Wawancara Utusan Malaysia 29 April 2008.
Perseteruan golongan kuffar dengan Islam bukanlah perkara baru. Ia berlaku sejak zaman Rasulullah SAW di mana baginda sentiasa dimusuhi dan ditentang secara fizikal.
Ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya: Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu menuruti agama mereka...(al-Baqarah: 120)
Terbaru, Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders mencetus kemarahan umat Islam seluruh dunia ekoran terbitan filemnya, Fitna.Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto MOHD. MAHATHIR ALI menemu bual Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Pahang, Zuridan Mohd. Daud bagi membahaskan isu ini.
Filem Fitna, arahan Geert Wilders bukanlah kali pertama golongan kuffar menghina Islam. Apakah tindakan yang sepatutnya diambil oleh umat Islam sebagai respons kepada perbuatan Ahli Parlimen Belanda itu?
ZURIDAN: Sememangnya fitnah yang dilemparkan terhadap Islam bukanlah suatu yang baru. Malah ia bermula semenjak sebelum kelahiran Rasulullah SAW lagi ketika mana Nabi Musa a.s memaklumkan tentang kedatangan Rasulullah SAW, nabi akhir zaman, kaumnya berkata ia adalah satu pendustaan dan sihir yang dibuat-buat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: Wahai Bani Israel sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Taurat dan menyampaikan berita gembira mengenai kedatangan seorang Rasul yang akan datang selepasku bernama ‘Ahmad’. Maka apabila ia datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, mereka berkata: Inilah sihir yang jelas terang! (Al-Sof: 6)
Bagi kita umat Islam, dalam berhadapan dengan situasi ini sebaiknya berfikir dengan tenang dan cuba melihat apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik serangan terhadap Islam, isi kandungan al-Quran, peribadi Rasulullah dan umat Islam yang bertali arus ini.
Jika diteliti dengan mendalam bolehlah dibuat rumusan bahawa serangan terhadap Islam ini berpunca daripada beberapa perkara antaranya;
* Sikap semula jadi Yahudi dan Kristian yang sememangnya mencemburui Islam semenjak dari zaman Rasulullah SAW lagi.
* Kejahilan terhadap ajaran Islam.
* Sikap negatif yang ada pada sesetengah umat Islam yang menjadi punca cercaan kepada Islam.
Bagi menghadapi golongan pertama, iaitu mereka yang memusuhi Islam, jawapannya ialah kita juga mesti memerangi mereka seperti mana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 190 dan dalam surah al-Nahl ayat 126.
Peperangan yang dimaksudkan boleh berupa pemboikotan barangan mereka, tindakan ketenteraan atau serangan propaganda melalui media dan penyebaran maklumat berkaitan kehebatan Islam serta kelemahan yang ada pada ajaran agama yang lain. Semua ini dilaksanakan dengan niat mempertahankan Islam dan bukannya mahu menghina agama lain.
Bagi menghadapi golongan kedua dan ketiga pula, kita seharusnya memberikan penekanan kepada pembudayaan ilmu dalam masyarakat Islam dan penekanan kepada disiplin ilmu Islam yang disusun oleh para ulama muktabar. Bukannya terarah kepada pemikiran-pemikiran tertentu yang akhirnya melahirkan kelompok umat Islam yang menonjolkan imej yang bertentangan dengan ajaran Rasulullah SAW.
Begitu juga soal pembangunan nilai hendaklah diberikan perhatian serta mengurangkan program-program hiburan yang menjadi salah satu sebab lemahnya kecenderungan umat Islam untuk meningkatkan ilmu dan kefahaman mereka.
Ini menjadi punca lahirnya tingkah laku negatif di kalangan umat Islam yang seterusnya menatijahkan persepsi buruk terhadap Islam itu sendiri. Kemelut kejahilan yang melanda umat Islam jugalah yang melambatkan penyampaian mesej kebenaran Islam terhadap dunia Barat.
Melihat kepada sirah, tentangan musyrikin Mekah terhadap Islam dan Rasulullah bukanlah kerana faktor keEsaan Allah semata-mata, sebaliknya lebih kepada aspek ekonomi seperti pembuat berhala dan sebagainya. Kali ini, apakah pula muslihat mereka?
ZURIDAN: Perkara pertama yang harus kita sedari ialah serangan terhadap kesucian Islam yang berlaku hari ini sebenarnya banyak didalangi oleh Yahudi. Sebagai contoh ialah Wilders sendiri yang mempunyai hubungan yang erat dengan Israel manakala isterinya pula adalah Yahudi. Malah di dalam filem Fitna banyak diutarakan sikap muslim Palestin terhadap Yahudi. Kebencian Wilders terhadap Islam ialah akibat dari penolakan umat Islam terhadap kezaliman Yahudi.
Manakala sikap sesetengah golongan Kristian yang bersekongkol menyokong penghinaan terhadap Islam merupakan satu lumrah di mana mereka amat cemburu dengan peningkatan jumlah umat Islam hari ini. Ini dibuktikan dengan apa yang diluahkan oleh Vatican apabila menyedari jumlah umat Islam lebih tinggi dibanding penganut Katolik iaitu Islam sebanyak 19 peratus daripada penduduk dunia manakala Katolik 17 peratus.
Serangan Yahudi dan Kristian terhadap Islam adalah lebih kepada soal penguasaan ke atas dunia. Kerana jika dinilai dari aspek akidah Yahudi lebih hampir kepada Islam kerana mereka juga percaya kepada tuhan yang esa.
Namun kerakusan mahu menakluki bumi Palestin tempat letaknya kiblat pertama umat Islam serta keyakinan bahawa menakluki Palestin bermakna menakluki dunia, menjadikan mereka bekerjasama menghancurkan Islam.
Ini dinyatakan oleh penulis buku, Humma Sanah 2000 (Demam Tahun 2000) iaitu Abdul Aziz Mustafa Kamil yang menyatakan bahawa Yahudi bersekongkol dengan Kristian pada hari ini bagi menghadapi umat Islam adalah kerana hasrat mereka untuk merobohkan Masjid Al-Aqsa.
Ini kerana Yahudi menganggap pemimpin mereka iaitu Al-Masih Dajjal tidak akan turun melainkan runtuhnya Masjid Al-Aqsa dan begitu jugalah Kristian yang sedang menunggu kelahiran semula Al-Masih Nabi Isa a.s yang tidak akan muncul melainkan di bawah runtuhan Masjid Al-Aqsa! Sebagaimana dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 120.
Apakah panduan Islam dalam berinteraksi dengan agama lain lebih-lebih dalam berhadapan dengan krisis begini?
ZURIDAN: Di dalam berhadapan dengan situasi ini adalah wajar kita menjadikan al-Quran dan sunah sebagai panduan kerana tindakan yang hanya menurut emosi bukan sahaja tiada kesan malah boleh membawa kepada perkara yang lebih buruk. Jika diteliti di dalam al-Quran, Allah telah menggariskan kaedah interaksi dengan agama-agama lain yang bukan Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembalinya mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan. (al-An’am: 108)
Di dalam tafsir at-Tabari ada diriwayatkan bahawa Qatadah r.a menyatakan bahawa pada asalnya terdapat orang Islam yang menghina berhala orang-orang kafir, lalu mereka (orang kafir) membalasnya dengan menghina Allah tanpa mereka tahu apa-apa tentang keagungan-Nya. Lantas Allah SWT menurunkan ayat ini sebagai teguran atas sikap tersebut.
Ayat ini secara jelas melarang umat Islam daripada mencerca agama dan anutan orang lain. Kerana perbuatan ini akan membawa kepada timbulnya suasana balas-membalas penghinaan yang tidak membawa kepada kebaikan kepada umat manusia.
Di dalam hadis pula Imam Bukhari telah meriwayatkan bahawa, pernah satu ketika beberapa orang Yahudi di Madinah bertemu dengan Nabi SAW mereka mengucapkan kepadanya: Celaka atau matilah kamu (wahai Muhammad)!. Kemudian Nabi s.a.w sekadar menjawab: Atas kamu juga. Hingga menyebabkan Aisyah r.a marah lalu dia menjawab kepada Yahudi dengan katanya: Matilah kamu dan Allah melaknat dan murka ke atas kamu!. Kemudian sabda Rasulullah SAW: Wahai Aisyah hendaklah kamu berlembut dan jangan berkasar serta berkata nista. Jawab Aisyah: Apakah kamu tidak dengan apa yang mereka katakan? Kata Nabi SAW: Kamu dengarkah apa yang ku jawab? Aku jawab dan (doaku) diperkenankan, tetapi jawab (doa) mereka tidak diperkenankan.
Kedua-dua nas di atas amat jelas memberikan panduan kepada umat Islam di dalam berhadapan dengan situasi yang berlaku sekarang. Namun bukanlah tidak perlu bertindak lansung, Cuma tindakan yang dilakukan hendaklah berhikmah dan bijaksana dan bukannya boleh menimbulkan huru-hara yang lebih buruk lagi.
Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Dr. Yusof Al-Qaradawi lebih cenderung kepada penggunaan saluran informasi Islam secara meluas dan meningkatkan penyebaran ilmu melalui tulisan dan media massa di dalam berhadapan dengan situasi penghinaan terhadap Islam dan bukannya menggunakan pedang atau kekerasan.
Sebabnya, apabila Islam dihina, naluri masyarakat dunia untuk mengetahui hakikat sebenarnya makin memuncak. Justeru umat Islam perlu mengambil kesempatan ini untuk menyebar luaskan segala maklumat berkaitan dengan kesucian dan kemurnian Islam.
Wilders nampaknya ‘sengaja’ memilih ayat-ayat perihal berhadapan musuh dalam perang. Walhal sangat banyak ayat al-Quran yang mengajak kepada aspek berkasih sayang dan menjalankan hubungan baik dengan manusia. Bagaimana kita nak membetulkan salah tanggapan ini?
ZURIDAN: Kecenderungan Wilders memilih ayat-ayat perang di dalam al-Quran adalah merupakan strategi beliau yang mahu sedaya upaya untuk memburukkan imej Islam. Namun bagi kita pula, ini adalah peluang sebaiknya menerangkan kepada seluruh dunia bahawa al-Quran adalah panduan terbaik bagi manusia.
Bukan sahaja soal ibadat dibicarakan malah soal-soal peperangan pun turut disentuh di dalam al-Quran. ‘Pendedahan’ Wilders terhadap ayat-ayat perang di dalam al-Quran secara positifnya telah membuka mata para cendekiawan Islam agar meningkatkan penerbitan ilmiah mereka dan memperbanyakkan aktiviti-aktiviti keilmuan bagi menjawab segala tuduhan yang dilemparkan.
Jika diteliti kesemua ayat yang dipaparkan di dalam filem Fitna mendedahkan kepada kita tenteng kedangkalan Barat yang suka menafsirkan al-Quran di luar konteksnya. Sedangkan ayat-ayat yang diutarakan adalah berkaitan dengan situasi peperangan dan pastinya menyentuh soal cara berperang, persiapan ketenteraan, membunuh musuh dan sebagainya.
Di samping itu, ayat-ayat tersebut seharusnya dibaca bersama dengan ayat-ayat lain yang menegaskan bahawa berdamai dan memaafkan adalah lebih baik dari berperang. Salah satu ayat yang diutarakan ialah dalam surah Muhammad ayat 4. Ayat di atas sewajarnya dibaca bersama ayat dalam surah al-Nisa ayat 90.
Di samping itu terdapat banyak ayat-ayat lain di dalam al-Quran yang menyuruh kepada persahabatan, persaudaraan, kasih sayang, hormat menghormati, adab berjiran, larangan menceroboh dan larangan membunuh yang tidak diambil kira langsung.
Malah al-Quran juga melarang perbuatan memfitnah seperti yang dilakukan oleh Wilders dan al-Quran menegaskan bahawa fitnah lebih berat daripada membunuh. Hal ini diperkukuhkan dalam surah Al-Hujurat ayat 13 dan surah Al-Maidah ayat 32.
Di sebalik filem ini masih ada filem-filem Barat yang cuba merosakkan akidah dan memberi gambaran antagonis kepada umat Islam. Malangnya, tidak ramai menyedari hal ini kerana terlalu taksub dengan filem Barat. Apakah neraca yang perlu ada di kalangan umat Islam apabila menonton filem-filem seperti Passion of the Christ arahan Mel Gibson?
ZURIDAN: Apabila menyentuh soal filem yang diterbitkan oleh pihak Barat, saya tertarik dengan perkembangan yang berlaku di mana wujudnya kecenderungan Hollywood menghasilkan karya yang ada kaitan dengan kepercayaan agama.
Maka lahirlah filem seperti Passion of the Christ, Da Vinci Code, The last temptation of Christ dan lain-lain lagi. Meskipun terdapat fakta dalam filem-filem berkenaan yang dipertikaikan oleh pihak gereja namun ia cukup menggambarkan kecenderungan barat menyebarkan dakyah mereka.
Apa yang membimbangkan ialah terdapatnya kalangan umat Islam yang menonton filem-filem seumpama ini tanpa sebarang tapisan. Disebabkan ilmu yang kurang maka fakta-fakta yang terdapat di dalam filem berkenaan mampu menggoncangkan akidah umat Islam.
Kita juga bimbang dengan kebanjiran filem-filem dari Bollywood dan Indonesia yang mengenengahkan prinsip pluralisme atau kesamarataan agama yang amat jelas bercanggah dengan prinsip akidah Islam.
Di samping membicarakan filem-filem luar kita seharusnya tidak terlepas pandang dengan penerbit-penerbit filem tanah air yang mempunyai kecenderungan menerbitkan filem-filem dan iklan-iklan televisyen yang berlatarbelakangkan budaya hidonisme, gangsterisme dan tahyulisme.
Apa yang menghairankan kita ialah di waktu ini seolah-olah tiada tapisan ketat terhadap kebanjiran filem-filem seumpama ini yang pastinya boleh merungkaikan akidah dan amalan agama umat Islam di negara kita khususnya.
Bagi menangkis propaganda yang disebarkan melalui media massa elektronik masa kini, sewajarnya kita sentiasa berusaha meningkatkan ilmu dan kefahaman agama khususnya. Kerana dengan ilmu sahaja kita dapat membuat pertimbangan yang waras dalam menilai setiap makluman yang sampai ke tangan kita. Ini dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 269.
Pada masa yang sama, apa pula garis panduan yang perlu ada oleh pengarah-pengarah filem Muslim tempatan supaya tidak melakukan kesilapan yang sama?
ZURIDAN: Perkara pertama yang perlu disedari oleh pengarah-pengarah Muslim ialah apakah matlamat mereka berkarya sebenarnya? Apakah semata-mata untuk menghiburkan, mencari nafkah, mendapat pujian atau membawa mesej kebenaran kepada masyarakat?
Juga perlu disoal apakah penerbit-penerbit Muslim kita benar-benar sensitif dengan hukum halal dan haram dalam berkarya atau semata-mata memikirkan keuntungan dan keglamoran?
Jika kita benar-benar mahu menjadikan karya filem kita bermanfaat dan menjadi satu ibadah, bekalan di hari akhirat kelak, maka hendaklah dipastikan setiap filem yang diterbitkan sentiasa selari dengan kehendak syariat.
Suatu hakikat yang perlu difahami ialah syariat Islam datangnya bukan untuk menyekat dan menyusahkan kehidupan manusia tetapi memberikan panduan terbaik ke arah kebaikan umat manusia. Firman Allah SWT dalam surah Al-Haj ayat 78 yang bermaksud: Dan Dia (Allah) tidak menjadikan ke atas kamu dalam soal agama suatu kesusahan.
Dalam soal penerbitan filem dan yang seumpama dengannya terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian agar benar-benar bermanfaat, antaranya ialah tema yang diketengahkan.
Seharusnya tema sesuatu filem itu hendaklah memfokuskan soal ketuhanan, kemanusiaan dan alam bukannya semata-mata soal khurafat, cinta atau keganasan seperti yang banyak berlaku hari ini. Begitu juga soal skrip yang ditulis, mestilah sentiasa dijaga agar tidak terpesong dari landasan akidah Islam dan tidak mempromosikan kemungkaran secara meluas.
Hubungan lelaki dan wanita bukan mahram juga sewajibnya dipelihara. Meskipun ada yang beranggapan bahawa berpelukan dengan alasan lakonan dibolehkan, tetapi sebenarnya ia bukan ajaran Islam sebaliknya ia adalah fahaman Barat yang menular masuk ke dalam pembuatan filem-filem tempatan. Pernah seorang pelakon berkata: “Saya berlakon sebagai ibu, jadi apabila saya peluk dan cium ‘si fulan’ tidak mengapalah kerana saya ikhlas menganggapnya sebagai anak”. Inilah tanggapan salah yang menular di kalangan artis dan pelakon Muslim kita hari ini. Sedangkan Islam melarang perkara seumpama ini berlaku meskipun dalam situasi lakonan.
Begitu jugalah soal menutup aurat. Seringkali alasan berlakon menyebabkan pelakon wanita Muslim khususnya, berpakaian amat menjolok mata dengan alasan ia sebagai lakonan semata-mata.
Akhirnya, semua perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik tanpa penegasan dari pihak yang berkuasa. Garis panduan yang dikeluarkan berkaitan dengan filem, lakonan dan persembahan artis seharusnya dikuatkuasakan semula agar filem-filem kita tidak menjadi sebahagian dari proksi barat dalam meruntuhkan akidah dan nilai murni umat Islam.
No comments:
Post a Comment