’Lailatulqadar’ dianggap malam yang sangat istimewa kerana ia dinamakan sendiri oleh Allah Taala di dalam Al-Quran. Kemudian Allah Taala telah mengkhususkan satu surah dengan nama Surah Al-Qadr yang menunjukkan istimewanya malam tersebut.
Firman Allah Taala yang bermaksud: (( Sesungguhnya Kami telah menurunkannya di malam Al-Qadr. Apakah kamu tahu apa itu malam Al-Qadr? Malam Al-Qadr adalah lebih baik dari seribu malam. (Pada malam tersebut) Para Malaikat dan Al-Ruh (Malaikat Jibrail) turun padanya dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam tersebut sehingga terbit fajar )). Surah Al-Qadr:1-5.
Surah Al-Qadr ini merupakan Surah Makkiyyah iaitu diturunkan di Mekah dan merupakan surah ke 25 menurut turutan surah-surah Al-Quran. Mujahid r.a. telah meriwayatkan sebab turun ayat ini di mana Nabi s.a.w telah diceritakan tentang kisah seorang lelaki Bani Israel yang memikul pedang berjuang di jalan Allah selama 1000 bulan. Lalu baginda s.a.w rasa dukacita atas umur umat yang pendek lalu turunlah surah ini.
Surah ini menceritakan tentang al-Quranul Karim yang diturunkan oleh Allah Taala secara keseluruhannya pada malam yang dinamakan dengan Al-Qadr. Makna Al-Qadr di dalam surah ini ialah hukum, tadbir atau ketentuan. Apa yang dimaksudkan di sini ialah pada malam tersebut Allah menentukan takdir dan ketentuan sesuatu perkara sepertimana yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas r.a. Malam Al-Qadr juga bermaksud suatu malam yang mulia dan mempunyai kedudukan yang sangat tinggi. Allah Taala menyatakan bahawa malam Al-Qadr adalah lebih baik dari seribu bulan. Apa yang maksudkan ialah nilai kelebihan bagi mereka yang beramal di malam tersebut menyamai ibadat selama 1000 bulan. 1000 bulan menyamai 82 tahun. Ayat ini memberitahu bahawa erti dan nilai kehidupan bukanlah selama mana kita dapat hidup tetapi nilai umur seseorang ialah bagaimana ia dimanfaatkan sepenuhnya. Seseorang yang beribadah meskipun umurnya pendek adalah lebih mulia dari seorang yang umurnya lanjut tetapi jauh dari Allah Taala.
Malam Al-Qadr jika diisikan dengan ibadah maka nilaiannya seperti beribadah selama 82 tahun, itu jika dihidupkan sekali sahaja. Cuba kira jika dilakukan sepuluh malam al-Qadr, ia menyamai beribadah selama 820 tahun! Di hujung ayat ini Allah Taala mengakhirinya dengan perkataan ’Salam’ yang bermaksud sejahtera. Iaitu orang yang menghidupkan malam tersebut akan mendapat kesejahteraan yakni ganjaran syurga dari Allah Azza Wajalla. Sabda Nabi Muhammad s.a.w:
مَـنْ قـَامَ لـَيْلـَة َ القـَدْرِ إيْمَاناً وَاحْتِسَاباً غـُفِرَ لـَهُ مـَا تـَقـَدَّمَ مـِنْ ذَنـْبـِهِ
Maksudnya: Barangsiapa mendirikan Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan diampunkan dosanya yang telah lalu. Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.
Mencari malam Al-Qadr bukanlah dengan berjaga sahaja, atau beribadah pada hari-hari tertentu sahaja. Tetapi ia hendaklah dilakukan secara istiqomah bermula dari malam pertama Ramadan. Pencarian ini juga mestilah dilandaskan kepada niat yang ikhlas yakni mahu mendapatkan redha Ilahi dan bukannya kerana mahu menebus dosa dan kemudian kembali melakukannya semula.
Berkenaan dengan tanda-tanda Lailatul Qadr antaranya ialah:
1) Malam tersebut terang dan bercahaya.
2) Ketenangan malam yang dapat dirasai oleh mereka yang beriman.
3) Angin bertiup lembut.
4) Ada yang bermimpi menemui malam Lailatul Qadr pada malam tersebut.
5) Rasa kelazatan ibadah yang berbeza pada malam tersebut.
6) Matahari terbit pada fajar keesokannya dengan kesuraman cahaya dan cerah tidak seperti hari-hari lain. Ubay bin Ka’ab meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:
أنـَّهَا تـَطـْلـَعُ يـَوْمَئِذ ٍ لا شِعَاعَ لـَهَا
Maksudnya: Ia (tanda Lailatul Qadr) ialah matahari terbit tanpa cahaya yang terlalu terang. Hadis riwayat Imam Muslim.
Berdasarkan kelebihan Lailatul Qadr tersebut maka marilah sama-sama kita mencarinya dengan bersungguh-sungguh dihujung Ramadan yang mulia ini. Kerana kita belum pasti jika Lailatul Qadr tahun ini terlepas apakah kita masih hidup untuk mencarinya pada bulan Ramadan tahun akan datang.
No comments:
Post a Comment