5/16/2008

KHUTBAH JUMAAT-

Hiburan Menurut Islam.

Disampaikan di Masjid UMP, 16 Mei 2008.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Hari ini kita akan menyentuh satu topik yang berkaitan dengan keperluan hidup kita sebagai manusia. Apa yang akan saya utarakan ialah berkenaan dengan hiburan. Isu hiburan kini menjadi satu perkara yang besar dalam kehidupan kita kerana hiburan sentiasa menjadi agenda utama dalam aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan. Sebagai muslim kita tidak seharusnya menolak kepentingan hiburan kerana secara fitrahnya kita memerlukan hiburan untuk kestabilan emosi, sebagaimana kita memerlukan makanan untuk kesihatan fizikal. Namun hiburan dewasa ini menjadi suatu yang negatif apabila soal-soal bersangkutan dengan nilai Islam tidak diambil kira. Ini ditambah lagi dengan penampilan imej penghibur yang majoritinya menonjolkan perilaku yang tidak wajar dijadikan contoh.

Sidang Jumaat sekelian,
Islam sebagai sebuah agama yang syumul amat meraikan keperluan hiburan untuk manusia. Justeru hiburan di dalam Islam adalah diharuskan bagi menjamin kebahagiaan dan kedamaian jiwa manusia. Ini adalah kerana Allah Taala mengetahui bahawa manusia secara fitrahnya dicipta dalam keadaan resah gelisah. Firman Allah Taala:
إن الإنسان خلق هلوعا
Maksudnya: ((Sesungguhnya manusia diciptakan dalam keadaan resah gelisah lagi kedekut)). Al-Maarij:19
Oleh kerana sifat semulajadi manusia yang keluh kesah, maka hiburan diharuskan bagi meruntun jiwa manusia agar tidak tertekan dengan beban kehidupan. Hiburan terbaik bagi jiwa yang resah ialah dengan melakukan sesuatu yang boleh mengingatkan diri kita kepada Allah. Firman Allah Taala:
الذين امنوا وتطمئن قلوبهم بذكر الله ألا بذكر الله تطمئن القلوب
Maksudnya: Mereka yang beriman dan hati mereka tenang dengan mengingati Allah, tidakkah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang?.Surah Ar-Ra’d : 28.
Saiyidatuna Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Saidina Abubakar pernah masuk ke rumahnya, sedangkan di sampingnya ada dua gadis (hamba sahaya) yang sedang menyanyi dan memukul gendang pada hari Mina (Idul Adha), Nabi s.a.w. pula menutup wajahnya dengan pakaiannya, maka Abubakar menghalau dua gadis itu. Lantas Nabi membuka wajahnya dan berkata kepada Abubakar .Biarkanlah mereka itu hai Abubakar, sebab hari ini adalah hari raya (hari bersenang-senang)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis ini nyatalah bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati adalah diharuskan. Dr Yusof Al-Qardhawi menyatakan bahawa antara hiburan yang boleh menenangkan hati serta menyedapkan jiwa ialah nyanyian.

Sidang Jumaat sekelian,
Perkembangan di UMP sejak mutakhir ini menunjukkan wujudnya kecenderungan berhibur dengan aktiviti-aktiviti yang pelbagai seperti nyanyian pop, koir, band muzik, kelas tarian, lakonan teater dan sebagainya . Ini merupakan satu fenomena yang perlu diterima dengan dada lapang. Kerana pastinya hiburan dapat melahirkan warga UMP yang tidak terlalu stres dengan pelajaran dan tugasan harian. Namun kecenderungan ini sebaiknya diruntun agar syariat Islam sentiasa terjaga dan terpelihara. Kerana selagimana syariat dijaga pastinya kebaikan akan diperolehi dalam setiap tindak tanduk kita. Sebaliknya jika kita tidak berpandukan kepada Islam pastinya kerosakan yang akan menunggu kita. Firman Allah Taala:
ومن يبتغي غير الإسلام ديناً فلن يقبل منه وهو في الآخرة من الخاسرين
Maksudnya: Dan barangsiapa mencari selain Islam sebagai agama (panduan hidup) maka ia tidak akan diterima dan ia akan termasuk dalam kalangan orang yang rugi di akhirat kelak. Surah Ali Imran : 85.

Oleh itu bagi menjamin peranan hiburan sebagai salah satu instrumen membantu meningkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah warga UMP, maka perlulah dituruti beberapa garis panduan yang dianjurkan Islam.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang kali kedua pada 12-13 Mei 1981 telah membuat keputusan berikut:
Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa fitnah adalah harus.
Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa fitnah maka nyanyian itu adalah haram.
Pancaragam/Muzik yang melalaikan adalah haram.
Mendengar nyanyian dan muzik adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadab, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah.
Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad / perjuangan adalah harus.
Berdasarkan hasil muzakarah tersebut pada tahun 2007 Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Jakim telah menetapkan garis panduan yang jelas mengenai hiburan. Garispanduan tersebut secara umum adalah seperti berikut:
Bermatlamatkan kebaikan.
Tempat yang sesuai dan bukan menimbulkan fitnah.
Mengambil kira tentang waktu solat dan tidak menjejaskan ibadah.
Tiada ungkapan bertentangan akidah.
Tiada ungkapan lucah dan biadap.
Tiada gerakan yang memberahikan.
Tiada pemujaan jin atau syaitan.
Tiada percampuran lelaki perempuan.
Berpakaian menutup aurat bagi muslim/muslimah.
Berpakaian sopan bagi bukan Islam.
Penganjur atau pihak yang bertanggungjawab dengan hiburan dan kesenian pula diingatkan agar sentiasa prihatin dan mengambil berat perkara-perkara di atas kerana pengabaian dari penganjur atau pihak bertanggunjawab akan mengundang dosa besar kerana membenar dan menggalakkan maksiat serta menjadi penyebab kepada keruntuhan nilai masyarakat.

Sidang Jumaat sekelian,
Bagi pihak Pusat Islam & Pembangunan Insan kita mencadangkan agar garispanduan lengkap yang dikeluarkan oleh JAKIM ini dijadikan panduan di dalam memurnikan akitiviti hiburan yang dilaksanakan di Universiti Malaysia Pahang pada masa akan datang agar selari dengan syariat Islam dan nilai-nilai teras Universiti Malaysia Pahang dan dapat menjana warga UMP yang cemerlang gemilang dan terbilang di dunia mahupun akhirat.

No comments: