9/08/2008

TAZKIRAH : MENDIDIK ANAK-ANAK DI BULAN RAMADHAN

Di dalam mengerjakan ibadah puasa para ibubapa seharusnya menumpukan juga kepada pendidikan anak-anak tentang ibadah. Meskipun anak-anak yang belum baligh tidak diwajibkan lagi berpuasa namun di peringkat usia inilah waktu yang sesuai mendidik mereka. Rasulullah s.a.w bersabda:

رُفـِعَ القـَلـَمُ عَنْ ثـَلاثٍ, عَن ِ النـَّائِمِ حـَتـَّى يَسْتـَيـْقِظ َ وَعَن ِ الصَغِيْرِ حـَتـَّى يَكـْبـِرَ وَعَن ِ المَجـْنـُوْن ِ حـَتـَّى يَفِيـْقَ

Maksudnya: Diangkat kalam (tidak dipertanggungjawabkan) dari tiga golongan: Seorang yang tidur hinggalah ia jaga dari tidur, kanak-kanak hinggalah besar (baligh) dan orang yang gila sehingga ia waras. Hadis riwayat Imam Ahmad.

Meskipun kanak-kanak belum baligh tidak wajib berpuasa tetapi ibubapa seharusnya melatih mereka berpuasa dan membiasakan diri dengan amalan-amalan di bulan puasa seperti solat Tarawih dan membaca al-Quran. Kanak-kanak yang belum baligh perlulah diasuh semenjak waktu kecil dengan ibadah supaya apabila dewasa mereka sudah biasa dan tidak berat untuk melaksanakan ibadah. Di dalam Islam Nabi s.a.w telah memberikan panduan melatih ibadah hendaklah bermula secara konsisten ketika anak-anak berumur tujuh tahun. Manakala apabila berusia sepuluh tahun hendaklah menghukumnya jika tidak melakukan ibadah (khususnya solat). Sabda Rasulullah s.a.w:

مُرُوْا أوْلادَكـُمْ بـِالصَّلاةِ وَهُمْ أبـْنـَاءُ سَبْعِ سِنِيْنَ وَاضْرِبُوْهُمْ عـَلـَيْهَا وَهُمْ أبْنـَاءُ عَشـْرٍ وَفـَرِّقـُوْا بـَيْنـَهُمْ فـِيْ المَضَاجِعَ

Maksudnya: Suruhlah anak-anakmu solat di waktu usia mereka tujuh tahun dan pukullah mereka (jika tidak solat) apabila menjangkau usia sepuluh tahun dan pisahkan tempat tidur mereka (lelaki dan perempuan). Hadis riwayat Abu Daud.

Di dalam membiasakan kanak-kanak dengan ibadah puasa Ramadan perlu juga diingat kepada ibubapa agar tidak memaksa mereka meneruskan puasa jika nampak mereka terlalu letih dan tidak bermaya. Ini adalah kerana dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan pula sedangkan mereka masih belum diwajibkan berpuasa.Ini kerana ada di kalangan ibubapa yang terlalu ghairah mendidik anak-anak atau ingin membuktikan kebolehan mengajar anak-anak menyebabkan mereka menyuruh anak-anak berpuasa dengan paksaan. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana bagi mereka (anak-anak yang belum baligh) puasa Ramadan tidaklah wajib.

Di samping mengajar anak-anak dengan ibadah puasa, para ibubapa juga sewajarnya mengajar mereka dengan ibadah-ibadah lain yang turut perlu dijaga seperti solat fardhu lima waktu. Terdapat sesetengah ibubapa yang sangat mengambil berat tentang puasa namun meringan-ringankan solat lima waktu. Mereka bersungguh-sungguh membangunkan anak-anak untuk bersahur di pagi hari namun tidak menyuruh mereka mengerjakan solat Subuh. Ada juga ibubapa yang mengambil berat soal menyediakan juadah berbuka puasa bagi menarik minat anak-anak meneruskan puasa, tetapi tidak mengambil berat soal solat maghrib selepas berbuka puasa. Terdapat juga ibubapa yang terlalu menekankan tentang solat berjamaah Tarawih tetapi solat berjamaah fardhu lima waktu tidak diberikan keutamaan. Perkara seumpama ini berlaku adalah akibat dari tidak memahami keutamaan dalam mendidik anak-anak melakukan ibadah. Sedangkan ibadahpun ada kedudukan masing-masing dan keutamaannya. Oleh itu di dalam mendidik anak-anak beribadah, pastikan yang wajib diberikan keutamaan daripada perkara sunat.

Menyentuh pula tentang solat berjamaah Tarawih di Masjid, apa yang sering kita hadapi ialah ramainya anak-anak yang datang ke masjid di waktu solat Tarawih. Namun kealpaan ibubapa mendisiplinkan anak-anak mereka menyebabkan suasana ketenangan di masjid bertukar menjadi hingar bingar anak-anak yang bermain di sekeliling masjid. Suasana lebih gamat apabila ada anak-anak yang nakal bermain mercun ketika jamaah sedang solat Tarawih.Sepatutnya setiap ibubapa yang membawa anak-anak ke masjid mengawasi dan menegur anak masing-masing agar tidak membuat bising ketika solat Tarawih. Dosa mengganggu jamaah yang sedang solat akan ditanggung oleh ibubapa meskipun anak-anak mereka yang membuat bising sekiranya ia berlaku akibat kecuaian ibubapa.

Di samping itu bulan Ramadan juga merupakan waktu paling sesuai kepada ibubapa menerapkan nilai dan akhlak Islam kepada anak-anak. Ibubapa seharusnya menghidupkan suasana ibadah dan budaya ilmu di dalam rumah agar keberkatan Ramadan bukan sahaja dapat melahirkan individu bertakwa tetapi ia juga dapat melahirkan rumahtangga yang harmoni. Sebaiknya ibubapa memastikan waktu menonton tv dikurangkan atau dihadkan pada waktu slot bermanfaat sahaja. Manakala amalan menonton vcd filem atau karaoke nyanyian terus ditiadakan di dalam rumah. Jika anak-anak berkeras mahu menontohnya, ibubapa seharusnya bertindak tegas. Malangnya, apa yang berlaku ialah kedapatan ibubapa yang sangat taat melakukan amal ibadah di bulan Ramadan tetapi membiarkan anak-anak menjadikan rumah sebagai panggung wayang. Ini adalah sikap yang tidak wajar dilakukan oleh ibubapa kerana tanpa disedari mereka sebenarnya telah mencorakkan anak-anak dengan budaya yang tidak sihat dan tidak menghormati kemuliaan bulan Ramadan. Ketegasan ibubapa sangat diperlukan agar suasana ibadah dapat dihayati bersama oleh anak-anak.
Kesempatan di bulan Ramadan ini seharusnya dijadikan waktu yang sesuai kepada semua ibubapa untuk memuhasabah diri sejauhmanakah tanggungjawab pendidikan dilaksanakan dengan sebaiknya kepada anak-anak. Apakah kita benar-benar serius mendidik anak-anak dengan nilai-nilai Islam atau sebaliknya? Apakah kita benar-benar sensitif dengan tingkah laku anak-anak? Adakah pernah kita menegur dan bertegas agar anak-anak kita menutup aurat khususnya anak-anak perempuan? Adakah kita mahu menjadikan anak-anak kita artis-artis hiburan yang terdedah dengan keruntuhan sosial atau cendikiawan Islam pada masa akan datang? Atau adakah kita dari jenis ibubapa yang tidak langsung memikirkan tentang masadepan anak-anak?

No comments: