Islam tidak mengkhususkan hari-hari tertentu sebagai hari ibu atau hari bapa. Bukan kerana Islam tidak menghargai jasa keduanya tetapi Islam tidak mahu ada yang beranggapan pada hari yang dikhususkan itulah sahaja masa untuk berbakti kepada keduanya sedangkan di waktu lain ibubapa tidak dihiraukan. Namun bagi sesiapa yang ingin menyambutnya sepertimana menyambut hari wanita, hari buruh, hari kesihatan, hari polis dan sebagai adalah tidak mengapa selagimana tiada sebarang iktikad bahawa ia adalah satu ibadat khusus yang disunatkan di dalam Islam. Ibubapa bapa sewajibnya sentiasa diberikan penghormatan dan penghargaan kerana jasa mereka di dalam membesarkan anak-anak. Tanpa mereka siapalah kita di dunia ini? Apa yang kita capai hari ini adalah berkat jasa keduanya. Justeru besarnya kedudukan mereka berdua Allah Taala berfirman:
((Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibubapamu dengan sebaik-baiknya)). Surah al-Isra: 23.
((Dan sembahlah Allah dan janganlah mensyirikkanNya dengan sesuatu dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa)) Surah an-Nisa:36.
Kedua-dua ayat di atas memberikan satu gambaran betapa tingginya kedudukan kedua ibubapa apabila Allah Taala sendiri meletakkan kedudukan mereka selepas kewajipan menyembahNya. Ini menjadi satu bukti bahawa berbakti kepada kedua ibubapa adalah merupakan cabangan iman dan bermakna sesiapa yang menderhakai kedua ibubapa adalah termasuk di kalangan mereka yang tidak beriman.
((Dan kami wasiatkan(perintahkan) kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua ibubapanya, ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah..)). Surah Luqman:14.
Di samping itu Nabi Muhammad s.a.w telah memberikan berbagai panduan di dalam menjaga hubungan dengan ibubapa sepertimana diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Mas ‘ud r.a:
Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w: Amalan apakah yang lebih disukai oleh Allah Taala? Jawab baginda: Solat pada waktunya. Aku tanya lagi: Kemudian apa? Jawab baginda: Berbuat baik kepada kedua ibubapa. Tanyaku lagi: Kemudian apa? Jawab baginda: Berjihad di jalan Allah. Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.
Pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu dengan Nabi s.a.w untuk menyatakan kesetiaan kepada baginda dengan berjanji untuk turut sama berhijrah dan berjihad. Namun baginda s.a.w telah bertanya kepadanya:
Maksudnya: Apakah ibubapamu masih hidup? Jawab lelaki tersebut: Ya! Kedua-duanya masih hidup. Kata Rasul yang mulia: Apkah kamu mahukan ganjaran pahala dari Allah Taala? Jawab lelaki itu: Ya! Lalu Rasul yang baik lagi penyayang: Pulanglah kepada kedua ibubapamu dan berbaktilah dalam mendampingi mereka....Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.
Nabi Muhammad s.a.w juga pernah ditanya:
Maksudnya: ”Siapakah yang lebih berhak aku berbuat baik kepadanya? Jawab Rasulullah: Ibumu. Tanyaku lagi: Kemudian siapa? Jawab baginda: Ibumu. Tanyaku lagi: Kemudian siapa? Jawabnya: Ibumu. Tanyaku lagi: Kemudian siapa? Jawabnya: Bapamu”. Hadis Riwayat
Berdasarkan kedudukan ibubapa yang sangat tinggi di sisi Islam, Allah Taala telah menggariskan panduan kepada setiap manusia dalam berbabkti kepada keduanya. Firman Allah Taala:
Maksudnya: ((Dan Tuhanmu telah memerintahkan bahawa janganlah kamu menyembah selainNya dan hendaklah berbuat baik kepada kedua ibubapa. Samada telah sampai kepadamu umur tua salah seorang darinya atau kedua-duanya. Maka jangalah berkata oh! Kepada mereka berdua dan janganlah herdik mereka dan hendaklah kamu berkata baik kepada mereka berdua. Serta rendahkanlah sayap kehinaan dirimu dari rasa kasih sayang dan berdoalah : Wahai Tuhan rahmatilah mereka berdua sepertimana mereka pernah mendidik aku ketika kecil)). Surah al-Isra’:23 – 24.
Ayat ini memberikan panduan yang jelas bagaimana cara menghargai jasa dan pengorbanan kedua ibubapa. Perkara asas yang ditekankan ialah berkata sopan dan merendahkan suara kepada mereka khususnya apabila mereka berdua lebih-lebih lagi apabila keduanya telah tua dan uzur. Ini kerana ibubapa yang tua biasanya akan lebih sensitif dengan layanan yang diberikan oleh anak-anak kepada mereka. Justeru ayat di atas menegaskan jangan sekali-kali berkata ‘Oh’ sekalipun. Ini bermakna kata-kata yang lebih kasar adalah lebih dilarang. Malah semua kata-kata dan tindakan yanh boleh mengguriskan hati kedua ibubapa sewajarnya dihindari meskipun untuk menyatakan rasa tidak puas hati di atas tindakan mereka.
Seperkara lagi yang disentuh di dalam ayat di atas ialah tentang perlunya anak-anak mendoakan kebaikan kedua ibubapanya. Di mana Allah Taala sendiri telah mengajar kita bentuk doa yang paling baik. Doa tersebut ialah:
((Wahai Tuhan rahmatilah mereka berdua sepertimana mereka pernah mendidik aku ketika kecil))
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila meninggalnya seorang Insan maka akan terputuslah amalannya kecuali tiga. Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya”. Sunan an-Nasaie.
Cara terbaik menghargai jasa ibubapa bukanlah semata-mata dengan memberikan hadiah atau wang ringgit, tetapi ialah dengan melaksanakan tuntutan agama dengan sebaiknya. Kerana ia akan menjadi sambungan amalan yang akan diperolehi oleh ibubapa apabila mereka telah meninggal dunia. Malah doa anak yang soleh kepada kedua ibubapa tiada sebarang hijab di sisi Allah Taala.
Marilah kita bersama-sama menjaga dan membahagiakan ibubapa sebelum kita menyesal yang tiada kesudahannya apabila mereka berdua telah kembali ke Rahmatullah.
(Ya Allah rahmatilah ibuku dan lapangkanlah kubur arwah bapaku)
No comments:
Post a Comment