9/08/2008

TAZKIRAH : RAMADAN BULAN AL-QURAN

Allah s.w.t telah mensyarakkan bagi hamba-hambanya yang beriman berbagai bentuk dan jenis ibadah dengan matlamat dan tujuan yang tertentu. Berkenaan dengan ibadah puasa di bulan Ramadan Allah Taala telah berfirman yang bermaksud: ((Wahai orang-orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa)). Surah al-Baqarah : Ayat 183.

Ayat di atas menjelaskan bahawa matlamat teragung kefarduan ibadah puasa di bulan Ramadan adalah untuk melahirkan manusia yang bertakwa. Berkenaan dengan takwa Saidina Ali bin Abi Talib r.a pernah di tanya mengenainya dan beliau menjawab takwa itu ialah:

الخـَوْفُ مِنَ الجـَلِيْلِ وَالعَمَلُ بـِالتـَنـْزِيْلِ وَالقـَنـَاعَة ُ بـِالـقـَلِيْلِ وَالاِسْتِعْدَادُ لِيـَوْمِ الرَحِيْلِ

Maksudnya: “Taqwa itu ialah takutkan Allah Talaa Rabul Jalil, beramal dengan al-Quran, rasa cukup dengan apa yang ada dan bersiap sedia untuk hari kematian”.

Antara tanda orang bertaqwa ialah beramal dengan al-Quranul karim.
Firman Allah Taala yang bermaksud: ((Bulan Ramadan ialah bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Surah al-Baqarah : Ayat 185.

Ramadan adalah bulan di turunkan al-Quranul Karim ke langit dunia. Oleh itu ketibaan Ramadan ini sewajarnya kita jadikan sebagai saat terbaik menghayati dan mendampingkan diri dengan al-Quran iaitu dengan memperbanyakkan bacaan serta mempelajari isi kandungannya.

Firman Allah Taala yang bermaksud: (( Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi. Agar Allah menyempurnakan kepada mereka pahala mereka dan menambah kepada mereka dari kurnianNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha berterima kasih)). Surah Faatir : Ayat 29-30.


Berdasarkan ayat di atas antara amalan terbaik yang seharusnya dilakukan pada bulan ini ialah membawa al-Quran. Membaca atau tilawah al-Quran boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu:

1)Tilawah Tadabbur iaitu secara bijaksana dengan menyelami makna dan memahami setiap ayat yang di baca serta berusaha melaksanakannya.

2)Tilawah Ajr iaitu membacanya dengan tujuan memperolehi ganjaran pahala bacaan al-Quran dan berusaha mengikut panduan ilmu tajwid dan kaedah bacaan yang betul

Terdapat banyak nas yang menjelaskan kelebihan membaca al-Quran antaranya ialah Rasulullah s.a.w bersabda:

خـَيْرُكـُمْ مَنْ تـَعَلـَّمَ القـُرْآنَ وَعـَلـَّمَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya”. Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Baginda s.a.w bersabda lagi:

المَاهِرُ بـِالقـُرْآنِ مَعَ السَفـَرَةِ الكِرَامِ البَرَرَةِ وَالـَّذِيْ يـَقـْرَأ القـُرْآنَ وَيـَتـَتـَعْتـَعُ فـِيْهِ وَهُوَ عـَلـَيْهِ شـَاقٌ لـَهُ أجْرَانِ

Maksudnya: “Orang yang mahir dengan al-Quran akan bersama-sama para malaikat yang mulia, manakala orang yang membaca al-Quran secara terangkak-rangkak dan susah akan memperolehi dua ganjaran pahala”. Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Baginda s.a.w bersabda:

اقـْرَأوْا القـُرْآنَ فـَإنـَّهُ يـَأتِيْ يـَوْمَ القـِيَامَةِ شـَفِيْعًا لأصْحَابـِهِ

Maksudnya: ”Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat nanti memberikan syafaat kepada tuannya(pembacanya)”. Hadis riwayat Imam Muslim.

Untuk menjadi Muslim yang baik kita semestinya mengetahui cara bacaan al-Quran yang betul dan tepat. Kerana ia adalah merupakan salah satu daripada adab-adab yang perlu dipelihara pada bulan Ramadan ini khususnya. .Dengan bacaan yang betul akan melayakkan kita mendapat ganjaran pahala dari Allah Taala sebaliknya dengan bacaan yang salah yang berpunca dari sikap tidak mahu belajar, akan mengundang balasan dosa.

Dewasa ini kita lihat masih ramai lagi umat Islam yang tidak tahu membaca al-Quran.Ini disebabkan kurangnya kesedaran agama di kalangan mereka tentang betapa pentingnya ilmu berkaitan dengan al-Quran. Begitu juga dengan ibubapa, ada di kalangan mereka yang kurang mengambil berat soal pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Ada ibubapa yang menitik beratkan soal-soal keduniaan sahaja sehingga lupa mengajar anak-anak mereka tentang al-Quran. Dengan wujudnya pusat-pusat pengajian al-Quran yang banyak di dalam negera kita ini sepatutnya kita tidak melepaskan peluang mengikuti kelas-kelas tersebut untuk mempelajari al-Quran samada bagi golongan dewasa mahupun kanak-kanak.

Kesempatan di bulan Ramadan ini seharusnya di ambil untuk menyertai aktiviti tadarus al-Quran yang diadakan di Masjid-masjid. Tadarus ini adalah satu amalan yang sangat baik dan bermanfaat. Cuma sebaiknya matlamat untuk menamatkan al-Quran dengan cepat di bulan Ramadan digantikan dengan tujuan untuk memperbaiki bacaan al-Quran serta memahaminya. Tadarus al-Quran yang kita lihat hari ini lebih menjurus kepada berlumba-lumba untuk mengkhatamkannya. Sedangkan soal tajwid dan kefahaman kurang diberikan perhatian. Justeru hanya yang lancar dan mahir sahaja menyertainya, manakala yang terangkak-rangkak membaca atau mereka yang belum mahir pastinya akan menyisihkan diri kerana malu. Sepatutnya konsep Tadarus dihayati dengan maksud belajar al-Quran bersama-sama dan saling memperbetulkan serta berusaha memahaminya secara beransur-ansur agar golongan yang kurang mahir dapat menyertainya. Mungkin Ramadan kali ini hanya makna Fatihah dan surah al-Baqarah sahaja kemudian disambung pada Ramadan akan datang.

No comments: