Masih terdapat kekeliruan dalam masyarakat mengenai isu penguatkuasaan undang-undang moral atau ‘moral policing’ ke atas orang ramai. Sebagai contoh apabila Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKBI) mengenakan denda sehingga RM500 terhadap wanita Islam dan bukan Islam yang berpakaian menjolok mata, maka ia terus dipandang serong dan dianggap menyekat kebebasan dan mencabul hak asasi manusia. Definisi menjolok mata seperti yang dinyatakan oleh pihak MPKBI ialah merangkumi penampilan yang menampakkan pusat, baju mengikut susuk tubuh,seluar ketat atau skirt pendek.
Ramai yang berpendapat isu yang berkaitan dengan moral seperti di atas adalah hak dan urusan individu, oleh itu tidak perlu ada campurtangan orang lain atau kerajaan untuk menentukan apa yang baik dan buruk bagi individu terbabit. Pendapat ini pada hakikatnya adalah merupakan kesan daripada pengaruh fahaman barat yang kononnya menjunjung hak dan kebebasan individu tanpa menghiraukan tentang kesan dan akibatnya.
Persoalannya kenapakah umat Islam dewasa ini terlalu terikut-ikut dengan apa yang di amalkan di Barat? Sedangkan ia bukan sahaja mencemari kewarasan akal malah bakal menatijahkan keruntuhan nilai yang amat dahsyat seperti yang melanda dunia Barat kini.
Orang ramai secara umumnya amat mengharapkan adanya kekangan dan sekatan dilakukan agar budaya hidup bebas tidak meresap ke dalam diri generasi muda seperti yang kita lihat kini. Kebejatan sosial dilihat saban hari semakin parah meskipun ditengah keriuhan laungan memartabatkan Islam Hadari. Mereka yang sensitif dengan amalan beragama semakin rimas dengan penularan budaya barat ke tengah masyarakat khususnya di kalangan muda mudi. Fenomena ini sangat ketara apabila di lihat kepada cara berpakaian, budaya seks bebas dan jenayah yang berlaku.
Jika mengikut logik akal yang waras, manusia tidak dapat menerima tanggapan bahawa kita tidak boleh menegur orang lain jika apa yang dilakukan bercanggah dengan nilai-nilai moral yang diterima oleh manusia sejagat. Contohnya perbuatan membuang sampah di merata tempat. Ia pada hakikatnya adalah hak individu dan tidak sepatutnya diganggu, tetapi akal yang waras mengatakan bahawa membuang sampah boleh menjejaskan pemandangan dan mendatangkan penyakit kerana ia mengakibatkan kekotoran dan ia juga menggangu keselesaan orang ramai. Maka sesiapa yang melakukannya perlu ditegur dan diberikan amaran. Keseriusan amalan buruk membuang sampah merata tempat ini hingga membawa kepada penguatkuasaan undang-undang mendenda pesalah yang membuang sampah merata-rata.
Contoh lain ialah jika jiran sebelah rumah kita membiarkan lamannya semak samun, hingga ular dan binatang berbisa membiak di dalamnya. Malah ada ular umpamanya penah merayap masuk ke laman rumah kita. Apakah kita tidak boleh menegurnya supaya membersihkan lamannya? Secara logik pasti ketika itu kita harus menegur tuan rumah sebelah kerana lamannya yang semak boleh mengganggu ketenteraman sekeliling dan mengancam nyawa orang lain.
Berdasarkan logik di atas, Islam telah menegaskan sejak awal lagi bahawa setiap perkara yang menjejaskan norma kebaikan dalam hidup mesti dibendung dan ia diistilahkan sebagai 'mungkar' yang membawa maksud perkara yang perlu dielakkan kerana keburukannya. Seperti perzinaan, masyarakat Barat memandang ianya adalah hak asasi individu dan tidak boleh diganggu. Tetapi Islam melihat lebih jauh dengan mengharamkannya dan bagi sesiapa yang mengetahui berlakunya perzinaan hendaklahlah membendungnya dengan menggunakan kemampuan masing-masing samada dengan kuasa bagi yang berkuasa atau menggunakan teguran bagi yang tiada kuasa. Kerana zina bukan sahaja perbuatan yang keji malah ia telah terbukti mengundang virus penyakit yang mengancam kehidupan manusia. Bukan sahaja kepada penzina malah orang ramai boleh terancam nyawa mereka dengan merebaknya pelbagai penyakit kelamin samada melalui pemindahan darah mahupun melalui jangkitan kepada zuriat akan datang.
Menyentuh soal mencegah aktiviti tidak bermoral, Allah s.w.t telah menegaskan di dalam al-Quran betapa perlunya wujud satu kumpulan yang melaksanakan tanggungjawab menegur dan membenterasnya.
Firman Allah Taala:
(( ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير ويأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر وأولئك هم المفلحون ))
آل عمران: 104.
Maksudnya: (( Hendaklah ada dari kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada melakukan perkara yang makruf dan mencegah daripada perkara mungkar )). Ali-Imran: 104.
Berdasarkan daripada ayat di atas perkataan 'wal takun' merupakan 'feel mudharik' iaitu katakerja sedang yang di dahului dengan huruf 'lammul amr' (lam bermaksud perintah) menyamai 'feel amri' iaitu katakerja suruhan.
Ayat ini menjelaskan bahawa hendaklah ada dari kalangan ummat Islam satu golongan yang melaksanakan tugas menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada melakukan perkara makruf dan mencegah daripada perkara mungkar. Perkataan 'min' adalah bermaksud sebahagian, iaitu bukan bermaksud kesemua umat Islam, kerana bukan semuanya mampu melaksanakan tugas-tugas tersebut. Ini kerana tugas-tugas dakwah bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal tetapi kemampuan dari sudut kefahaman dan penguasaan ilmu. Oleh itu tugas dakwah berdasarkan kepada pemahamanan di atas adalah merupakan fardhu kifayah. Namun begitu sekiranya perkataan 'min' dalam ayat di atas diertikan dengan makna 'al-bayan' yakni penerangan maka tugas al amr bil makruf wan nahyu 'anil mungkar merupakan fardhu 'ain. Yakni setiap individu muslim wajib melaksanakannya. Maksud lil bayan ialah sebagai penjelasan bahawa tugas ini mesti dilakukan berdasarkan kepada tahap kemampuan dan kedudukan seseorang. Jika sebagai ulama maka tugasnya ialah memberikan nasihat, menyampaikan ilmu dan menyatakan kebenaran. Bagi pihak yang berkuasa pula mestilah menguatkuasakan undang-undang. Manakala bagi orang awam mereka hendaklah samada terlibat menyampaikan dakwah atu menjadi penyampai maklumat kepada pihak berkuasa.
Di dalam isu peguatkuasaan undang-undang seperti yang dilaksanakan oleh MPKBI ia sepatutnya dilihat secara posiitf sebagai satu langkah berani di dalam usaha membendung keruntuhan moral menggunakan pendekatan denda dan hukuman. Pendekatan ini bertujuan bagi menimbulkan ketakutan di dalam diri pelaku kesalahan agar mereka tidak meneruskan niat melakukan kesalahan tersebut. Ini bersesuaian dengan konsep Usul Feqah iaitu ’Sad az Zaraie’ yang bermaksud menutup pintu (yang membawa kepada maksiat). Di samping itu falsafah denda dan hukuman di dalam Islam seperti yang dilihat di dalam hukuman hudud bukannya bertujuan mencari kesalahan atau mencari sebab untuk menghukum, tetapi ia lebih kepada kaedah ”al Wiqayah khairun minal ’ilaj ” yang bermaksud mencegah lebih baik daripada merawat. Kerana dengan menetapkan hukuman yang sangat berat, secara psikologinya akan menimbulkan kegerunan kepada pelaku jenayah untuk melakukannya.
Di dalam al-Quran Allah Taala telah menyatakan:
(( Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu menjauhi perbuatan zina kerana ia adalah satu kesalahan dan seburuk-buruk jalan )). Surah al-Isra Ayat: 32.
Ulama tafsir seperti Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa ayat di atas lebih mantap maksudnya dari disebut ’Jangan berzina’ kerana ia bukan sahaja menegaskan bahawa zina sangat keji malah secara tidak lansung telah menetapkan satu cara untuk mengelakkan perlakuan zina iaitu dengan menjauhi dan menyekat segala aktiviti yang membawa kepadanya seperti pergaulan bebas lelaki perempuan, pendedahan aurat, khalwat, melihat gambar atau filem yang meransang nafsu dan termasuklah berpakaian menjolok mata. Kerana perbuatan tersebut sudah terbukti boleh mengundang kepada aktiviti tidak sihat dan perzinaan. Sabda Nabi s.a.w : (( Barangsiapa yang dapat memelihara apa yang ada di antara janggut dan misainya (lidah) dan dua pahanya (kemaluan) maka ia akan dijamin (masuk) syurga )) Riwayat Imam al-Bukhari.
No comments:
Post a Comment