati Allah,
Dipanjatkan kesyukuran kerana Allah Taala menempatkan kita di sebuah institusi yang memberikan tumpuan kepada pemartabatan ilmu pengetahuan, kerana kewujudan kita di sini secara tidak lansung memberikan satu dorongan kepada kita menjadi seorang yang sedar akan kepentingan ilmu dalam kehidupan. Suasana ilmiah yang wujud di UMP pastinya akan memberikan satu kelebihan kepada kita meskipun apa jua jawatan kita. Samada kita bergelar pelajar, kakitangan pentadbiran mahupun akademik, pastinya suasana sekeliling yang wujud di sini akan memandu kita ke arah menghidupkan budaya cintakan ilmu pengetahuan dan mengasihi golongan ilmuan serta menjadikan mereka sebagai contoh dalam kehidupan. Ilmu di dalam Islam sangat di pandang tinggi manakala golongan ilmuan sentiasa mendapat kedudukan yang mulia. Ini dibuktikan dengan firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11:
يرفع الله الذين آمنوا منكم والذين أوتوا العلم درجات
Maksudnya: “Allah meninggikan kedudukan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”.
Sidang Jumaat sekelian,
Dalam mana-mana sejarah bangsa yang maju dan bertamadun sesuatu pencapaian itu tidak akan berlaku tanpa memartabatkan ilmu pengetahuan yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. Tamadun Islam dan Tamadun Islam di Baghdad menjadi contoh yang nyata, bagaimana adunan kepelbagaian ilmu mampu menyumbang ke arah kemajuan dan kegemilangan ummat Islam. Namun akhirnya kedua-dua Tamadun ini runtuh apabila ilmu dan para ilmuan tidak diberikan kedudukan yang selayaknya dan dalam masa yang sama pegangan agama semakin luntur. Tamadun Islam di Andalusia runtuh akibat kecenderungan pemerintah Islam ketika itu hidup berfoya-foya serta cenderung kepada hiburan tanpa memikirkan soal halal dan haram serta memandang rendah akan hukum Tuhan. Akhirnya Tamadun Islam Andalusia rebah menyembah bumi di tangan tentera Salibiah.
Bagi mengangkat kembali maruah Islam seharusnya faktor ilmu diberikan keutamanaan. Faktor ilmu integratif terutama dalam soal penerokaan sains dan teknologi sewajarnya menjadi fokus kepada umat Islam agar kita dapat melahirkan satu generasi yang bukan sahaja mempunyai ilmu pengetahuan tetapi juga memiliki nilai-nilai murni. Ini adalah kerana tanpa penerapan nilai-nilai agama dan akhlak dalam sistem pendidikan hanya akan melahirkan manusia yang bijak pandai tetapi terdedah melakukan sesuatu yang memudaratkan diri, masyarakat, negara dan yang lebih serius ialah melanggar batasan syariat Allah Taala tanpa sebarang rasa berdosa dan bersalah.
Justeru itu sesiapa sahaja yang terlibat secara khusus dalam pembangunan aktiviti keilmuan seharusnya bukan sahaja memberikan tumpuan kepada ilmu yang bersifat teknikal tetapi hendaklah turut menghambil berat soal nilai, tingkah laku, akhlak dan juga penghayatan agama di kalangan para penuntut ilmu. Sabda Rasulullah s.a.w:
[ من يرد الله به خيراً يفقّه في الدين] ( رواه البخاري).
Maksudnya: “Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya maka ia akan diberikan kefahaman dalam agamanya”. Hadis riwayat Imam Bukhari.
Sidang Jumaat sekelian,
Bagi memastikan hasrat melahirkan suasana pembudayaan ilmu seperti yang telah dinyatakan tadi dijelmakan, terdapat beberapa perkara asas yang perlu diberikan tumpuan di dalam proses pembudayaan ilmu antaranya ialah:
1. Mengutamakan kebersihan jiwa dengan menghindari sifat hasad dengki, riak, sombong dan takabbur, kerana ilmu adalah cahaya Allah dan Allah Taala tidak mengurniakan cahayaNya kepada manusia yang kotor jiwanya.
2. Meninggalkan aktiviti maksiat dan bercanggah dengan prinsip Islam serta menjauhi tempat-tempat maksiat kerana ia akan menumpulkan akal dan membantutkan kecerdasan berfikir serta menyuburkan budaya yang meruntuhkan pembudayaan ilmu dan kecemerlangan.
3. Beradab dengan guru seperti merendah, mendahulukan ucapan salam kepada meraka, tidak mendahului guru ketika berjalan dan tidak menyampuk ketika guru berbicara serta tidak mengaibkannya. Ketika di belakangnya janganlah sekali-kali mengeji dan mengumpatnya atau meyebarkan fitnah memburukkan mereka.
4. Mengamalkan ilmu yang dipelajari untuk kebaikan dan bukannya untuk jalan maksiat dan kemungkaran kerana ia akan menjamin kebahagian di akhirat kelak. Sabda Rasulullah s.a.w:
(من سلك طريقاً يلتمس فيه علماً ، سهّل الله له به طريقاً إلى الجنّة) ( رواه مسلم)
Maksudnya: “Barangsiapa yang berjalan kerana menuntut ilmu, Allah akan permudahkan langkahnya masuk ke dalam Syurga”.
5. Menyampaikan ilmu kepada orang lain dan menjadikan perbualan serta perbincangan harian diwarnai dengan bayangan ilmu pengetahuan dan bukannya cakap kosong dan membuang masa.
6. Menyintai setiap perkara yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan, seperti sukakan aktiviti ilmiah, suka menghadiri kuliah dan ceramah, suka membaca, suka melakukan kajian-kajian ilmiah dan sentiasa menyanjung tinggi orang-orang yang berilmu dan selalu berdampingan dengan mereka.
7. Sifat yang mesti ada pada orang yang berilmu ialah semakin tinggi kedudukan akademiknya maka semakin merendah dirilah ia dan bukan sebaliknya, seperti resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
Mudah-mudah Allah Taala mempermudahkan usaha kita dalam membina taman Ilmu di Universiti Malaysia Pahang ini dan melahirkan warga Universiti yang bukan sahaja cemerlang akademiknya tetapi turut cemerlang sahsiah serta keperibadiannya.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.
6/20/2009
6/17/2009
6/15/2009
6/14/2009
Akhirnya jadi kenyataan.....
Pada hari Sabtu 13 Jun 2009 yang lalu seramai 28 orang bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar (SMAPT) tahun 1984-1989 bersama keluarga masing-masing telah mengadakan hari Tautan Ukhuwwah sebagai usaha menyambung kembali persaudaraan sesama mereka. Syukur alhamdulillah kerana ada di kalangan mereka yang sudah hampir 20 tahun tidak berjumpa selepas tamat pengajian dari sekolah berkenaan setelah masing-masing berpisah sekian lama dan pada hari tersebut dapat bersua muka. Pertemuan yang julung-julung kali diadakan ini adalah hasil kerjasama dan komitmen semua bekas pelajar berkenaan yang ingin melihat kembali hubungan sesama mereka terjalin dan berpanjangan. Kesemua bekas pelajar berkenaan hadir bersama ahli keluarga masing-masing yang menjadikan majlis yang diadakan di Tekam Plantation Resort, Jerantut itu sangat meriah. Majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis Ustaz Dahlan Mohammad, kemudian diikuti dengan persembahan multimedia 'Kenangan Lalu', kemudian ucapan wakil bekas pelajar Ustaz Zuridan Mohd Daud dan diikuti dengan ucapan oleh bekas guru SMAPT Ustaz Haji Zainudin yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Zai. Majlis yang bermula jam 9 pagi itu berakhir sekitar jam 1.30 tengahari namun masa dirasakan sangat singkat kerana banyak cerita yang nak dikongsikan. Pertemuan ini dianggap sangat bermakna kerana disamping dapat bertanya khabar, kesemua bekas pelajar berkenaan juga bersetuju untuk menyumbang kepada kemajuan Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar. Dengan kesepakatan semua satu program motivasi akan diadakan pada 18 Julai 2009 khusus untuk pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar yang akan dilaksanakan secara percuma. Insyaallah program Tautan Ukhuwwah ini akan dijadikan acara tahunan bagi bekas-bekas pelajar SMAPT 1984-1989 bagi menjamin hubungan sesama mereka berkekalan hingga ke akhir hayat!
6/02/2009
Dunia Yang Sepi....
(Ingatan untuk diri sendiri supaya ikhlas dalam bersahabat)
Alangkah susah mendapat kawan
Bukan kenalan di zaman ini
Berpunca dari hati yang rosak
Kerana dunia memautnya
Alangkah susah mencari kawan
Kebaikan kita disoroknya
Bahkan didengkinya pula
Kejahatan dicanang merata
Salah yang sikit dibesarkan
Yang besar apatah lagi
Alangkah sepi dunia ini
Walaupun hidup di tengah ramai
Kerana kawan tiada lagi
Yang ada hanyalah di jalanan
Kerana kawan tiada lagi
Yang ada hanyalah di jalanan
(Lirik lagu Hijjaz)
Alangkah susah mendapat kawan
Bukan kenalan di zaman ini
Berpunca dari hati yang rosak
Kerana dunia memautnya
Alangkah susah mencari kawan
Kebaikan kita disoroknya
Bahkan didengkinya pula
Kejahatan dicanang merata
Salah yang sikit dibesarkan
Yang besar apatah lagi
Alangkah sepi dunia ini
Walaupun hidup di tengah ramai
Kerana kawan tiada lagi
Yang ada hanyalah di jalanan
Kerana kawan tiada lagi
Yang ada hanyalah di jalanan
(Lirik lagu Hijjaz)
5/29/2009
Menangani Along

Kisah Along merantai pemiutang dan mengurung mereka dengan kejam sepatutnya menjadi iktibar kepada kita. Along yang mungkin asalnya perkataan Ah Long telah menjadi entiti samseng ala kongsi gelap yang bermaharajalela mencari mangsa yang kesempitan hidup kemudian ditawarkan pinjaman wang segera dan kemudiannya menjadi sumber kepada mereka menambah wang dengan memeras ugut. Realiti yang berlaku hari ini peminjam wang mejoritinya adalah melayu muslim manakala Along adalah tokey-tokey china yang sengaja menjerat mereka yang keputusan wang. Dan biasanya mereka yang meminjam adalah bertujuan membayar hutang-hutang lapok yang belum dijelaskan. Akibatnya hidup mereka ini bertambah sempit. pengalaman saya berdepan dengan mangsa along ini, biasanya ialah di kalangan mereka yang mahu hidup mewah meskipun di luar kemampuan, akhirnya hutang menjadi bertimbun dan tiada jalan lain untuk membayarnya melainkan melalui Along. Malah ada yang sanggup berhutang dengan Along semata-mata untuk membuat majlis perkahwinan anak secara besar-besaran!
Saya pernah diceritak kisah seorang Ustazah yang terpaksa menyerahkan Kad ATMnya kepada Along untuk melangsaikan hutang suaminya yang sudah tertunggak lama dan berganda bunganya...malah suadah 2 tahun kad itu di tangan ALong namun belum langsai hutangnya!
Islam meskipun mengharuskan berhutang namun tetap mengharamkan pembaziran dan perbelanjaan di luar batas kemampuan kerana ia akan membawa kepada kesusahan hidup. Bagi mereka yang ingin berhutang fikirkanlah 2,3,4 kali sebelum membuat keputusan. Apakah sesuatu yang ingin kita belanjankan itu sangat penting atau sekadar ingin menunjuk-nunjuk sahaja dan fikirkan semasak-masaknya apakah dengan gaji dan tanggungan kita, kita layak membelanjakan wang untuk perkara tersebut. Biarlah kita berbelanja berdasarkan keperluan dan bukannya seperti pepatah Melayu "Biar papa asal bergaya!.
Bagi menangani isu Along ada baiknya badan-badan Islam seperti Pusat Kutipan Zakat memikirkan cara bagaiamana membantu mereka yang kesempitan wang untuk diberikan bantuan. Mereka yang diinaya oleh Along pun boleh dibantu melalui asnaf al-Ghorimin (yang berhutang) tetapi ia perlulah dilakukan dengan mekanisme yang betul agar pemiutang yang betul-betul terinaya sahaja yang mendapat bantuan zakat. Badan-badan Islam perlulah lebih pro aktif membantu menyelesaikan perkara ini sebelum ianya menjadi barah kerana kita sedia makluman bahawa kefakiran boleh membawa kepada kekufuran. Isu satu keluarga hampir murtad di Kuantan satu ketika dahulu wajar dijadikan renungan bersama.
Sebagai muslim juga kita diajar oleh Rasulullah s.a.w berdoa supaya terlindung dari belenggu hutang dan tekanan manusia seperti doa berikut:
اللهم إني أعوذبك من الهم والحزن وأعوذبك وأعوذبك من العجز والكسل وأعوذبك الجبن والبخل وأعوذبك من غلبة الدين وقهر الرجال
Maksudnya: “Ya Allah! Aku berlindung denganMu dari kesusahan dan kesedihan, dari kelemahan dan kemalasan, dari penakut dan kebakhilan dan aku berlindung denganMu dari dibelenggu hutang dan tekanan manusia”
5/28/2009
Selamat Bersemadi Ustazah Marini
Panggilan talipon 1.30pagi 27 Mei 2009 telah mengenjutkan saya apabila dimaklumkan berita sedih di mana salah seorang pelajar saya telah kembali kerahmatullah iaitu Ustazah Marini Abd Aziz. Beliau adalah bekas pelajar saya dalam Program Berkembar IKIP dan Universiti Yarmouk Jordan. Berita tersebut menyebabkan tidur saya terganggu dan lebih kurang pukul 7.30pagi saya terus memecut ke Jerteh untuk menziarahi jenazah beliau. Entah mengapa bila berita sedih ni saya dapat tahu, kenangan lama terus mengimbau tanpa boleh dihalang. Marini dan kawan-kawannya adalah group pertama program berkembar ini dan saya ketika itu diamanahkan sebagai Pengarah Program. Program ini kuat diingatan saya kerana segala urusan bermula dengan perbincangan tajaan dengan MARA hinggalah ke Jordan menguruskan kemasukan pelajar2 berkenaan diamanahkan oleh IKIP kepada saya dan kumpulan pelajar pertama ni memang sangat rapat di hati saya kerana mereka memiliki sahsiah cukup baik, sangat menghormati guru, mesra dan aktif hinggakan hubungan sesama pelajar dan juga para pensyarah sangat rapat seperti sebuah keluarga. Meskipun sudah lama berpisah dengan mereka dan kini semuanya sudah berjaya namun hati saya masih bersama mereka dan selalu doakan kejayaan mereka. Marini adalah salah seorang daripada group tersebut dan bila berita kematiannya sampai kepada saya terus sahaja ingatan silam menerjah ruang fikiran saya.
Lebih kurang pukul 12 tgh saya sampai di Jerteh dan terus ke rumahnya. Orang sudah ramai dan sejurus kemudian beberapa buah bas membawa pelajar-pelajar Sekolah Imtiaz (anak murid beliau) datang. Saya sempat juga bertemu dengan Ustaz Hadi yang juga bekas pelajar saya di Ikip-Yarmouk, alhamdulillah beliau dah jadi ustaz di Imtiaz Besut. Kemudian solat jenazah diadakan di Masjid berhampiran selepas solat zohor. Hajat hati nak balik terus ke Kuantan, tetapi memandangkan sudah datang dari jauh dan untuk tidak menghampakan arwah, saya turut serta hinggalah jasad arwah bersemadi di dalam kubur. Lebih kurang pukul 3 ptg selepas makan tengahari nasi ayam RM 1.90 bersama Hadi dan kawan2nya saya berlepas pulang ke Kuantan dan sampai lebih kurang pukul 7.15 petang.
Dalam hati saya sentiasa berdoa agar arwah bersemadi dengan aman di alam barzakh dan ditempatkan di dalam syurga firdaus. Begitulah tamatnya episod kehidupan yang hanya terletak di dalam ketentuan Allah, entah esok atau lusa giliran saya pula...
5/26/2009
Bertemu setelah 20 tahun berpisah...
Alhamdulillah berkat usaha Akh Tobrani kami dapat bertemu buat pertama kali bertemu kembali dengan sahabat-sahabat Sek Men Agama Pulau Tawar SPM 1989. Pertemuan ringkas yang diatur semenjak sebulan berjaya diadakan di rumah Ropi di Jerantut pada pagi 25 Mei 2009. Pertemuan berlansung dalam suasana hilaian tawa dan gurau senda yang menggamit kembali nostalgia di SMAPT. Meskipun ramai yang bersetuju untuk hadir namun beberapa orang sahaja yang benar2 dapat hadir iaitu saya, Tob, Awang, Lan, Fira, Anas Miswandi dan Syikin. Terima kasih diucapkan kepada Fira dan Anas yang terpaksa bercuti untuk hadir. Manakala Tob dan Awang sanggup datang dari jauh bagi menjayakan pertemuan ini. Syukur juga kerana kami dapat berbincang untuk mengadakan Hari Tautan Ukhuwwah Group SMAPT SPM 1989 pada 13 Jun 2009 yang bakal diadakan di Tekam Plantation Hotels and Resort. Kami juga bersetuju untuk mengadakan motivasi kepada pelajar-pelajar SMAPT dan tidak mengenakan apa-apa bayaran untuk sekolah. InsyaAllah program ini akan dibincangkan dengan pihak sekolah dalam masa terdekat. Selepas berbincang kami beramai-ramai ke sebuah restoren di bandar Jerantut dan pekena gulai tempoyak ikan patin dan gulai asam rom ikan kenerak. Selepas makan kamipun berpisah dengan membawa bersama-sama kenangan manis bertemu setelah sekian lama berpisah. Mudah-mudahan ia menjadi titik mula usaha menyatukan kembali alumni SMAPT untuk digembelingkan tenaga memajukan Sek Men Agama Pulau Tawar yang banyak berjasa kepada kami.
Rasukan Jin penyebab datang ke Surau.
Malam tadi 25 Mei 2009, sebelum solat Isyak beberapa orang pelajar Kolej Imperia Indera Sempurna datang ke surau bersama guru-guru mereka. Rupa-rupanya salah seorang daripada pelajar kolej berkenaan telah dirasuk jin. Pelajar lelaki tersebut ceritanya telah ternampak lembaga hitam lalu di depannya di dalam rumah sewa di waktu Maghrib yang diduduki dengan beberapa orang pelajar lain dan menyebabkan pelajar tersebut hesteria.Alhamdulillah Imam Yunos ada di surau dan beliau telah dapat menghalau jin tersebut. Selepas Solat Isyak saya bertemu dengan pelajar tersebut dan menasihatinya supaya jangan tinggal solat dan datang berjemaah ke surau. Saya juga katakan kepada guru-guru yang datang (tenaga pengajar kolej) dan beberapa orang pelajar yg turut hadir termasuk pelajar perempuan supaya menjaga akhlak mereka kerana mungkin jin yang tinggal di Indera Sempurna tidak senang dengan gelagat anak-anak muda yg belajar di Kolej berkenaan yang seriangmerayau-rayau di waktu maghrib, berdating hingga tengah malam serta berpakaian tidak menutup aurat dan menjolok mata. Dalam hati saya mungkin ini satu cara Allah mahu mereka datang ke surau meskipun sebelum ini kelibat mereka tidak nampak ke surau (mungkin tak perasan). Kepada pengurusan Kolej sepatutnya tidak berlepas tangan membiarkan remaja-remaja yang belajar di Kolej tersebut membuat sesuka hati di taman Indera Sempurna sehingga ramai di kalangan penduduk rimas dengan gelagat mereka. Bagi jemaah surau ini menjadi tanggungjawab untuk mereka melaksanakan dakwah kepada remaja-remaja tersebut dengan penuh hikmah dan bijaksana. Alhamdulillah kejadian tersebut membuka ruang kepada saya menyampai nasihat dan dakwah kepada mereka, semoga Allah Taala membuka hati mereka untuk datang berjemaah ke Surau....
5/22/2009
Iktibar dari Selsema Babi

Wabak Selsema Babi nampaknya masih belum reda meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh pelbagai institusi kesihatan termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO.
Menurut sejarah pada tahun 1918 virus Influenza telah membunuh lebih daripada 20 juta manusia di seluruh dunia. Dan ada juga yang menganggarkan lebih 40 juta yang menjadi mangsa. Antara sebabnya apabila dibuat kajian ialah kuman-kuman ini sebenarnya datang dari babi-babi di Amerika, yang menjangkiti tentera-tentera Amerika pada Perang Dunia pertama. Dan tentera-tentera ini seterusnya membawa wabak ini ke merata tempat di pelbagai negara di seluruh dunia. Dikatakan jumlah kematian berlaku dalam tempoh yang singkat dan wabak ini pada ketika itu adalah antara wabak yang membawa kematian yang cukup besar jika dibandingkan dengan lain-lain wabak penyakit moden pada masa itu. Dan setelah dibuat kajian terperinci, ternyata punca wabak ini adalah daripada kuman virus yang datangnya daripada babi. (Sumber: The Civil Aboliotionist, New Pig Virus Capable of Infecting Human, New York, 1998 )
Menurut kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia wabak selsema babi adalah penyakit respiratori akut yang berjangkit daripada babi dan disebabkan oleh virus influenza A. Di kalangan babi, virus ini tersebar melalui titisan air dan hubungan secara langsung atau tidak langsung. Ia juga boleh tersebar melalui babi yang asimptomatik (tidak mempunyai sebarang gejala penyakit tetapi membawa virus Selesema Babi). Tanda dan gejala Selesema Babi pada manusia adalah serupa dengan gejala selesema manusia termasuk demam, batuk, sakit tekak, sakit-sakit badan, sakit kepala serta badan berasa sejuk dan lesu. Terdapat juga sesetengah kes yang mengalami cirit birit dan muntah. (Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia)
Penyakit Selsema Babi ini mula menjadi kebimbangan dunia dan menimbulkan kegawatan apabila ia meragut nyawa manusia dan menular begitu pantas. Meskipun negara-negara Islam masih belum diserang oleh wabak berkenaan namun Malaysia telah dikejutkan dengan kes pertama apabila seorang pelajar berumur 21 tahun yang baru pulang dari Amerika Syarikat disahkan pembawa wabak berkenaan. Kes ini sedikit sebanyak telah menggusarkan hati kita dan jika berkesempatan pergi ke KLIA dan Lapangan Terbang negeri-negeri yang bertaraf antarabangsa maka kita akan bertambah risau dengan ramainya kakitangan hospital dan kesihatan yang bertopeng bersedia menunggu mereka yang datang atau pulang dari negara luar yang menimbulkan suasanan cemas.
Manusia secara tabiinya apabila berdepan dengan musibah akan menjadi gawat dan cemas seperti dinyatakan oleh Allah Taala di dalam Surah Al-Ma ‘arij ayat 19-21 yang bermaksud:(( Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir )).
Sebagai seorang muslim pastinya setiap apa yang menimpa samada dalam bentuk nikmat mahupun musibah ditangani dengan penuh rasa kehambaan kepada Allah Taala. Jika nikmat datang ia bersyukur dan jika musibah menimpa ia akan sabar sepenuhnya serta sentiasa mengakui ada hikmah di sebalik kejadian tersebut. Selsema Babi adalah musibah yang menimpa di era abad ke 21 yang penuh dengan kemajuan dunia. Manusia yang kosong jiwanya dari iman mendabik dada dengan pencapaian sains dan teknologi yang didokongi oleh saintis-saintis dunia yang hebat. Rasa kehebatan kepada diri sendiri inilah yang telah mencetuskan ideologi sekular yang mengajar manusia tentang keunggulan akalnya dan menafikan kerasionalan agama serta menolak peranan agama dalam kehidupan manusia. Agama pada sisi sekular hanya layak berada di rumah ibadat dan dalam upacara kematian sahaja. Urusan sains dan teknologi serta urusan pentadbiran negara perlu diserahkan kepada golongan profesional yang bijak pandai.
Alllah Taala Yang Maha Bijaksana menakdirkan bencana wabak Selsema Babi berlaku diabad ini bukanlah mahu menghukum manusia kerana Ia Maha Adil. Sebaliknya Ia dengan sifat Kasih SayangNya mahu mengingatkan manusia agar kembali merenung hakikat kehambaan mereka dan hakikat kebesaran Tuhan. Manusia, sehebat mana sekalipun tidak akan mampu menandingi kuasa Yang Maha Pencipta dan manusia, sebijak mana sekalipun tidak mampu menyaingi ilmu Tuhan Yang Maha Bijaksana. Justeru di dalam berdepan dengan penularan wabak Selsema Babi adalah wajar dijadikan saat untuk berhenti sebentar bagi merenung hakikat kehidupan ini. Ya! Terdapat pelbagai iktibar di sebalik peristiwa ini yang berlaku ini dan ia hanya dapat diambil pengjaran oleh mereka yang berakal. Antaranya ialah:
1) Bagi memberi amaran kepada mereka yang celupar menghina Nabi Muhammad s.a.w dengan melukis seekor babi dan ditulis nama Muhammad padanya dengan tujuan menggambarkan Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia jijik seperti babi. Juga memberika amaran kepada usaha jahat golongan bukan Islam yang memasukkan sumber babi di dalam makanan umat Islam dan menyembunyikannya dengan label halal palsu bertujuan menghina dan menginaya umat Islam. Mungkin menjadi satu budaya bagi musuh Islam menjadikan objek babi sebagai satu cara memerangi Islam kerana mereka tahu babi diharamkan oleh Allah Taala kepada umat Islam. Malah dalam sejarah kejatuhan Islam di Andalusia, golongan Salibiah menggunakan babi yakni dengan membiakkannya secara berleluasa bagi menghalau saki baki umat Islam yang masih tinggal di sana.
2) Bagi memberi penegasan bahawa larangan memakan babi di dalam Al-Quran bukanlah omongan kosong tetapi ada hikmah yang antara lain ialah bagi menghindari manusia dari virus pembunuh seperti Selsema Babi seperti yang berlaku hari ini dan juga wabak Japanese Encephalitis (JE) di Bukit Pelanduk pada tahun 1999.
Malah di sekitar tahun 50an, dunia dikejutkan dengan cacing trichina daripada babi yang menjadi penyebab kepada penyakit trichinusis. Tidak ada ubat yang boleh mennyembuhkannya pada ketika itu. Dan oleh kerana itu, satu amaran telah dikeluarkan di Amerika tentang bahaya memakan daging babi. Amaran tersebut telah dikeluarkan di Washington Post bertarikh 31 Mei 1952 dan dikeluarkan oleh Dr. Glen Shepard.
Meskipun golongan yang berniaga babi cuba menjelaskan bahawa wabak Selsema Babi bukan berpunca dari memakannya, namun perlu diingat bahawa akibat dari tabiat suka makan babilah menyebabkan wujudnya ladang-ladang ternak babi secara meluas yang menjadi punca penularan wabak berkenaan. Seharusnya negara-negara Islam seperti Malaysia bertegas melarang penternakan babi-babi ini kerana ia bukan sahaja mengancam alam sekitar malah mengancam nyawa manusia.

3) Bagi menyokong kebenaran ajaran Islam berkaitan dengan amalan taharah yakni bersuci seperti membasuh tangan dan menutup mulut ketika bersin. Menurut pakar perubatan, wabak Selsema Babi ini dapat dihindari melalui amalan membasuh tangan dan menutup mulut ketika bersin. Kedua-dua amalan ini pada hakikat bukanlah menjadi kesusahan kepada kita kerana Islam telah lama mengajar umatnya menjaga kebersihan dengan dikhususkan satu bab di dalam Fekah Islam yang dinamakan Bab Taharah atau bersuci yang membicarakan soal jenis-jenis najis termasuk babi dan soal berkaitan dengan cara bersuci secara jelas. Berkenaan dengan membasuh tangan, adalah menjadi satu amalan sunnah apabila bangun sahaja dari tidur dibasuh tangan sebelum memulakan wudhuk. Manakala ketika bersin, juga menjadi amalan sunnah Nabi s.a.w ditutup mulut agar tidak terpercik dan terbau oleh oleh orang lain dan diikuti dengan ucapan ‘Alhamdulillah’ kemudian dijawab oleh si bersin dengan ‘Yarhamukallah’ ertinya ‘Allah merahmati kamu!’.
Subscribe to:
Posts (Atom)