9/19/2008

TAZKIRAH RAMADHAN: KEISTIMEWAAN SEPULUH MALAM TERAKHIR


Alangkah cepatnya masa berlalu, ketika kita mula merasakan seronok melaksanakan ibadah, Ramadan semakin hampir menutupkan tirainya. 10 hari terakhir Ramadan adalah merupakan saat di mana Rasulullah s.a.w meningkatkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf dan mengejutkan ahli keluarga untuk bersama dengannya.

Berlalunya sebahagian besar dari hari-hari Ramadan sewajarnya menimbulkan kecemasan kepada kita. Apakah selama 19 hari kita berpuasa benar-benar telah menjadikan kita manusia yang bertaqwa atau sebaliknya?

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan:

عَنْ عَائِشـَة َ قـَالـَـتْ كـَانَ النـَّبـِي صلى الله عليه وسلم إذا دخلت العشر أحيا الليل وشد المئزر وأيقظ أهله

Maksudnya: Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w apabila masuknya sepuluh malam terakhir (Ramadan) baginda menghidupkan malam, baginda mengemaskan kainnya dan baginda mengejutkan isterinya dan (yakni tidak bersama dengan isteri).

Hadis ini menceritakan kepada kita bagaimana Nabi s.a.w bersungguh melaksanakan ibadah meskipun baginda s.a.w tidak melakukan dosa. Namun baginda telah memberikan satu contoh tauladan yang baik kepada umatnya di dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadan. Panduan yang diberikan oleh baginda ini menggambarkan betapa tinggi nilainya saat yang kita lalui sekarang. Menjadi suatu yang amat malang sekiranya kita semakin lemah dan cuai dalam melakukan ibadah meskipun Ramadan semakin hampir meninggalkan kita.

Imam Muslim juga meriwayatkan:

عن عائشة رضي الله عنها قالت: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يجتهد في العَشـْرِ الأوَاخِرِ، مَا لا يَجـْتـَهـِدُ فِـْي غـَيْرِهِ

Maksudnya: Aisyah r.a berkata: “ Bahawa Nabi s.a.w bersungguh-sungguh (beribadat) pada 10 malam terakhir tidak sepertimana (di bulan) selainnya”.

Contoh yang ditinggalkan kepada kita oleh baginda s.a.w wajar dijadikan pedoman di dalam mengisi hari-hari terakhir Ramadan ini. Sepatutnya waktu ini tidak dihabiskan dengan menonton tv atau mengunjungi pusat-pusat membeli belah. Kerana inilah fenomena yang sering kita lihat. Kelebihan sepuluh malam terakhir seolah-olah tidak lansung diambil kira. Malah lebih mendukacitakan lagi ada di kalangan muda-mudi Islam yang keluar malam ke taman-taman untuk memadu kasih tanpa rasa berdosa dan malu. Sepatutnya bapa sebagai ketua keluarga mengambil berat soal membudayakan suasana ibadah khsusnya pada 10 malam terakhir ini. .Anak-anak perlukan satu panduan dan contoh dari ibubapa. Sebaliknya jika ibubapa turut serta mengabaikan ibadah di penghujung Ramadan maka tidak hairanlah anak-anak tidak berminat untuk mengerjakan solat tarawih sebaliknya datang ke masjid atau surau hanya untuk membuat bising dan bermain mercun.

Apa yang dimaksudkan dengan baginda s.a.w menghidupkan malam dan mengemaskan kain sarungnya ialah sebagai satu gambaran bagaimana bersungguhnya baginda menumpukan saat ini dengan ibadah sehinggakan baginda tidak bersama dengan isteri untuk 10 malam terakhir ini. Kesungguhan ini didorong pula dengan kelebihan sepuluh malam terakhir yang dijanjikan dengan kehadiran malam Al-Qadr atau Lailatulqadar.

Firman Allah Taala yang bermaksud: (( Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan, Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan)) . Surah Al-Qadr : 1-3

Malam al-Qadr sengaja dirahsiakan oleh Allah Taala sebagai satu ujian kepada ummat Islam di dalam mencari rahmat dan kasihNya. Bagi mereka yang benar-benar beriman keghairahan mencari redha Allah Taala menjadikan mereka begitu teruja meningkatkan pencarian ganjaran berlipatganda yang dijanjikan oleh Allah Taala. Sebaliknya bagi mereka yang alpa, saat-saat ini seringkali dipenuhi dengan aktiviti persiapan hariraya yang menyibukkan mereka hingga terlupa promosi istimewa pelepasan azab neraka yang dijanjikan oleh Allah Taala di penghujung Ramadan.

Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ialah
menghidupkan malam dengan solat malam seperti tahajjud, hajat, taubat dan juga berzikir kepada Allah Taala. Juga digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga supaya bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah. Ibubapa wajar mengajak anak-anak yang sudah dewasa khususnya bersama berqiamullail dan jangan biarkan mereka lena. Bagi memudahkan mereka bangun bersama pastikan mereka dapat tidur lebih awal. Bagi suami isteri sepuluh malam terakhir tidak digalakkan untuk bersama kerana Nabi s.a.w diberitakan bahawa baginda mengemaskan ikat kainnya yakni tidak bersama dengan isteri kerana disibukkan dengan amala ibadah.

Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadan ini iaitu dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadah kepada Allah Taala. Kata Imam Az-Zuhri:

عجباً للمسلمين تـَرَكـُوْا الإعـْتـِكـَافَ مـَعَ أنَّ النـَّبـِيَّ صَلـَّى الله عليه وسلم مَا تـَرَكـَهُ مُنـْذ ُ قـَدَمَ المَديْنـَة حـَتـَّى قـَبـِضَهُ الله عـَزَّ وَجـَلَّ

Maksudnya: “Suatu yang pelik bagi kaum muslimin mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Nabi s.a.w tidak pernah meninggalkannya semenjak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga ia meninggal dunia.

No comments: